Masih ada peluang Galaxy Note8 Malaysia lagi murah dari Singapura

Sebelum ini kita sudah mendapat tahu harga Galaxy Note8 di Amerika Syarikat dan di China. Sekarang kita ada berita yang lebih hampir, iaitu harga Galaxy Note8 di Singapura. Ambil nafas yang panjang dan bertenang sebelum membaca perenggan seterusnya.

Samsung Singapura telah membuka pra-tempahan Galaxy Note8 64GB di sana, dengan harga jualannya pada SGD1,398 (~RM4,390). Harga ini nampaknya jauh lebih mahal dari Amerika Syarikat iaitu USD930 (~RM3,978) ataupun yang dikhabarkan di China, RMB6,288 (~RM4,040).

Walaupun Singapura menunjukkan harga paling mahal apabila ditukar ke Ringgit Malaysia, tetapi kami masih sangat yakin harganya di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding tiga negara yang disebut di atas.

Ini dapat dilihat dari perbandingan harga peranti Samsung sebelum ini di Singapura. Apabila disemak, harga rasmi Galaxy Note7 semasa pelancaran adalah SGD1,168 (~SGD3,670) manakala di Malaysia pula RM3,199.

Perbandingan harga rasmi peranti Samsung Galaxy di Singapura & Malaysia

Harga rasmi Galaxy S8 dan S8+ di Singapura pula adalah SGD1,148 (~RM3,608) dan SGD1,298 (~RM4,080) berbanding di Malaysia, Galaxy S8 hanyalah RM3,299 manakala Galaxy S8+ pula RM3,699. Dapat dilihat perbezaan harga rasmi Singapura apabila ditukar ke RM, berbanding harga rasmi Malaysia sekitar RM300.

Jadi, boleh dikatakan jika harga Galaxy Note8 Singapura adalah SGD1,398 atau RM4,394 selepas tukaran matawang, maka kami menjangkakan harga Galaxy Note8 adalah RM4,099. Tetapi lebih kuat  kami rasakan ia akan ditandakan pada harga RM3,999.

Sesuai tak anda rasakan harga RM3,999 untuk Galaxy Note8 di Malaysia?

Tawaran tempahan awal Galaxy Note8 di Amerika Syarikat

Selain itu, hadiah pra-tempahan juga dilihat berbeza mengikut tempat. Di Amerika Syarikat, tempahan awal akan menerima Gear 360 atau kad mikroSD 128GB bersama pengecas pantas wayarles. Manakala di Singapura, Samsung memberi dok Samsung DeX, menjadikan telefon berfungsi seperti komputer.

Boleh tak Samsung Malaysia bagi lagi banyak hadiah percuma untuk tempahan awal nanti? Masa Galaxy Note7 tahun lepas, tempahan awal terima diskaun 10%, powerbank dan pengecas wayarles. Sangat-sangat menarik.

Harapnya tawaran tempahan awal Malaysia jauh lebih hebat dari Singapura dan Amerika Syarikat. Jangan lupa, tempahan Galaxy Note8 di Malaysia akan dibuka dari 5-10 September 2017. Tetapi maklumat lanjut kena tunggu Samsung Malaysia umumkan tak lama lagi.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: