[Test Produk] BlackBerry KEYone, Papan Kekunci Fizikal + Android = Lebih Produktif

KELEBIHAN

+ Bateri tahan melampau lama
+ Papan kekunci fizikal
+ Badan besi yang kukuh, teguh & mantap

KEKURANGAN

– Skrin terlalu besar
– Tidak kalis air
– Butang Convenience mengelirukan

Pengenalan

Kerana populariti yang kian merudum, ramai yang menyangka BlackBerry tidak lagi menghasilkan telefon pintar. Tetapi perkara ini tidak benar, kerana BlackBerry masih aktif melancarkan beberapa model baru setiap tahun. Cuma, mungkin kerana kurang promosi atau tidak berapa menarik perhatian menjadikannya tidak diketahui orang ramai.

Model terbaru BlackBerry yang dikenali sebagai KEYone, merupakan satu usaha BlackBerry untuk kembali gah ke persada telefon pintar. Mula-mula diperkenalkan pada pameran MWC 2017 di Barcelona pada Mac lepas, ia kini telah dijual di Malaysia dengan tanda harga RM2,688 dan diedarkan oleh Brightstar.

Harganya mungkin mahal jika dibandingkan dengan spesifikasi di dalam, tetapi BlackBerry menjanjikan sesuatu yang sukar ditemui pada telefon pintar masakini walaupun dalam kelas flagship, iaitu tahap keselamatan tertinggi bermula dari menghidupkan telefon, serta kemaskini keselamatan Android setiap bulan.

KEYone juga adalah model terakhir yang diselia sendiri penghasilannya oleh BlackBerry, sebelum mengalihkan tanggungjawab penghasilan peranti kepada TCL Communications. Selepas ini, BlackBerry akan memberikan fokus penuh dalam memberikan servis serta penghasilan perisian keselamatan.

Ramai yang mengenang kembali masa dahulu mereka, dengan peranti BlackBerry seperti model Curve dan Bold apabila melihat rekabentuk KEYone ini. Tetapi bolehkah ia membuatkan orang ramai mahu kembali kepada telefon berpapan kekunci fizikal ini?

Penulis sendiri adalah pengguna tegar BlackBerry. Sebelum ini menggunakan Bold 9900 sebelum beralih kepada Classic dan menanti ketibaan KEYone dengan penuh keterujaan. Jom kita pandu uji KEYone.

 

HALAMAN SETERUSNYA: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera

Dari kiri: Bold 9900, Classic & KEYone

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Mula-mula memegang KEYone, dapat dirasakan kehebatannya. Ia ibarat memegang sebuah bongkah besi yang padu, berat tetapi sedap dipegang. Tidak terasa terlalu ringan seperti kebanyakan telefon pintar masa kini.

Rekaan bergetah di belakang juga lebih menarik bagi penulis, kerana ia menjadikan telefon kesat dan tidak licin. Kurang kerisauan ia mudah terlucut dari tangan.

Tetapi kamera belakang memiliki bonjolan yang ketara. Ini merisaukan pula kerana ia pasti mudah tercalar.

Nisbah 1/4 papan kekunci dan 3/4 skrin tidak membebankan untuk penggunaan dua tangan, tetapi agak mustahil untuk penggunaan sebelah tangan. Tidak seperti Classic yang boleh digunakan dengan mudah sebelah tangan kerana skrin lebih kecil, memakan 2/3 bahagian dan kekunci pula 1/3.

 

Kuasa Dalaman

Perkakas di dalam KEYone tergolong dalam kelas pertengahan. Ini kerana ia menggunakan pemproses Snapdragon 625, bukan dari siri 8xx. RAM pula sebanyak 3GB dan storan dalamannya 32GB.

Slot mikroSD terdapat di dalam tetapi malangnya, KEYone hanya menyokong satu kad sim sahaja, tiada model dua kad sim.

Satu perkara yang dijanjikan BlackBerry terhadap semua peranti berkuasa Android, adalah kemaskini keselamatan yang sentiasa pantas. Di KEYone, ia menjalankan sistem operasi Android 7.1.1 Nougat dengan antaramuka yang menghampiri perisa asli.

Untuk rujukan, prestasi KEYone diuji menggunakan aplikasi AnTuTu. Dengan markah 63,009, ternyata kuasa Snapdragon 625 jauh ketinggalan berbanding cip kelas utama tahun lepas, seperi Kirin 950 di Huawei Mate 8 dan Honor 8.

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Jangka hayat bateri KEYone adalah salah satu paling lama pernah dilihat. Kapasiti baterinya adalah 3,505mAh dan ia dicas melalui port USB-C dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Dalam kebanyakan penggunaan penulis yang agak biasa dan tidak terlalu intensif, KEYone dengan mudah boleh bertahan sehingga 3 hari. Sesuatu yang tidak pernah ditemui dalam mana-mana ujian peranti sebelum ini. Masa hidup skrin pula sekitar 3 jam dengan penggunaan biasa.

Walaupun masa skrin hidup memang kurang tetapi 3 hari masa hidup telefon tu, mana lagi nak jumpa?

Masa pengecasan juga sangat bagus. 26% penuh dalam masa 30 minit, 60 minit mencecah 53% dan mencapai 100% dalam masa 2 jam sahaja. Bateri tahan lama dan cas yang pantas, gandingan terbaik yang hanya boleh dicapai dengan KEYone sahaja.

 

Pengalaman Penggunaan

Bagi pengguna skrin penuh, peralihan awal ke KEYone adalah agak janggal. Apatah lagi, papan kekuncinya boleh digunakan sebagai trackpad, atau dipanggil sebagai Touchpad oleh BlackBerry.

Sebagai pengguna BlackBerry Classic sebelum ini, kekunci KEYone terasa sedikit lembut. Kekunci Classic lebih sedap ditekan, lebih-lebih lagi bila menaip untuk jangka panjang. Tetapi kekunci di KEYone ini masih lebih baik dari kekunci di Priv.

Kekunci plastik keras di Classic (kiri) dan kekunci seperti gel di KEYone (kanan)

Disebabkan tidak boleh lagi menaip sebelah tangan seperti di Classic, penggunaan KEYone menjadi sedikit terhad kerana memerlukan kedua-dua belah tangan. Sebenarnya masih boleh menaip sebelah tangan, tapi risau betul terjatuh dari genggaman.

Oleh kerana skrin sentuh yang agak besar, penggunaan Touchpad di kekunci sangat jarang digunakan kerana ibujari yang lebih mudah mencapai ruang tengah telefon. Menatal dengan Touchpad di pelayar juga semacam kurang lancar.

Tetapi aksi memadam perkataan semudah menyapu dari kiri ke kanan di atas permukaan papan kekunci, serta melengkapkan perkataan dengan menyapu dari bawah ke atas adalah satu pengalaman di BlackBerry yang unik dan menyeronokkan. Menaip menjadi lebih mudah, gabungan kunci fizikal dan aksi di Touchpad.

Pengimbas cap jari yang ditanam ke dalam kekunci SPACE pula, agak mudah digunakan dan mengimbas dengan tepat. Cuma ia tidaklah sepantas telefon pintar jenama lain.

Butang kawalan bunyi (atas) dan butang Convenience (bawah) yang agak mengelirukan

Paling menyakitkan hati di KEYone ini adalah butang Convenience. Ia sering disalah anggap sebagai butang kuasa, kerana lokasinya di bawah butang kawalan bunyi. Sedangkan butang kuasa terletak di sebelah kiri. Jika ditetapkan arahan pada butang Convenience, ia akan sering disalah tekan dan melancarkan arahan tersebut. Disebabkan itu, butang ini tidak diaktifkan oleh penulis.

Jika mahu menghidupkan KEYone, ia mengambil masa yang lama untuk Boot. Jangan risau, ia bukan kerana prestasi yang perlahan, tetapi ini kerana BlackBerry memeriksa perkakas dan cip keselamatan tiada perubahan dari diceroboh, memastikan data dan fail di dalam peranti tidak diubahsuai atau dicuri.

Satu lagi kelebihan BlackBerry, adalah BlackBerry Hub. Ia adalah pusat di mana semua notifikasi boleh ditemui. Berbanding notifikasi Android yang hilang selepas dibuang dari ruang notifikasi, BlackBerry Hub memudahkan carian semula notifikasi ini, terutama tentang emel.

Nak tengok balik semua notifikasi yang masuk tadi seperti emel, sms, panggilan, WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi lah, buka je BlackBerry Hub.

BlackBerry juga ada fungsi Edge Screen, menu tersorok di hujung tepi skrin. Di mana sapuan dari hujung skrin ke tengah, memaparkan beberapa info penting iaitu Calendar, emel yang belum dibaca, serta sejarah panggilan. Walaupun Edge Screen ini dipopularkan oleh Samsung, fungsi yang dipilih oleh BlackBerry ini dilihat lebih berguna.

 

Kamera

Perkakas dan prestasi kamera KEYone adalah antara yang terbaik dalam peranti BlackBerry. Tetapi ia masih jauh ketinggalan untuk dibandingkan dengan model flagship seperti Galaxy S8, HTC U11 mahupun iPhone 7. Pendek kata, kamera KEYone boleh digolongkan dalam kelas pertengahan.

Spesifikasi kamera KEYone dilihat agak memberansangkan. Kamera belakangya dilengkapi sensor 12MP F2.0, autofokus PDAF yang pantas serta dwi-tona LED Flash. Saiz sensornya juga besar, iaitu 1.55 mikron. Kamera depan pula menggunakan sensor 8MP F2.2.

Di ruangan video, KEYone boleh merakam sehingga resolusi 4K UltraHD berkelajuan 30 bingkai sesaat (fps), atau resolusi HD Penuh 1080p pada kadar 60fps.

Hanya sapu atas & bawah di Touchpad untuk kawalan pendedahan

Tangkapan gambar dan fokus dikunci agak pantas, apabila di dalam suasana cerah. Tetapi di suasana malap, ia mengambil sedikit masa untuk mengunci fokus. Gambar yang ditangkap dalam suasana malap agak cerah dan terang, tetapi masih sukar menandingi Galaxy S8.

Perkara paling utama untuk melihat prestasi kamera, adalah keupayaan HDR. Bukan sahaja ia dilengkapi fungsi HDR, tetapi boleh menangkap gambar HDR dengan pantas. Di KEYone, tangkapan HDR memerlukan sedikit masa untuk diproses, sekitar 1 saat. Ini dikira lambat. Kerana ini, penulis mengkategorikannya di dalam kamera kelas pertengahan.

Kamera KEYone boleh dilancarkan dengan pantas, dengan menekan butang kuasa 2 kali. Kamera boleh terus digunakan tanpa perlu mengimbas cap jari atau kata kunci. Manakala dalam mod Auto, kawalan pendedahan (exposure) boleh dikawal terus dari papan kekunci, hanya sapu ke atas dan bawah di atas Touchpad.

Mod Manual juga terdapat di kamera KEYone, memberi lebih kawalan untuk autofokus, kepantasan penutup, ISO, keseimbangan keputihan dan pendedahan.

Kawalan mod manual di kamera KEYone

Bagi swafoto, tangkapan kamera depan KEYone memang sangat tidak digalakkan untuk kaki selfie dan instagram. Ini kerana ia tidak memiliki fungsi beautification, jadi gambar yang dirakam tampil asli dan semulajadi. Tetapi, ada banyak aplikasi mengubah suai muka, jadi ia bukanlah masalah besar sebenarnya.

Lihat sampel gambar yang diambil menggunakan BlackBerry KEYone, di dalam Galeri Gambar di Muka 3.

 

HALAMAN SETERUSNYA: Kesimpulan dan Galeri Gambar

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

KEYone adalah telefon terbaik BlackBerry yang dikuasakan Android. Tetapi pengalaman penggunaannya tidak dapat menyaingi peranti BlackBerry yang dikuasakan OS10 seperti Passport dan Classic. Ini kerana peranti lama lebih kecil dan sedap dipegang sebelah tangan, manakala papan kekuncinya juga lebih baik untuk menaip.

Tetapi sistem operasi Android memberikan lebih ruang kepada peranti BlackBerry untuk menggunakan pelbagai aplikasi. Ini boleh membantu pengguna mencapai produktiviti yang lebih baik, ataupun mengurangkan produktiviti kerana terlalu asyik bermain games dan melayan media sosial.

Untuk pengguna Android, KEYone adalah pilihan terbaik masa kini bagi peranti berpapan kekunci fizikal. Ia ternyata lebih mudah digunakan berbanding PRIV sebelum ini. Tapi yang pasti, ia menawarkan tahap keselamatan tertinggi di dalam peranti pengguna ditambah dengan jaminan kemaskini keselamatan terpantas.

Disebabkan tahap keselamatan yang tinggi, Barrack Obama terpaksa menggunakan BlackBerry semasa bertugas sebagai orang no 1 di Amerika Syarikat. Tetapi presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan tidak lagi menggunakan BlackBerry.

Sebagai pengguna Classic, KEYone adalah pengganti terbaik peminat peranti papan kekunci kerana tambah nilai sistem operasi Android. Berbanding harga PRIV yang melampau semasa pelancarannya dahulu, harga KEYone adalah lebih realistik walaupun di dalam kelompok atasan melebihi RM2,000.

Walaupun masih agak ragu-ragu untuk berhijrah ke KEYone dari Classic kerana papan kekunci yang dirasakan tidak sebaik Classic, tawaran aplikasi Android yang sangat luas menjadikan penulis yakin untuk bertukar KEYone.

Jadi, ke KEYone lah kita lepas ni  😉


Galeri Gambar Kamera

(klik untuk gambar bersaiz asal)

Swafoto asli dan semulajadi dengan kamera depan KEYone

Tangkapan cerah di luar bangunan

Suasana malap di dalam bangunan

Suasana cerah di tepi pantai

Gambar luar bangunan dengan latar kabur

Gambar awan, langit dan bangunan

Warna-warni buah-buahan, sedikit kusam

Fokus pelbagai batu dan rumput luar bangunan

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: