[Test Produk] Samsung Galaxy J7+ Kalah Pada Hardware Menang Pada Software

Kelebihan
+ Dual kamera
+ Antara muka TouchWiz yang intuitif
+ Paparan Super AMOLED HD Penuh

Kekurangan
– Harga agak tinggi
– Bateri kecil
– Tiada pengecasan pantas

Dominasi Samsung dalam dunia Android tidak terhenti dalam segmen premium sahaja. Mereka turut mengukuhkan kehadiran mereka dalam segenap pelosok segmen termasuklah pertengahan.

Bencana yang melanda Note7 seperti tidak melunturkan momentum Samsung untuk teros mengedarkan produk mereka ke segenap pengguna. Samsung siri J adalah wakil Samsung dalam kelas pertengahan dan sebuah Galaxy J7+ telah singgah ke meja editor untuk dipandu uji.

Pasaran telefon pintar dunia tahun 2016 dan suku 1 2017

Galaxy J7+ ada mewarisi DNA Galaxy Note8 seperti kehadiran kamera berkembar untuk menjadi yang kedua selepas abang besarnya itu.

Jika anda berminat untuk memegang telefon ini secara live Samsung ada mengadakan jerayawara di seluruh semenanjung Malaysia bermula 25 Oktober hingga 29 Oktober ini di Petaling Jaya, Kuantan, dan Johor Bahru.

Sementara menunggu acara tersebut, jom baca pengalaman saya bersama Samsung Galaxy J7+.

Rupa Paras & Spesifikasi

Satu kelainan yang ketara apabila memegang telefon ini adalah ia tidak memiliki bonjolan kamera seperti kebanyakkan telefon yang lain. Badannya diperbuat sepenuhnya daripada alumunium yang memberikan rasa premium. Kehadiran sisi melengkung padanya pula meningkatkan tahap ergonomik.

Butang kuasa & speaker terletak di sisi kanan atas telefon

Butang kawalan bunyi & slot kad SIM di bahagian sisi kanan teleon

Butang kuasa dan jeriji speaker dihimpunkan pada bahagian sisi kanan telefon ini manakala sisi kiri menempatkan butang kawalan bunyi. Telefon ini dicas melalui port mikro-USB hang hadir pada bahagian bawah ditemani port audio.

Mikro-USB dan jack audio di bahagian bawah

Panel Super AMOLED digunakan pada telefon ini yang pastinya cemerlang daripada segi kualiti imej. Ia memiliki resolusi HD Penuh (1920×1080) dan berukuran pepenjuru 5.5”.

Pada papan utama, Samsung menggunakan cip pemproses MediaTek daripada jenis Helio P20. Pemproses 8 teras ini berada dalam kategori 16nm dengan GPU Mali-T880. Antara telefon yang turut menggunakan pemproses yang sama adalah seperti Sony Xperia XA1 Plus dan Redmi Note 4X.

Galaxy J7+ selesa dipegang

Anda turut akan menemui RAM seluas 4GB bersama-sama ROM 32GB sebagai storan dalaman. Ringkasan spesifikasi untuk Galaxy J7+ boleh dirujuk dalam jadual di bawah.

Halaman Seterusnya: Prestasi & Hayat Bateri

[nextpage title=”Prestasi & Hayat Bateri”]

TouchWiz adalah antara muka (UI) khas yang dibangunkan Samsung untuk telefon mereka. Ia adalah antara UI yang terbaik pada Android sama seperti Sense yang digunakan HTC.

Contoh UI TouchWiz pada Galaxy J7+

Berbanding stock Android, TouchWiz menawarkan beberapa ciri tambahan yang intuitif seperti:

  • Game Tools
  • Dual Messenger
  • Blue Light Filter
  • Ultra Saving Mode
  • Caller ID & Spam Protection
  • Send SOS Messages

Game Tools menyediakan kemudahan seperti merakam video paparan semasa sedang bermain games. Ia juga mematikan fungsi butang kapasitif serta notifikasi agar anda tidak diganggu semasa bermain.

Telefon SIM berkembar seperti J7+ boleh memanfaatkan fungsi Dual Messenger. Anda boleh membuka dua Whatsapp serentak untuk melayani mesej-mesej daripada pelbagai orang.

Blue Light Filter akan menjadikan paparan sedikit suam (warm). Ia dikatakan boleh mengurangkan tekanan pada otot mata dan seterusnya mengurangkan masalah pening kepala akibat penggunaan telefon yang agak lama.

Disebabkan baterinya yang kecil, Samsung memberikan fungsi Ultra Saving Mode yang akan mengawal selia segalanya, daripada bilangan apps yang berjalan di latar hinggalah pada kepantasan cip pemproses untuk menjimatkan setiap titis tenaga yang terkandung dalam bateri.

Caller ID & Spam Protection akan melindungi anda daripada dihubungi orang yang tidak berkaitan dengan hidup anda. Ia akan melakukan rujuk silang nombor pemanggil dengan pengkalan data Samsung bagi memberitahu siapa yang sedang memanggil anda.

Jika berlaku kecemasan dan anda tidak berpeluang untuk mendail nombor kecemasan, fungsi Send SOS Messages membolehkan anda menekan butang kuasa sebanyak 3 kali untuk menghantarkan isyarat SOS kepada nombor yang telah anda ditetapkan.

Semua ini ditawarkan terus bersama-sama UI telefon ini tanpa memerlukan anda memuat turun aplikasi tambahan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Galaxy J7+ tidaklah memiliki bateri yang besar. Ia cuma diberikan bateri 3.000mAh untuk menguasakan semua komponen elektronik yang ada padanya. Dengan sekali bateri penuh, saya berjaya beroleh sekurang-kurangnya 12 jam waktu penggunaan.

Waktu Screen on Time (SoT) yang berjaya dicatatkan adalah sekitar 4 jam. Ia adalah ‘okay’ untuk sebuah telefon yang menggunakan pemproses MediaTek yang ramai pengguna bersetuju, tidak begitu cekap tenaga.

Telefon ini tiada fungsi pengecasan pantas dan Samsung hanya membekalkan kepala pengecas 7.5 watt (5V/1.5A) untuk mengecas telefon ini. Kadar mengecas agak perlahan kerana ia mengambil sekurang-kurangnya 2 jam untuk satu isian penuh dan daripada 0% hingga 50%, anda memerlukan hampir 1 jam.

Untuk anda yang masih menggunakan penanda aras sintetik seperti Antutu Benchmark serta Geekbench 4 sebagai pemberat semasa memlilih telefon, kami turut melakukan ujian penanda aras ke atas Galaxy J7+ menggunakan kedua-dua apps tersebut.

Pada Antutu Benchmark, ia berjaya beroleh 61,664 mata untuk berada di tempat ke-51 dibelakang Galaxy Note5 yang memungin 80,644 mata. Menggunakan Geekbench pula, 867 mata berjaya dipungun pada ujian ekateras dan 3596 mata dalam ujian multiteras.

Hasil ujian Antutu Benchmark

Hasil ujian Geekbench

Halaman Seterusnya: Kamera & Kesimpulan
[nextpage title=”Kamera & Kesimpulan”]

Pada bahagian depan, anda akan menemui kamera depan 16MP F1.9 bersama-sama lampu Flash.Bahagian belakang pula anda dihidangkan dengan kamera 13MP F1.7 dan 5MP F1.9 untuk mengambil gambar sempurna setiap masa.

Samsung Galaxy J7+ adalah telefon pertama dalam siri J, dan yang kedua dalam keluarga Samsung yang menggunakan kamera berkembar selepas Galaxy Note8. Ia bermakna ada fungsi kamera yang menarik turut diwarisi daripada abang besarnya itu. Misalnya fungsi Live Focus menberikan keupayaan mensimulasikan bokeh.

Kita juga ada fungsi Selfie Focus yang memiliki persamaan dengan Live Focus. Satu-satunya perbezaan antara Selfie Focus dan Live Focus  adalah anda tidak boleh menguah tahap bokeh selepas gambar diambil.

Memiliki apertur selulas F1.7, anda sepatutnya boleh mengharapkan prestasi kamera yang lebih tinggi terutamanya dalam keadaan malap. Mari kita lihat bagaimana prestasi kamera Galaxy J7+.

Kesimpulan

Samsung Galaxy J7+ dijual pada harga RM1,599. Agak sukar untuk memberi justifikasi untuk harga yang sedimikian. Pada RM1,299 anda boleh mendapatkan sebuah Huawei nova 2i yang memiliki cip pemproses yang lebih baik malah bateri yang lebih besar iaitu 3,340mAh ataupun pada RM1,099 anda boleh mendapatkan Xiaomi Mi A1 yang merupakan raja kelas pertengahan bagi pandangan saya setakat ini.

Sungguhpun tewas daripada segi spesifikasi fizikal, Galaxy J7+ masih mampu memberikan saingan pada perisian. TouchWiz UI adalah sesuatu yang sarat dengan ciri-ciri intuitif. Daripada Ultra Saving Mode hinggalah ke Game Tools, anda tidak perlu menggeledah Play Store semata-mata untuk mencari apps khas.

Semua ini tidak boleh ditemui pada telefon yang menggunakan Android tulen seperti Xiaomi Mi A1. Jika anda ingin mencari sebuah telefon untuk kegunaan ringan sehari-hari, Samsung Galaxy J7+ adalah pilihan yang tidak akan mengecewakan.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia