Abaikan 14 iklan ini di Facebook jika anda tak mahu merana

Share Button

Sesetengah orang awam amat sensitif terhadap isu berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan pelangsing tubuh badan, penurunan berat badan dan menangani obesiti.

Mengurangkan pengambilan kalori yang diperlukan oleh tubuh badan merupakan satusatunya langkah untuk mengurangkan berat badan dan melangsingkan tubuh badan.

Pelan diet yang disokong oleh fakta perubatan atau senaman sahaja boleh membawa kepada pengurangan lemak badan dan penurunan berat badan.

Bahagian 3 Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) diwujudkan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM ‘98) berkenaan iklan.

Perenggan 4.0 adalah berkaitan dengan garis panduan khusus kepada penyediaan iklan tertentu. 1.2 Perenggan 4.1, sub-seksyen (xviii) (g) mengenakan larangan terhadap produk pelangsing tubuh badan sama ada dimakan atau disapukan dan oleh itu ia dianggap sebagai produk yang tidak boleh diterima untuk tujuan pengiklanan.

Dakwaan yang tidak dapat diterima termasuk

Makan secara tidak terhad

Tiada produk ‘penurunan berat badan’ yang boleh membuat dakwaan seperti ‘Makan seberapa banyak yang anda mahu’, ‘Makan, makan, makan!’, ‘Makan dan terus langsing’ atau apa-apa seumpamanya yang cenderung untuk mengubah penekanan utama iaitu mengekalkan keseimbangan kawalan kalori diet.

Dakwaan tertentu

Dakwaan dalam bentuk (anda akan kehilangan ‘x’ kilogram atau ‘y’ sentimeter, anda boleh kelihatan ‘x’ kilogram lebih ringan) tidak boleh diterima. Dakwaan yang sama dalam bentuk (anda boleh melangsingkan tubuh badan dalam ‘x’ hari, bagaimana untuk melangsingkan tubuh badan dalam masa kurang daripada ‘x’ minggu, kehilangan ‘x’ sentimeter serta merta) juga tidak boleh diterima

Dakwaan tertentu mengenai individu telah “hilang sejumlah berat dan ukuran inci tertentu” tidak boleh dibuat tanpa kebenaran daripada individu yang berkenaan, tempoh masa keberkesanan juga harus dinyatakan dan tidak berdasarkan semata-mata pengalaman individu tersebut.

Dalam kes ilustrasi ‘sebelum dan selepas’, perbandingan yang adil perlu dibuat. Dalam dakwaan kawalan bentuk tubuh, keputusan pada pelbagai bahagian anatomi tidak boleh diagregatkan, tetapi harus didedahkan secara berasingan.

Keterlaluan

Tiada cadangan dalam memberi kaedah “tidak akan gagal, pasti berhasil” harus diberikan. Oleh kerana setiap individu mempunyai kelainan dari segi berat badan, bentuk tubuh badan, keadaan fizikal serta dalam persediaan psikologi, maka yang paling baik yang boleh didakwa bagi apa-apa kaedah itu adalah kebarangkalian tinggi untuk berjaya.

Iklan Yang Tidak Boleh Diterima:

  1. Mesin atau alat penggetar termasuk perangsang otot dan saraf elektrik.
  2. Pakaian boleh kembung.
  3. Sauna dan mandian wap.
  4. Produk-produk yang berasaskan osmosis.
  5. Pati mandian, sabun.
  6. Produk-produk yang mendakwa dapat meningkatkan kadar metabolisme badan.
  7. Diuretik, Julap.
  8. Hipnosis.
  9. Produk-produk yang mendakwa dapat “mengurangkan tompok” (iaitu dapat membuang lemak dari bahagian tubuh badan tertentu).
  10. Produk-produk yang mendakwa dapat melangsingkan tubuh badan melalui penyingkiran ‘selulit’.
  11. Tuam haba.
  12. Anti-Kemurungan.
  13. Kosmetik seperti krim yang digunakan untuk melangsingkan tubuh badan.
  14. Pelekat pelangsing tubuh badan.

Apa komen anda?