Revolusi Teknologi Hero6 Buat Hero5 Ketinggalan Zaman

Share Button

Kurang daripada 24 jam dilancarkan di A.S., FunSportz terus mengumumkan penjualan GoPro HERO6 di Malaysia dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di pusat beli belah Sunway Pyramid hari ini. Pada harga RM2,399, ia sedikit tinggi berbanding HERO5 yang kini berharga RM1,979.

Adakah anda perlu menyesal jika anda baru saja beli HERO5?

Untuk menjawab soalan itu, mari kita lihat pada perbezaan antara keduanya. Yang pertama adalah daripada segi rupa fizikal. HERO6 dan HERO5 adalah dua buah kamera yang sangat serupa sekilas pandang. Nombor model hanya ada pada bahagian sisi berhampiran lensa. Jika kamera memakai perumah khas, agak mustahil untuk membezakan mereka kecuali melihat sendiri pada menu antara muka.

HERO5 (atas) dan HERO6 (bawah)

Walaubagaimanpun, persamaan antara dua model tersebut hanya terhenti pada rupa luarannya kerana pada papan utama, HERO6 adalah satu revolusi dalam barisan kamera aksi GoPro. Setakat HERO5, GoPro menggunakan cip pemproses imej yang disumberluarkan kepada Ambarella Inc.

Cip yang sama turut digunakan oleh pesaing seperti Yi 4K+. Tapi Yi 4K+ dijual jauh lebih murah berbanding produk daripada GoPro. Ia merencatkan penjualan Hero kerana Yi Cam memberi tentangan sangat sengit pada memiliki kemampuan yang sama.

Maka, untuk mencari keunikkan, buat pertama kalinya GoPro menggunakan cip proprietari mereka, cip GP1, pada HERO6 yang dikatakan dua kali ganda lebih pantas berbanding HERO5. Keupayaan video pada HERO6 nyata lebih baik dengan kemampuan 60fps pada resolusi 4K.

Senarai penuh perbandingan keupyaan video antara HERO6 dan HERO5 boleh dilihat dalam jadual berikut:

Daripada segi kualiti imej, anda boleh menjangkakan penambahbaikkan dalam beberapa aspek seperti:

  • Julat Kedinamikan (Dynamic Range) yang lebih luas sehingga 2 Stop.
  • Ketepatan warna juga ditambah baik pada HERO6 untuk lebih selari dengan warna sebenar.
  • Prestasi dalam keadaan malap turut lebih baik dengan kehadiran keupayaan membasmi hingar bagi membolehkan ISO yang lebih tinggi diguna.
  • Long Exposure juga telah ditingkatkan kepada 10 saat pada HERO6 berbanding 2 saat pada HERO5.
  • Sistem penstabil imej turut menerima manfaat daripada cip GP1. Pada HERO5, penstabil hanya berfungsi dalam paksi X dan Y dan paksi Z hanya boleh distabilkan jika anda menggunakan FOV Narrow ataupun Medium. Pada HERO6, paksi XYZ boleh distabilkan dalam apa jua keadaan.

Kapasiti bateri pada kedua-dua model adalah sama iaitu 1,220mAh. Daripada segi penggunaan, tidak banyak perubahan boleh dilihat menurut GoPro. Misalnya pada resolusi 4K30, HERO6 mampu beroperasi selama 95 minit berbanding HERO5 selama 90 minit.

Bila HERO5 dilancarkan tahun lepas, ia adalah satu naik taraf yang minimum daripada Hero4 dan kebanyakannya bukan pada kualiti imej tetapi lebih pada penambahan komponen seperti kehadiran GPS dan bateri lebih besar.

Jadi, memang anda perlu berasa rugi jika baru membeli HERO5. Dengan hanya menokok RM420 daripada harga pasaran HERO5, anda beroleh HERO6 yang nyata lebih baik.

Adakah anda bersetuju dengan ulasan ini? Kongsikan pendapat anda untuk membantu yang lain membuat keputusan.

[Sumber: GoPro]

Apa komen anda?