LG V30 Tandingi Galaxy S8 Dari Segenap Pelosok

LG melancarkan flagship terbaru mereka di IFA 2017. LG V30 diletakkan sebaris dengan Galaxy S8 baik daripada segi rupa mahupun komponen yang terpateri pada papan utamanya.

Mewarisi nisbah paparan 18:9 daripada LG G6 yang dilancarkan pada IFA 2016, LG V30 menerima paparan sebesar 6 inci beresolusi QHD (2880×1440). Seperti Samsung, ia menggunakan panel paparan OLED hasilan sendiri iaitu P-OLED.

Tambah menarik, telefon ini memiliki bingkai yang minimum bagi memberikan pengalaman bermultimedia yang baik melalui paparan FullVision-nya yang setanding dengan InfinityDisplay daripada Samsung.

Dibangunkan khas untuk bermultimedia, bahagian audio telefon ini turut menerima cip DAC HiFi yang ditala oleh B&O Play. Sepasang earfon B&O Play turut diberikan bersama.

Pada bahagian belakang LG V30 terdapat dua kamera. Kamera utamanya memiliki sensor 16MP manakala kamera sekunder adalah kamera bersudut pandang luas dengan sensor 13MP. Kamera utama telefon ini memiliki apertur F1.6, yang paling luas dalam sejarah telefon pintar setakat ini.

Ia bermaksud telefon ini tidak menghadapi masalah menangkap gambar dalam keadaan malap berbanding telefon lain.

Pada papan utama, pengguna akan menerima sebuah telefon ber-Snapdragon 835 dengan RAM sebesar 4GB. Storan sehingga 128GB boleh ditemui pada LG V30.

Seperti kebanyakkan telefon flagship yang lain, belakang LG V30 menggunakan materi kaca dan ia semestinya sangat mudah memerangkap cap jari.

Walaupun dibaluti kaca sepenuhnya, LG V30 memiliki piawian tentera MIL-STD 810G. Ia juga kalis debu/air pada tahap IP68.

LG V30 akan mula dijual di Korea Selatan bermula 21 September ini. Tiada perkhabaran tentang harga apatah lagi kehadirannya ke dalam pasaran Malaysia.

[Sumber: LG]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: