Kaspersky kesan CoinHive di laman web Malaysia

Ada tak rasa komputer anda tetiba menjadi perlahan kerana sumber CPU dipergunakan sangat tinggi? Jika ya, berkemungkinan besar ia sedang digunakan oleh sesuatu laman web untuk melombong syiling digital atau CryptoCurrency.

Menurut pakar keselamatan Kaspersky, mereka telah mengesan kod Coin-Hive di beberapa laman web di Malaysia. Coin-Hive adalah sejenis skrip yang boleh dimuatkan di laman web, bagi melombong Monero, sebuah syiling digital seperti Bitcoin.

Apabila pengunjung melayari laman yang memiliki kod Coin-Hive ini, kuasa CPU mereka akan digunakan sepenuhnya. Ini akan mengakibatkan bukan sahaja komputer menjadi perlahan, malah memakan tenaga elektrik yang tinggi, yang mungkin membuatkan bil elektrik melambung jika dibiarkan untuk waktu yang lama.

Salah satu laman web yang ditemui sendiri oleh penulis menerusi antivirus Kaspersky, adalah laman BIG Prepaid yang berkait rapat dengan AirAsia. Apabila penulis menghubungi @AirAsiaBIG, tiada jawapan diberikan.

Tetapi Lowyat.net melaporkan, AirAsia telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang berbunyi:

AirAsia BIG Prepaid telah menyedari akan adanya skrip melombong Coinhive di bigprepaid.com pada jam 2.19pm hari ini.

Semua laman yang terjejas telah diturunkan sementara siasatan terperinci dijalankan.

Kami ingin meyakinkan pengguna BIG Prepaid bahawa tiada data peribadi dikompromikan, dan kami dengan tulus ikhlas meminta maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Bagaimanapun, laman BIG Prepaid kini dilihat telah aktif sepenuhnya. Tiada lagi kod Coinhive dikesan oleh Kaspersky.

Apa yang penting, bila komputer terasa perlahan, cuba semak penggunaan sumber CPU. Jika pelayar anda menggunakan sehingga 80% sumber CPU, mungkin ia sedang cuba melombong syiling digital.

Kalau anda merasakan perlindungan Windows Defender tidak mencukupi, Kaspersky ada menyediakan antivirus percuma untuk pengguna Windows. Ia serasi dipasang dari serendah Windows XP serta Vista, Windows 7, 8, 8.1 dan sistem operasi terbaru Windows 10.

Rujuk laporan kami tentang Antivirus Kaspersky Free dan cara mendapatkannya di sini.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: