Nokia 8 rupa sebenar flagship berkuasa Zeiss dan Bothie

Akhirnya Nokia mahu kembali menjadi raja telefon, apabila HMD Global hari ini memperkenal telefon terbaru mereka, Nokia 8. Telefon ini bukan saja penuh dengan kuasa dalaman yang hebat, malah membawakan kamera berkembar di belakang, dilapisi kaca optik Zeiss.

Nokia 8 membawakan badan besi aluminium siri 6000 yang sangat kukuh. Besi ini diberikan kemasan amat licin ibarat cermin, bermakna sangat mudah meninggalkan kesan capjari.

Skrinnya pula tidak besar mana, hanya 5.3-inci tetapi memiliki resolusi paling tajam 2K QuadHD atau 2560×1440 DPI. Kaca Corning Gorilla 5 melapisi skrin ini untuk perlindungan teguh.

Perkakas berkuasa di dalam Nokia 8 dimulai dengan pemproses terbaik di pasaran kini, Snapdragon 835 8-teras yang hadir bersama 4GB RAM LPPDDR4X. Storan pula dari jenis UFS2.1 dengan saiz 64GB. Slot mikroSD terdapat padanya, memberi storan tambahan sehingga 256GB.

Sistem operasi yang digunakan Nokia 8 adalah Android 7.1.1 Nougat, tetapi Nokia menjanjikan kemaskini pantas di mana ia mungkin akan menjadi yang terawal menerima Android O. Pengecasan pantas menerusi port USB-C terdapat padanya, tetapi kapasiti bateri 3,090mAh dilihat agak kecil berbanding kebanyakan peranti lain.

Tarikan utama Nokia 8 pastinya adalah pada kameranya. Kerana ia datang dengan bukan satu atau dua, tetapi tiga kamera 13MP dengan optik Zeiss. Nokia 8 membawakan kamera berkembar di belakang, gabungan lensa monokrom dan RGB ala Huawei P10 berkuasa Leica.

Kamera berkembar dengan optik Zeiss ini disertakan ciri-ciri seperti autofokus PDAF dan infra merah, serta apertur F2.0 dan dwi-tona LED Flash. Penstabil imej optikal (OIS) hanya terdapat di lensa RGB.

Bagi kamera depan pula, ia memiliki ciri-ciri yang hampir sama seperti resolusi 13MP, apertur F2.0, autofokus PDAF serta satu LED Flash. Saiz pikselnya pula sebesar 1.12-mikron.

Tetapi terdapat satu ciri baru yang hangat diwar-warkan oleh HMD Global pada telefon ini, iaitu fungsi BOTHIE. Bothie datang dari perkataan both (kedua-duanya) kerana ia mampu membuat rakaman video dan gambar sekaligus menggunakan kamera depan dan belakang. Malah, ia juga menyokong siaran langsung seperti Facebook Live.

Berbanding hanya selfie (self atau sendiri), dengan bothie anda boleh merakam dua orang serentak. Kalau dalam bahasa melayunya, swafoto akan menjadi duafoto di Nokia 8, atau dwafoto.

Nokia 8 juga hadir dengan teknologi audio Nokia OZO spatial 360° yang memberikan bunyi lebih hidup dengan suasana keliling 360 darjah. Menonton video di Nokia 8 akan memberikan pengalaman yang berbeza dari telefon pintar lain.

Satu lagi perkara menarik pada Nokia 8 adalah skrin yang sentiasa hidup, seperti di Galaxy S8. Walaupun menggunakan paparan LCD (berbanding AMOLED di Galaxy S8), Nokia 8 berjaya menghasilkan teknologi skrin sentiasa hidup ini yang memaparkan waktu dan beberapa notifikasi.

Selain itu, Nokia 8 masih memiliki port audio 3.5mm. Walaubagaimanapun, tiada fungsi lain seperti kalis air (kalis percikan IP54 sahaja), tiada speaker stereo, tiada pengecas wayarles atau lain-lain teknologi seperti di peranti berkuasa tinggi jenama lain.

Jualan Nokia 8 disasarkan pada awal September depan, dengan harganya diumumkan pada EUR599 (~RM3,030). Kita boleh menjangkakan harga lebih rendah setibanya di Malaysia, kerana harga di Eropah biasanya lebih mahal dari Malaysia. Mungkin RM2,999?

Empat warna disediakan untuk Nokia 8 iaitu Biru, Biru Satin, Kuprum dan Besi. Maklumat lanjut tentang telefon ini boleh didapati di laman produk Nokia 8.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: