Moto Z2 Play janji lebih keseronokan bersama Moto Mods

Telefon boleh ubahsuai terbaru Motorola hari ini tiba di Malaysia. Untuk peminat telefon pintar modular seperti aksesori Moto Mods, Motorola Malaysia hari ini memperkenalkan Moto Z2 Play yang lebih nipis dan anggun.

Moto Z2 Play mengekalkan badan besi unibodi, dengan skrin Super AMOLED sebesar 5.5-inci HD Penuh. Tetapi badan yang nipis terpaksa mengorbankan bateri, apabila ia dibekalkan dengan bateri 3,000mAh, berbanding 3,510mAh pada Moto Z Play.

Kuasanya pasti lebih baik, Z2 Play kini dibekalkan pemproses Snapdragon 626, 4GB RAM dan juga 64GB storan dalaman, dengan sokongan kad mikroSD.

Bahagian kamera juga dipertingkat, kini dengan kuasa 12MP f1.7 bersama autofokus dwi-piksel yang pantas, serta sensor besar bersaiz 1.4-mikron. Kamera hadapan pula 5MP f2.2 dengan sesnor 1.4-mikron dan dwi-tona LED Flash.

Dengan sokongan Moto Mods, pengguna Moto Z2 Play boleh menambah bateri tambahan, pembesar suara, mahupun kamera dengan 10x zum optikal. Bagaimanapun tiada Moto Mods baru diumumkan bersama pada pelancaran hari ini.

Moto Z2 Play kini telah dijual di seluruh Malaysia, dengan tanda harga RM1,999. Dua warna pilihan disediakan iaitu Lunar Gray dan Fine Gold. Sebagai promosi penjualan awal, 1,000 pembeli pertama Moto Z2 Play akan menerima hadiah percuma berupa topi eksklusif Moto, bingkai besi unik Moto Z2 Play, kayu swafoto Motorola dan Filem Cecair Nano, semuanya bernilai RM299.

Motorola juga akan mengadakan jelajah di Lembah Klang, di mana kereta Motorola akan bersiar-siar di antara 7 Julai hingga 12 Julai. Orang ramai yang bertemu kereta Motorola ini berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah, dengan hadiah utama berupa Moto Z2 Play sendiri. Maklumat lanjut tentang jelajah ini boleh dirujuk di Facebook Moto Malaysia.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: