[Test Produk] Galaxy Tab S3 Berusaha Keras Untuk Kemandirian Spesies

Intro

Share Button

KELEBIHAN

+ S-Pen yang sangat responsif
+ Spesifikasi premium
+ Bateri 6,000mAh dengan pengecasan pantas

KEKURANGAN

– Harga agak tinggi

Tablet Android adalah satu spesies yang semakin terancam dalam dunia gajet. Telefon kini semakin besar dan laptop semakin nipis. Tambahan pula, hibrid laptop-tablet 2-dalam-1 seperti Microsoft Surface turut memberikan tekanan pada tablet.

Lebih parah, kekuasaan Apple iPad memang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pengeluar. Agak sukar untuk memberi justifikasi tentang kegunaan tablet selain sebagai pusat multimedia bermobiliti tinggi.

Walau bagaimanapun, terdapat satu pengeluar yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap potensi tablet. Samsung melancarkan Galaxy Tab S3 di MWC 2017 tahun ini dan ia adalah sebuah tablet premium yang mensasarkan bukan sahaja untuk kegunaan multimedia, tetapi juga golongan professional yang memerlukan sebuah gajet bermobiliti tinggi.

Dianggap sebagai pesaing kepada barisan iPad/iPad Pro, tablet premium ini perlu membuktikan keupayaannya kerana pada RM2,999, Galaxy Tab S3 dianggap miliki tanda harga yang agak tinggi, sama dengan sebuah iPad Pro 10.5”.

Adakah harganya setanding dengan keupayaan yang mampu dikerahkan?

Teruskan membaca.


Spesifikasi Teknikal & Prestasi

Samsung Galaxy Tab S3 memiliki perkakasan yang serupa seperti telefon flagship Samsung 2016, Galaxy S7/S7 edge. Sungguhpun, tiada skrin melengkung ataupun teknologi InfinityDisplay seperti Galaxy S8, anda tetap menerima sebuah tablet utuh yang menggunakan materi besi sebagai badannya.

Untuk paparan, sudah tentulah ia menggunakan panel Super AMOLED. Pengguna bakal menikmati gambar yang terhasil daripada paparan seluas 9.7 inci dengan resolusi QXGA (2048×1536) dan menyokong kandungan HDR. Paparannya tajam dan cerah seperti yang sepatutnya.

Di bawah paparan teradapat butang fizikal yang menempatkan pengimbas cap jari. Ia diapit dua butang kapasitif yang tidak boleh diubah fungsinya. Maka, anda tersangkut dengan butang kanan untuk “Back” dan butang kiri untuk paparkan apps yang sedang beroperasi di bahagian latar.

Port USB-C terletak pada sebelah bawah bersama-sama port audio dan dua speaker pada sudut kiri dan kanan. Pada seberang bingkai pula turut menempatkan dua lagi speaker. Empat speaker yang ditala AKG ini ditugaskan menjaga jabatan audio tablet Galaxy Tab S3.

Bunyi speaker agak kuat tetapi bass-nya tidak mengancam. Ia tidak mengejutkan jika dilihat pada nipisnya tablet ini. Buat para audiofilia, anda pastinya ingin menggunakan headfon yang lebih berupaya untuk menghasilkan bunyi yang lebih baik.

Pada papan utama, pengguna akan menemui cip Snapdragon 820 yang bergandingan bersama RAM 4GB. Ia tiada masalah untuk menggalas tugasan yang sukar seperti bermain permainan video yang “berat” dan melayani kandungan strim beresolusi tinggi dari Internet.

Galaxy Tab S3 memiliki bateri sebesar 6,000mAh. Daripada segi hayat bateri, ia boleh memberikan waktu penggunaan yang panjang. Video YouTube yang dimainkan secara terus menerus pada resolusi HD mencatatkan masa menonton sehingga 8 jam lamanya.

Mendengar strim Spotify secara terus menerus pula hanya menggunakan  menggunakan purata 1% bateri untuk setiap jam. Daripada 100%, selepas 23 jam mendengar, bateri masih berbaki 76%.

Maka, untuk penggunaan kasual, anda dengan senangnya boleh menempuhi seharian apabila anda bermula dengan satu bateri penuh. Jika masih tidak mencukupi, pengecasan pantas disediakan yang mengisi bateri sehingga penuh dalam masa kurang daripada 3 jam.

Jika anda berminat dengan tanda aras sintetik, Galaxy Tab S3 mencatatkan angka 133k untuk Antutu. Buat masa ini, ia berada pada tangga ke-17 diapit iPhone 6S dan ZTE Axon 7.

Untuk apps Geekbench pula, Galaxy Tab S3 memberikan mata sebanyak 1750 untuk pemerosesan teras tunggal dan 4003 untuk pemerosesan multiteras.

Halaman Seterusnya: Rahsia kekuatan Tab S3: S-Pen

Apa komen anda?