Selebriti Swafoto berkuasa 20MP akan datang dari Huawei

Peminat swafoto pasti gembira dengan berita terbaru Huawei ini. Tidak lama lagi, Huawei Malaysia akan melancarkan telefon pintar dengan kuasa kamera swafoto 20MP. Bukan itu sahaja, ia juga memilki kamera dwi-lensa di belakang.

Huawei Nova 2 Plus adalah telefon pintar yang memiliki ciri-ciri yang disebutkan tadi. Ia merupakan telefon pintar kelas pertengahan yang disasarkan untuk kaki bergambar, lebih-lebih lagi bagi yang gilakan swafoto.

Nova 2 Plus menggunakan kamera 20MP di hadapan, dilengkapi teknologi pengecaman wajah 3D, mengesan struktur muka untuk menghasilkan gambar yang cantik dan menawan. Dengan resolusi yang lebih tinggi, ia boleh menangkap lebih banyak ketelitian. Fungsi kecantikan turut dimuatkan bersama mod potret yang digemari ramai.

Kamera belakang Nova 2 Plus berbeza dari apa yang ada pada Huawei P10. Selain tiada label Leica, ia menggunakan dua lensa berbeza fokal, bukannya gabungan lensa hitam putih & RGB. Lensa pertamanya menggunakan lensa lebar 12MP F1.8, manakala yang kedua adalah lensa telefoto 8MP F2.4. Penggunaan lensa seperti ini menjadikannya ibarat memiliki zum optikal.

Sekali pandang, Nova 2 Plus kelihatan seperti Huawei P10 Plus. Ini kerana ia menggunakan skrin HD Penuh sebesar 5.5-inci, dengan badan besi penuh serta garisan antena berbentuk U dan pengimbas cap jari di belakang.

Kuasa dalaman kelas pertengahannya digerakkan oleh cip Kirin 659 8-teras, 4GB RAM dan storan di antara 64GB dan 128GB. Ia dilengkapi bateri 3,340mAh dengan kuasa pengecasan pantas 18W menggunakan kabel USB-C.

Huawei Malaysia masih belum menyatakan tarikh ketibaan dan harga jualan, tetapi Nova 2 Plus akan boleh dibeli dalam pilihan warna Hitam, Biru dan Emas. Telefon ini telah pun dijual di China pada harga RMB2,899 (~RM1,834) untuk storan 128GB. Info lanjut boleh dirujuk di laman produk Huawei Nova 2 Plus.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: