Qualcomm isytihar perang terhadap Apple

Share Button

Qualcomm, pengeluar cip mudah alih terbesar di dunia sedang dalam permohonan untuk menghalang penjualan iPhone di beberapa kawasan di Amerika Syarikat, hanya disebabkan iPhone tersebut menggunakan cip Intel. Qualcomm menyatakan, Apple telah melanggar paten yang dimilikinya apabila tidak menggunakan cip miliknya.

Ini sebenarnya adalah episod terbaru dalam drama perang antara Apple dan Qualcomm. Ia bermula pada awal tahun ini apabila Apple memfailkan saman terhadap Qualcomm kerana dikatakan mengenakan kadar yang terlampau mahal dalam perjanjian perlesenan.

Ini kerana Qualcomm yang memiliki banyak paten berkaitan cip rangkaian mudah alih terutama modem, mengenakan kadar perlesenan berdasarkan harga peranti, bukannya satu harga untuk satu cip. Untuk iPhone yang lebih mahal dari biasa, Apple terpaksa membayar caj yang tinggi walaupun menggunakan cip yang sama seperti telefon yang lebih murah.

Kerana saman ini, Apple telah menghentikan pembayaran lesen kepada Qualcomm untuk bulan Mac. Apa lagi, Qualcomm yang tidak menerima bayaran dari Apple pun membuat saman balas untuk menuntut bayaran kerana melanggar perjanjian.

Kemudian Qualcomm menambah tekanan kepada Apple, dengan saman terbaru ini yang mahu menghentikan penjualan iPhone kerana Apple dikatakan melanggar paten yang dimiliki Qualcomm.

Di Amerika Syarikat, iPhone yang dijual melalui syarikat telekomunikasi menggunakan dua cip modem berbeza. Rangkaian AT&T dan T-Mobile menggunakan cip modem Intel manakala rangkaian Verizon dan Sprint menggunakan cip modem Qualcomm. Permohonan larangan menjual iPhone oleh Qualcomm, memaksa penjualan iPhone di AT&T dan T-Mobile dihentikan.

Walaupun Apple mencipta sendiri cip pemproses mereka di dalam iPhone, ia masih menggunakan gabungan pelbagai teknologi dan salah satunya adalam modem Qualcomm. Buat masa ini, hanya Qualcomm yang memiliki modem LTE berkelajuan sehingga 1Gbps.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Qualcomm berdepan masalah ini. Pada Mei tahun ini, Qualcomm telah mencapai kata sepakat untuk membuat bayaran balik kepada BlackBerry, kerana BlackBerry telah terlebih bayar wang royalti untuk menggunakan teknologi Qualcomm di dalam peranti. BlackBerry menerima bayaran awal sebanyak USD814.9 juta (~RM3.5 bilion) dari Qualcomm dan akan menerima beberapa bayaran lagi berkaitan faedah dan kadar guaman kemudian.

Qualcomm dilihat memonopoli dunia rangkaian mudah alih kerana memiliki teknologi yang tercanggih dan tiada saingan yang setara. Kerana itu, banyak syarikat terpaksa menurut sahaja perjanjian berat sebelah yang ditetapkan oleh Qualcomm ini.

Kerana monopoli ini juga, Qualcomm telah didenda oleh China sebanyak hampir USD1 bilion pada tahun 2015. Ia diikuti oleh hukuman dari kerajaan Korea Selatan sebanyak USD850 juta pada Disember tahun lepas. Kini Amerika Syarikat pula sedang menjalankan siasatan monopoli oleh Qualcomm di negara tersebut.

Mungkin Malaysia juga perlu membuat siasatan anti monopoli Qualcomm ni, tapi ada ke pengeluar peranti di sini?

[SUMBER: BBC]

Apa komen anda?