Sanggup tak beli Galaxy Note8 berharga RM5,000?

Esok, 23 Ogos 2017 adalah tarikh pelancaran phablet terbaru Samsung, Galaxy Note8. Ia adalah satu majlis yang sangat penting buat Samsung untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai, di samping melupakan duka lama.

Tetapi berbaloikah mendapatkan Galaxy Note8 jika ia menjadi telefon pintar Samsung paling mahal dijual?

Galaxy Note7 dalam kenangan

Kita perlu nantikan perasmiannya dan meneliti segala teknologi dan kecanggihan Galaxy Note8 sebelum memutuskan berbaloi atau tidak harganya. Bagaimanapun satu laman web di China dilaporkan, memberi petunjuk harga Galaxy Note8 di sana.

Laman web IT Home menulis, Galaxy Note8 akan hadir dalam tiga jenis storan dengan harga seperti berikut:

  • 6 GB RAM / 64 GB storan – RMB6,288 (~RM4,040)
  • 6 GB RAM / 128 GB storan – RMB7,088 (~RM4,554)
  • 6 GB RAM / 256 GB storan – RMB7,988 (~RM5,132)

Ianya tidak mengejutkan jika Galaxy Note8 hadir dengan storan minima 64GB, kerana ia adalah apa yang terdapat di Galaxy S8 & S8+. Tetapi yang mengejutkan adalah harganya bermula dari RM4,000 jauh meninggalkan Galaxy S8+ yang berharga RM3,699 di Malaysia.

Menambah kejutan adalah harga Galaxy Note8 boleh mencecah RM5,000 dengan storan 256GB, memecah rekod harga telefon pintar Samsung Galaxy selama ini. Cuma jika benar versi 256GB ini dihasilkan, berkemungkinan besar ia tidak akan tiba di Malaysia, berdasarkan sejarah jualan Samsung Galaxy yang lalu.

Apakah yang perlu dilakukan Samsung untuk menjadikan Harga RM4,000 sesuai dengan Galaxy Note8? Setakat ini, khabar angin menyatakan ia akan datang dengan cip yang sama dengan Galaxy S8 iaitu Snapdragon 835 atau Exynos 8895, RAM 6GB, paparan Infinity Display dan paling utama kamera berkembar berkuasa zum optikal.

Sudah pasti ia tidak mencukupi dan Samsung perlu menerapkan teknologi yang jauh lebih tinggi dari ini untuk menjualnya pada harga RM4,000++. Apa lagi yang anda rasa perlu ada di dalam Galaxy Note8 untuk harga sebegini?

Kita nantikan pengumuman rasmi Samsung di majlis pelancaran Galaxy Note8 malam esok.

[SUMBER: AndroidAuthority]

%d bloggers like this: