Telefon nirbingkai vivo V7+ penuh dengan kejutan

Share Button

Tahun ini adalah tahun bezeless atau nirbingkai, semua jenama besar termasuk Samsung dan Apple telah melancarkan telefon pintar dengan skrin yang memenuhi ruang hadapan. vivo, salah satu jenama yang pesat berkembang turut hadir dengan telefon nirbingkai mereka sendiri, dikenali sebagai V7 dan V7+.

Telefon pintar ini dengan pantas dilancarkan di Malaysia, tetapi hanya model V7+ sahaja yang tiba dahulu. Bukan itu sahaja, vivo Malaysia turut mengumumkan lantikan duta baru sempena ketibaan V7+. Janna Nick, penyanyi dan pelakon yang kian meningkat popularitinya kini menyertai Datuk Siti Nurhaliza dan Joyce Chu sebagai duta vivo di Malaysia.

CEO vivo Malaysia (kiri) dan Janna Nick (kanan)

Walaupun vivo V7+ dilihat menarik dengan skrin nirbingkai FullView 18:9 berukuran 5.99-inci HD, tarikan utamanya adalah pada kamera hadapan 24MP. Ia mensasarkan kepada penggemar swafoto yang mahukan resolusi tertinggi untuk tangkapan selfie.

Kamera hadapan ini dilengkapi dengan cahaya lembut bersama apertur f2.0. Manakala kamera belakangnya menggunakan sensor 16MP f2.0 dan disertakan LED Flash.

Kameranya tampak hebat, tetapi kuasa dalaman vivo V7+ hanya di kelas permulaan. Ini kerana ia hanya dibekalkan pemproses Snapdragon 450, tetapi dengan RAM sebesar 4GB dan storan 64GB. Ia juga boleh memuatkan 2 kad sim nano bersama kad mikroSD.

Antaramuka vivo FunTouch OS3.2 juga sedikit janggal berbanding Android biasa. 3 butang utama Recent, Home dan Back tidak terdapat di atas skrin, sebaliknya ia menggunakan sapuan untuk arahan tersebut.

Sapuan dari bawah skrin di bahagian kanan untuk Back, di tengah untuk Home dan di kiri akan mengeluarkan ruangan tetapan pantas dan Recent Apps. Bagaimanapun, pengguna boleh juga menetapkan semula 3 butang ini untuk dipaparkan di atas skrin.

Bagi yang berminat, vivo V7+ akan dijual pada harga RM1,499. Ini satu kejutan kerana nilai ini sangat mahal bagi kelas permulaan, walaupun memiliki skrin FullView 18:9 dan kamera hadapan 24MP.

Huawei Nova 2i dilihat pilihan yang lebih baik kerana perkakas lebih baik seperti pemproses kelas pertengahan Kirin 695, skrin 5.39-inci HD Penuh, dua kamera hadapan dan harga hanya RM1,299, selain RAM 4GB dan storan 64GB yang sama.

Tetapi jika anda masih berminat untuk mendapatkan vivo V7+ berkuasa swafoto 24MP, boleh membuat tempahan yang dibuka sehingga 28 September 2017 di kedai konsep vivo, rakan niaga vivo serta laman e-dagang. Hadiah percuma disediakan untuk tempahan awal berupa jaminan tambahan 6 bulan, beg eksklusif vivo x FIFA dan baucer Watson.

Dua warna boleh dipilih untuk vivo V7+ iaitu hitam dan emas. Telefon ini akan mula dijual bermula 29 September. Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman produk vivo V7+.

Apa komen anda?