[Test Produk] WeLoop Hey 3S Jam Tangan GPS Dengan Ketahanan Bateri Sebulan

Kelebihan

Harga sesuai untuk marhaen
Bateri tahan sebulan
Kalis air sehingga 50m

Kekurangan

Data GPS tak boleh dieksport ke GPX
Paparan kurang cerah
Firmware yang kurang intuitif


Mi Band keluaran Xiaomi adalah penanda aras kepada gajet penjejak aktiviti dalam kategori mampu milik. Pada harga kurang dari RM150, Mi Band 2 telah menjadikan alat ini sangat mampu miliki lebih-lebih lagi dalam kalangan pengguna Malaysia.

Penjejak aktiviti kini menjadi satu keperluan sehinggakan ia sedikit demi sedikit menembus masuk ke jam tangan yang kita pakai. Kita kini boleh memakai hanya satu aksesori di pergelangan tangan yang memiliki kedua-dua fungsi, memberitahu masa dan juga menjejak aktiviti.

Itulah yang ingin dicapai WeLoop melalui jam Hey 3S mereka. Menerima suntikan dana daripada Xiaomi untuk dikomersialkan, Hey 3S adalah sebuah jam tangan pintar yang dilengkapi fungsi menjejak aktiviti.

Apa yang menarik tentang jam ini adalah harganya yang sangat rendah berbanding peranti sekelas dengannya. Untuk sebuah penjejak aktiviti yang memiliki sensor GPS, denyutan nadi, skrin LCD, dan kalis air sehingga 50 meter, RM499 adalah harga yang sukar untuk dipercayai.

Adakah Hey 3S mampu menggugat peranti sekelas dengannya yang lebih gah dan popular? Teruskan membaca reviu ini.


Reka Bentuk

Tidak syak lagi rupa paras Hey 3S memang menyamai sebuah Apple Watch. Badan jam ini berbentuk kuboid dan hampir keseluruhannya dihasilkan dari plastik. Tetapi pada bingkai muka jam, seramik digunakan untuk beri kesan kilat serta  menjadikan jam ini lebih berat.

Sungguhpun plastik, jam ini mempunyai kekalisan air sehingga 50 meter. Ia setanding dengan jam Casio anda dan lebih tahan berbanding Apple Watch dan Samsung Gear S3 yang hanya memiliki kekalisan debu/air IP67.

Muka jam pada Hey 3S menggunakan panel LCD sebesar 1.28″ dengan resolusi 176 x 176. Ya, memang resolusi dan panel yang sempit tapi ia menyumbang pada hayat bateri yang mengagumkan hanya berbekalkan bateri berkapasiti 270mAh.

Pada papan utama, sensor yang boleh ditemui adalah seperti GPS, pengimbas nadi, dan akselerometer.

Dua butang fizikal hadir pada kedua-dua sisi kiri dan kanan Hey 3S. Butang kiri  bertindak sebagai butang “Back” dan membawa anda ke paparan untuk memeriksa tahap bateri manakala butang kanan sebagai butang “OK” serta melancarkan menu.

Tali jam silikon disediakan dan ia memiliki lebar yang standard. Anda boleh membeli tali jam generik di luar sana untuk dipadankan dengan gaya sendiri.

Untuk berhubung dengan telefon, satu Apps khas perlu dimuat turun pada telefon. Sambungan Bluetooth LE digunakan untuk mengemas kini dan mengimport data aktiviti masuk ke telefon.

Halaman Seterusnya: Pengalaman Mengguna & Kesimpulan

[nextpage title=”Pengalaman Mengguna & Kesimpulan”]

Sejurus menghidupkan jam, anda boleh memuat turun aplikasi WeLoop dari PlayStore atau iTunes untuk menambat jam pada telefon melalui proses yang amat mudah. Apps akan meminta maklumat peribadi seperti jantina, tinggi, berat, dan sasaran langkahan.

Rekaan antara muka apps adalah mesra pengguna dengan font yang mudah dibaca. Melalui Apps, anda boleh mengawal beberapa perkara pada jam seperti:

  1. Tetapkan peringatan
  2. Hidupkan pemberitahuan
  3. Tetapkan loceng gerak
  4. Kemas kini jam
  5. Tukar muka jam

Semua data dipersembahkan dalam bentuk yang mudah difahami. Contohnya, prestasi minggu ini boleh dibandingkan dengan minggu sebelumnya.

Semua rekod senaman dihimpunkan dalam satu halaman dan mengikut kategori. Anda boleh melihat peta laluan dan graf statistik aktiviti. Terdapat juga butang untuk kongsikan pencapaian anda itu di laman sosial.

Satu kekurangan yang boleh dilihat pada ciri berkongsi ini adalah ketiadaan fungsi mengeksport aktiviti kedalam fail berbentuk GPX kerana ia hanya membenarkan aktiviti disimpan dalam bentuk gambar.

Fail GPX sangat berguna jika kita ingin laluan yang direkod oleh GPS dikongsikan pada platform lain.

Garmin Fenix 5X yang kami reviu tempoh hari membenarkan kami berbuat demikian. GPX yang telah dieksport tadi boleh dimuat naik ke perkhidmatan seperti Wikiloc supaya pengguna lain boleh menggunakan maklumat yang sama untuk memandu arah.

Antara muka jam juga minimalistik, seperti apps Androidnya. Dalam menu utama, WeLoop meletakkan aktiviti seperti joging, berbasikal, dan berenang. Semasa menjejak aktiviti data seperti laju dan jarak dipamerkan pada anda.

Kekurangan kedua yang boleh diperhatikan pada firmware Hey 3S adalah pada fungsi memaparkan mesej. Memang anda boleh membaca mesej seperti daripada Whatsapp dan Facebook, tapi ia agak menyusahkan pada pandangan saya. Bukan saja navigasi mesej susah, tiada cara untuk membuang semua mesej sekali gus.

Maka, anda terpaksa membuang satu demi satu mesej itu atau jam akan sentiasa bergetar untuk memberitahu ada mesej yang belum dibaca. Sudahnya, saya matikan saja fungsi notifikasi kerana ia bukannya memudahkan, malah menyusahkan.

Tapi itu cuma perkara kecil yang dengan mudah boleh diperbaik dalam kemas kini firmware seterusnya.

Kunci keberjayaan jam ini adalah pada hayat baterinya. Daripada 100% penuh hingga 22%, ia mengambil masa 12 hari untuk bateri berkurangan sebanyak itu. Dalam tempoh itu, saya telah menggunakan fungsi menjejak GPS selama 6 jam 25 minit.

Ya, hayat bateri pada jam ini memang harus diberi pujian menggunung.

Kesimpulan

WeLoop Hey 3S adalah sebuah jam tangan penjejak aktiviti yang hampir sempurna. Sungguhpun pada segi komponen fizikal anda menerima sebuah jam dengan kekalisan air sehingga 50 meter beserta sejumlah sensor seperti GPS, pengesan nadi, dan akselerometer, pada sudut perisian pula kami rasakan ada yang perlu diperbaik.

Antara muka jam yang minimalisitk perlu disaduri dengan tahap intuitif yang setara. Misalnya, fungsi notifikasi yang masih sukar untuk difahami serta ketiadaan mengeksport aktiviti ke GPS ataupun sekurang-kurangnya terus berkongsi kepada perkhidmatan seperti Endomondo dan Strava.

Sebagai perbandingan, Geonaute ONmove 220 berharga RM369 pun boleh berbuat demikian melalui porta Geonaute.

Walau apapun, RM499 untuk sebuah hibrid jam tangan/penjejak aktiviti adalah satu pembelian yang menarik, sekiranya kekurangan yang kami nyatakan tadi ditampal secepat mungkin. Jika anda berminat untuk mendapatkan Olike Hey 3S, anda boleh berbuat demikian di Lazada menggunakan pautan ini.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: