Teluk Penyamun paksa pelawat melombong

Share Button

Laman ThePirateBay (TPB) adalah salah satu lubuk bermacam-macam fail torent, terutama untuk mendapatkan filem dan perisian versi lanun. Laman sebegini, sukar meletakkan iklan kerana banyak halangan pelbagai pihak, sekaligus menyukarkan mereka mendapat untung.

Apa yang mereka lakukan menjana pendapatan untuk kekal di alam siber?

Seorang pengunjung TPB telah menemui kod JavaScript di laman web tersebut, yang menunjukkan TPB melombong syiling digital Monero (macam Bitcoin) menggunakan kuasa CPU komputer pelawat. Bagi pengguna yang peka, mereka dapat melihat penggunaan CPU akan melonjak naik secara tiba-tiba apabila melawat laman TPB, kerana aktiviti melombong ini.

Tetapi pengunjung yang menemui kod ini menyatakan, ia tidak terdapat di semua muka TPB, sebaliknya menemui di beberapa tempat sahaja seperti di enjin carian dan senarai kategori. Nasib baik juga, kod ini dilihat boleh dihalang menggunakan add-on seperti ad-blocker.

TPB memberitahu TorrentFreak bahawa mereka hanya mencuba kod melombong ini dalam masa 24 jam sahaja. Cuma ia mungkin akan dikekalkan sebagai sumber baru pendapatan.

Cuma yang kurang beretikanya, laman TPB tidak bertanya terlebih dahulu untuk menggunakan sumber komputer pengguna. Tapi bak kata P Ramlee: dah kena dah penyamun jual penyangak. Tanggung risiko sendiri laa nak bekerjasama dengan penyamun kan.

[SUMBER: Engadget, TorrentFreak]

Apa komen anda?