iPhone 8 vs Galaxy S8 – Perbandingan 8 fungsi

Ya ya ya. Mungkin anda dah penat membaca atau mendengar kisah tentang Android lagi bagus, atau iPhone yang terbaik. Tapi anda masih perlu baca alasan yang akan kami bagi ini. Mungkin ada perkara yang baru untuk anda.

Jika dibandingkan harga, kami jangkakan iPhone 8 mungkin akan dijual pada RM3,499. Galaxy S8 pula, seperti yang diketahui harganya ialah RM3,099. Jadi kedua-duanya memang layak untuk dibuat perbandingan.

Perkara yang sering dibanggakan oleh pengguna iPhone adalah betapa lancar dan licinnya iOS berbanding Android. Sebenarnya, perkara ini memang sukar untuk disangkal oleh penulis, walaupun sebagai ahli tegar kelab pemukul iPhone. Tapi penggunaan telefon pintar tidak terhad pada sistem operasi sahaja.

Cuba teruskan bacaan dan perhati, setuju tak dengan penerangan di bawah ini.


1. Pengecas pantas

Salah satu pengumuman besar tentang iPhone adalah sokongan pengecasan pantas. Setelah sekian lama, iPhone akhirnya boleh menggunakan pengecas lebih pantas dari 5W (5V1A). Ini memang satu berita baik tetapi ia juga memberi berita buruk.

Apple masih menyertakan pengecas 5W bersama iPhone 8. Kalau nak pengecas pantas, kena beli lain. Nasib baik banyak pengecas pantas untuk Android yang boleh dibeli lebih murah berbanding produk asli Apple.

Atau beli siap-siap pengecas Apple 29W macam di bawah ni untuk mengekalkan keaslian produk Apple anda.


2. Pengecas wayarles

Ini satu persamaan yang boleh dikongsi. iPhone 8 akhirnya menyokong pengecas wayarles, seperti yang telah dimuatkan Samsung sejak Galaxy S6. Tetapi Samsung telah menaik taraf kepada pengecas pantas wayarles sejak Galaxy S7, dan ia menjadi standard pada Galaxy S8.

Masalahnya, Samsung tidak memberi pengecas wayarles ini bersama pembelian Galaxy S8, sama seperti pembelian iPhone 8.


3. Pengimbas Biometrik

Galaxy S8 dan iPhone 8 kedua-duanya memiliki pengimbas capjari. Cuma Galaxy S8 telah mengubah kedudukan pengimbas cap jari ke belakang telefon. iPhone 8 yang masih mengekalkan reka bentuk iPhone 6, memiliki pengimbas capjari di hadapan.

Tetapi Samsung memberi pengimbas biometrik tambahan iaitu pengimbas iris atau anak mata di sebelah kamera hadapan Galaxy S8. Tangan basah atau kotor bukan lagi masalah untuk membuka kunci skrin.


4. Skrin

Pertukaran skrin iPhone 8 yang rosak mungkin lebih mudah dan jimat kerana ia masih lagi memiliki skrin bersaiz dan resolusi sama sejak iPhone 6. Berukuran 4.7-inci dengan resolusi 1334×750. Ini membawakan kepadatan piksel kepada 326ppi.

Ini jauh berbeza dengan Galaxy S8 yang bukan sahaja memiliki skrin melengkung di sisi, malah lebih lebar dan resolusi lebih tinggi. Ia berukuran 5.8-inci, resolusi Quad HD+ 2960×1440 dengan kepadatan 570ppi. Bingkainya juga lebih nipis, hampir tidak kelihatan.


5. Tangkapan gambar dan rakaman video

Kamera belakang iPhone 8 nampaknya tidak banyak berubah dari segi perkakas berbanding iPhone 7. Ia memiliki sensor 12MP dengan apertur f/1.8. Tambahan yang penting adalah penstabil imej optikal (OIS).

Sama juga Galaxy S8, tidak banyak berbeza dengan Galaxy S7. Masih menggunakan sensor 12MP f/1.7 bersama autofokus dwi-piksel yang super pantas. OIS juga sememangnya sedia ada. Tangkapan gambar dengan Galaxy S8 lebih pantas memfokus serta lebih cerah dalam suasana malap.

Rakaman video Ultra HD 4K turut terdapat dalam kedua-dua telefon pintar. Dua kelebihan penting yang dapat dilihat adalah, iPhone 8 boleh merakam 4K sehingga 60fps serta gerak perlahan sehingga 240fps pada resolusi HD Penuh 1080p. Manakala Galaxy S8 hanya mampu merakam 4K dengan 30fps dan gerak perlahan 240fps pada resolusi HD 720p sahaja.


6. Storan

Storan dalaman iPhone 8 dan Galaxy S8 setara, kedua-duanya dimuatkan dengan sekurang-kurangnya 64GB kapasiti. Tetapi Galaxy S8 diberi pilihan tambahan storan lebih mudah, melalui kad mikroSD sehingga 256GB.

Tetapi masih ada pilihan lain untuk iPhone 8. Kini sudah terdapat USB OTG untuk port lightning, jadi boleh cucuk thumbdrive dan hantar keluar data dari iPhone. Satu cara lagi, adalah membeli iPhone 8 dengan storan lebih besar siap-siap, iaitu 256GB. Lagi senang.


7. Kad sim

Zaman yang serba mencabar, dinamik dan pantas bergerak memerlukan gaya hidup aktif dan pelbagai. Klise betul ayat, tapi idea yang cuba nak disampaikan adalah penggunaan kad sim lebih dari satu banyak membantu bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, malah dalam ruang kerja seharian.

iPhone 8 seperti mana iPhone yang sebelumnya, hanya menyokong satu kad sim sahaja. Bagi Galaxy S8, ia menyokong dua kad sim tetapi pilihan perlu dibuat. Samada dua kad sim, atau satu kad sim dan satu kad mikroSD.


8. Pembayaran digital

Oleh kerana tidak dapat mencari point ke-8 yang lebih sesuai, maka sistem pembayaran digital terpaksa dipilih. Pembayaran menggunakan telefon pintar adalah satu cara moden, cuma ia terhad kerana teknologi tertutup.

iPhone 8 boleh mempergunakan teknologi Apple Pay, manakala Samsung Galaxy S8 pula dengan Samsung Pay. Masalah terbesar bagi Apple Pay, adalah tiada sokongan penjual di Malaysia lagi. Masalah kurang besar pula, jika ada sokongan di Malaysia, ia memerlukan terminal pembayaran serba baru yang serasi dengan Apple Pay.

Ia berbeza dengan Samsung Pay. Pembayaran ini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Lebih baik lagi, ia boleh digunakan hampir di semua terminal pembayaran baru dan lama, termasuk jenis strip magnetik yang tiada fungsi NFC. Jadi, Samsung Pay boleh digunakan di mana jua seluruh dunia tanpa perlu memeriksa keserasian terminal. Asalkan kad debit/kredit boleh digunakan di luar negara, masukkannya ke dalam Samsung Pay dan ia sedia membuat sapuan di terminal pembayaran.


Jadinya sekarang, dengan harga yang hampir sama adakah anda akan memilih iPhone 8 kerana sistem operasi iOS yang lebih lembut dan licin, atau mendapatkan Galaxy S8 untuk lebih fungsi dan penggunaan?

Paling penting, asalkan anda gembira dengannya pun cukup. Jangan rasa kecewa lepas membelinya, banyak dah keluar duit tu. Biar alah membeli, menang memakai.

%d bloggers like this: