Pixel 2 Kini Kalis Air Tapi Ada Beberapa Kompromi Harus Berlaku

Genap selepas setahun Pixel dilancarkan, Google hari ini mengumumkan pula telefon pintar Pixel 2. Dua varian dilancarkan iaitu Pixel 2 dan Pixel 2 XL, dan mereka memenuhi kebanyakan syarat-syarat untuk menjadi sebuah flagship 2017.

Berbanding Pixel 2016, Pixel 2 kali ini menerima naik taraf kekalisan debu dan air pada tahap IP67, seperti yang ada pada iPhone. Sungguhpun begitu, telefon ini sudah kehilangan jack audio mungkin untuk beri laluan pada fungsi kekalisan tadi.

Berita baik pada peminat speaker sterao pada telefon pintar. Pixel 2 dan 2 XL kedua-duanya menggunakan konfigurasi speaker stereo sebenar yang menghadap kedepan seperti yang pernah dibawakan HTC pada siri M-nya.

Pada rupa paras, Pixel 2 tidak banyak bezanya berbanding Pixel asal terutama pada saiznya. Lain pula ceritanya pada Pixel 2 XL kerana ia kini menggunakan paparan 18:9 yang lebih panjang. Maka, daripada panel 5.5″, ia kini menggunakan paparan 6″.

Hanya Pixel 2 XL diberikan panel beresolusi Quad HD (2880 x 1440) sementera Pixel 2 hanya diberikan panel HD penuh. Kedua-dua telefon menerima manfaat daripada penggunaan paparan OLED seperti julat hitam dan putih yang lebih luas serta penghasilan warna yang lebih pekat. Tapi pembekal OLED pada telefon ini bukanlah Samsung, tetapi LG. Dengan OLED, Google berjaya memasang fungsi skrin sentiasa hidup (Always-On Display) pada Pixel 2.

Google turut memasukkan fungsi “Active Edge”, teknologi ynag boleh ditemui pada HTC U11. Anda boleh menggenggam bahagian sisi telefon untuk mengaktifkan Google Assistant dan menjalankan perintah tertentu.

Pada papan utama, anda akan menemui cip Snapdragon 835 yang berpasangan bersama RAM 4GB untuk kedua-dua varian. Dua pilihan storan disediakan iaitu 64GB dan 128GB.

Bahagian kamera, Pixel 2 memiliki kamera belakang 12MP dengan apertur F1.8 dan kali ini ia menggandingkan penstabil imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS) berbanding sebelumnya yang menggunakan EIS sahaja. Kamera depan pula menggunakan sensor 8MP dengan apertur F2.4. Seperti sebelumnya, Google menyediakan ruang storan awan untuk menyimpan gambar dan video tanpa had kepada pengguna Pixel 2.

Pixel 2

 

Pixel 2 XL

Kamera Pixel 2 sejurus dilancarkan sudahpun menjadi raja kamera telefon dalam senarai DxOMark dengan skor 98, jauh mengatasi iPhone 8 Plus yang memperoleh skor 94 sahaja. Ia berjaya dilakukan Google  menggunakan lensa tunggal, tiada kamera berkembar.

Pada bahagian bateri, Pixel 2 dilihat menerima bateri sedikit kecil iaitu 2,700mAh berbanding 2,770mAh sebelum ini. Pixel 2 XL pula menggunakan bateri 3,520mAh berbanding 3,450mAh sebelum ini.

Google kali ini menyediakan tiga warna untuk Pixel 2 iaitu Kinda Blue, Just Black dan Clearly White. Manakala Pixel 2 XL hanya datang dalam dua warna, Just Black dan Black & White. Ia datang bersama OS terkini Android 8.0 Oreo, dan dijamin menerima kemaskini sehingga tiga tahun dari sekarang.

Harga Pixel 2 dan Pixel 2 XL adalah seperti berkut:

  • Pixel 2 64GB USD649 (~RM2,754)
  • Pixel 2 128GB USD749 (~RM3,178)
  • Pixel 2 XL 64GB USD849 (~RM3,602)
  • Pixel 2 XL 128GB USD949 (~RM4,027)

Tiada perkhabaran tentang penjualan rasmi di Malaysia, tetapi jika anda masih berminat, Singapura adalah salah satu pasaran rasmi Pixel 2 untuk gelombang kedua.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: