Stor rasmi MSI di Lazada akan dilancar semasa LAN Party 36 jam

Hujung minggu ini, ada 3 perkara yang ingin dilakukan MSI Maaysia serentak. Pertama adalah pelancaran stor dalam talian mereka di portal Lazada. Kedua adalah pembukaan pra-tempahan laptop gaming baru, MSI GT75VR yang berkuasa tinggi. Ketiga dan paling utama adalah parti LAN selama 36 jam tanpa henti! Atau nama popularnya LAN Party.

Stor rasmi MSI Malaysia di Lazada yang baru dibuka ini, seperti biasa akan menawarkan promosi pembukaan. MSI menyediakan beberapa hadiah seperti RAM dan set kepala percuma, serta baucer diskaun dengan pembelian laptop MSI terpilih. Promosi ini berjalan dari 1-13 Ogos 2017 yang boleh dilawati di sini.

Di samping itu, MSI juga akan membuka pra tempahan laptop gaming terbarunya, khas di stor MSI di Lazada. Laptop MSI GT75VR merupakan sebuah laptop gaming berkuasa tinggi. Selain pemproses Intel Core i7, ia dibekalkan kuasa grafik NVIDIA GeForce GTX1080 atau GTX1070.

Lebih menarik, ia adalah laptop gaming pertama dengan teknologi Rapid Keyboard oleh SteelSeries. Teknologi ini membolehkan setiap kunci ditetapkan lampu yang tersendiri.

MSI juga memastikan laptop ini yang pertama dilengkapi paparan dengan kadar segar semula 120Hz dan masa respon sepantas 3ms sahaja. Kemampuan menghasilkan paparan 120 bingkai sesaar pasti menjadikan permainan nampak lebih realistik.

Bagi pra-tempahan ini, MSI menyediakan penjualan bersama laptop GT75VR. Untuk model berkuasa grafik GTX1080 8GB GDDR5X, ia didatangkan bersama kerusi Warlord Phantom Gaming Chair bernilai RM899. Manakala model berkuasa GTX1070 8GB GDDR5 pula disertakan monitor gaming ViewSonic VX2757-mhd berukuran 27-inci bernilai RM799.

Tempahan laptop ini akan dibuka dari 1 Ogos – 13 Ogos 2017. Ia boleh dilakukan menerusi stor MSI di Lazada Malaysia.

Akhir sekali, peminat gaming di Malaysia dijemput menyertai LAN Party MSI yang akan diadakan pada hujung minggu ini, 29 & 30 Julai 2017 bertempat di One City, Subang Jaya. Makanan, tempat tidur dan kelengkapan mandi disediakan, selain petugas medik yang sentiasa bersedia.

Di samping bermain pelbagai jenis permainan video bersama ramai gamers lain berterusan selama 36 jam, peserta juga boleh menyaksikan pusingan akhir pertandingan MSI x The Gameplan Interschool Cyber Challenge.

Pusingan akhir ini menyaksikan permainan seperti DotA 2, Overwatch dan Street Fighter dipertandingkan oleh pemenang pusingan kelayakan dari pelbagai kolej dan universiti di seluruh Malaysia.

Maklumat lanjut tentang LAN Party dan pusingan akhir pertandingan ini boleh didapati di Facebook MSI Malaysia.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: