U Mobile berhenti guna rangkaian Maxis

Selepas hampir 5 tahun bekerjasama, U Mobile akhirnya mengumumkan penamatan perkongsian rangkaian mereka bersama Maxis. Sebelum ini, pengguna U Mobile dapat menggunakan liputan 2G dan 3G Maxis yang terdapat di seluruh negara menerusi perjanjian yang baru ditamatkan ini.

Perjanjian ini akan ditamatkan secara berperingkat. Servis perkongsian ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk dihentikan sepenuhnya, dengan tarikh akhir ditetapkan pada Disember 2018.

U Mobile menjelaskan, perjanjian ini ditamatkan untuk memberi fokus kepada pembangunan sendiri rangkaian, terutama selepas menerima spektrum tambahan dari kerajaan Malaysia, iaitu 2x 15MHz pada jalur 1800MHz dan 2x 5MHz di jalur 900MHz. Tambahan spektrum ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.

Tambah U Mobile lagi, tempoh 18 bulan ini akan memberikan masa yang mencukupi untuk mereka menyiapkan rangkaian di lokasi yang sebelum ini berkongsi menggunakan liputan Maxis. Pengguna juga dijangka tidak akan berhadapan dengan masalah rangkaian sepanjang tempoh ini.

Sebelum bekerjasama dengan Maxis, U Mobile telah berkongsi rangkaian dengan Celcom selama 5 tahun, dari tahun 2007 sehingga 2012. Kemudian ia bertukar perkongsian ke rangkaian Maxis. Perjanjian kerjasama ini hanya melibatkan 2G dan sebahagian 3G.

Bagi liputan 4G, U Mobile membangunkan sendiri rangkaian LTE bermula dari Disember 2013 menggunakan jalur 2600MHz. Tambahan jalur 900MHz dan 1800MHz yang baru ini pasti akan memberikan liputan yang lebih baik kepada pengguna U Mobile.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: