Nanti boleh semak Wang Tak Dituntut dalam portal JANM

Baru-baru ni tular tentang berita Wang Tak Dituntut (WTD) di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), selepas seorang wanita dikatakan menerima RM14,000 setelah membuat semakan. Sejak itu, ramai orang telah pergi ke pejabat JANM seluruh negara sehingga sesak pejabat JANM dibuatnya.

Melihatkan sambutan luar biasa tersebut, JANM dilaporkan akan membangunkan portal semakan dan permohonan dalam talian khusus bagi urusan WTD. Ia dijangka akan mula beroperasi tahun depan, kata JANM dalam maklum balas kepada Harian Metro.

“Kita memahami keperluan portal ini berdasarkan keadaan semasa yang mahukan proses semakan lebih cepat dan mudah tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter.

“Namun apa yang perlu lebih difahami masyarakat adalah semakan WTD ini tidak mempunyai tarikh luput, jadi jika tiada keperluan mendesak, orang ramai tidak perlulah membuat semakan serentak pada satu masa sehingga mengakibatkan kesesakan di kaunter JANM,” tambah JANM lagi.

Buat masa ini, semakan WTD boleh dibuat di semua pejabat JANM negeri di seluruh negara. Orang ramai tidak perlu menyerbu Pejabat Pendaftar JANM di tingkat 42 Menara Maybank, Kuala Lumpur yang sesak beberapa hari lalu kerana mahu membuat semakan WTD.

Tambahan lagi, jangan pula berasa hampa selepas membuat semakan kerana tidak mendapat wang runtuh yang diharapkan. Kalau tiada keperluan yang terlalu penting, tidak perlu pergi membuat semakan WTD sekarang. Maklumat lanjut tentang WTD boleh dirujuk di laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Bawa bertenang dan bawa bersabar, banyak masa lagi boleh pergi buat semakan.

[SUMBER: Harian Metro]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: