[Test Produk] Asus ZenFone 4 Selfie Pro Telefon Vlogging Terbaik Dalam Poket Anda

Intro

Share Button

Telefon pintar swafoto sentrik biasanya mempunyai kamera depan yang lebih berkualiti daripada kamera belakang. Asus adalah antara pelopor kepada subkategori telefon yang menumpukan pada generasi selfie ini melalui ZenFone Selfie yang dilancarkan mereka pada 2015. Namun begitu, semasa ZenFone generasi ketiga dilancarkan, mereka seperti telah meninggalkan apa yang mereka mulakan dulu kerana tiada ZenFone 3 edisi selfie dilancarkan.

Melihat pada kekosongan ini, pengeluar seperti OPPO dan Vivo terus mengisinya dengan telefon-telefon “pakar selfie” dan “selfie bercahaya lembut”. Jutaan ringgit dihabiskan untuk medapatkan wajah-wajah superstar tanah air menjadi duta telefon masing-masing.

Tahun 2017 menyaksikan Asus ingin merebut semula bahagian kategori ini apabila melancarkan siri ZenFone 4 khususnya ZenFone 4 Selfie Pro. Walau bagaimanapun, dengan dominasi kukuh syarikat lain, Asus sudah pastinya menerima tentangan hebat kerana setiap inci papan iklan di bandar raya kita sudahpun dijajah OPPO dan Vivo.

Asus ZenFone 4 Selfie telah singgah di meja editor TheSkop untuk dipandu uji. Mampukah ia bersaing dengan otai-otai dalam kategori yang sama? Teruskan membaca artikel ini.


Dua Kamera Depan, Dua Kali Lebih Seronok!

Ditujukan pada generasi selfie, sudah tentu kamera depan ZenFone 4 Selfie Pro menerima semua komponen premium yang diperlukan untuk hasilkan gambar yang menawan. Pada bahagian depan anda akan menemui sepasang kamera bersama-sama satu LED.

Kamera (1) menggunakan sensor Sony IMX 362 12MP dengan aperture F1.8. Salah satu keunikkan kamera ini berbanding kamera lain adalah kehadiran SuperPixel Engine yang ditugaskan untuk memproses isyarat imej daripada sensor.

Kamera lain akan menghantar isyarat ini terus ke Image Signal Processor (ISP) yang terletak dalam cip pemproses Snapdragon 625 untuk diproses menjadi gambar. SuperPixel Engine adalah teknologi yang dibangunkan khas oleh Asus untuk menggantikan ISP pada cip Snapdragon.

Oleh sebab ia dibangunkan sendiri, Asus boleh mengubah algoritma pada sistem sesuka hati mengikut keperluan mereka. Hal ini memudahkan kemas kini kamera ditolak masuk melalui OTA dengan pantas.

Kamera kedua mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Menggunakan lensa berjarak fokal 12mm, kamera ini mampu mengambil gambar bersudut pandang luas, hampir menyamai sudut pandang sebuah kamera aksi.

Tapi, dari manakah datangnya dua kali lebih seronok itu?

Yang pertama adalah keseronokan menggunakan Selfie Master.

Ia adalah satu ciri yang unik pada produk Asus untuk membantu pengguna menghasilkan Selfie yang cantik walaupun ketika itu mereka tidak memakai make-up.

Selfie Master dibenamkan jauh kedalam ZenUI dan ia akan menaikkan seri wajah anda secara digital dalam video mahupun imej. Lebih menarik, Asus adalah yang pertama menyediakan keupayaan untuk menjalankan beautification secara masa nyata menerusi BeautyLive!

Tidak kiralah sama ada anda ingin ber-livestream, vlogging, ataupun Instagram/Facebook stories, BeautyLive boleh digunakan oleh apa-apa aplikasi yang menggunakan kamera.

Kesoronokan kedua adalah pada Game Genie.

Trend “Gaming Vlogger” kini meletus hebat masa ini. Ia adalah satu genre dalam vlogging yang lebih memfokuskan pada dokumentari kehidupan harian bermain permainan komputer. Lihat saja saluran PewDiePie yang memiliki 57 juta pengikut, sudah tentu ada antara kita yang ingin mengikuti jejak langkahnya.

Menggunakan, GameGenie anda boleh menjadi PewDiePie tanpa perlu terpasak depan komputer.

Halaman Seterusnya: Pengalaman Mengguna

Apa komen anda?