Lupakan Uber dan Grab, gunakan oBike

Jika perjalanan yang dekat, lebih mudah naik basikal daripada memanggil teksi, Uber atau Grab. Tetapi kalau nak ke stesen LRT atau pusat membeli-belah, di mana nak letak basikal?

Masalah meletak basikal ini tidak perlu difikirkan lagi jika anda menggunakan oBike. Ia adalah platform perkongsian basikal tanpa stesen pertama di Malaysia. Tanpa stesen ini bermaksud, anda tidak perlu memulangkannya ke lokasi yang tetap. Boleh tinggalkan sahaja di mana-mana. Pasti mudah jika hendak ke stesen LRT.

Tetapi ia datang dengan terma dan syarat. Basikal itu perlulah dikunci dan diletakkan di kawasan awam, bukan kawasan peribadi atau tertutup.

oBike kini baru memulakan operasi di Cyberjaya, dan menawarkan promosi istimewa untuk pengguna di Cyberjaya. Dengan kod promosi CYBERJAYA, pengguna boleh menikmati 20 kali penggunaan oBike selama 15 minit, serta penggunaan tanpa had pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Julai ini.

Selain Cyberjaya, oBike telah beroperasi di Kota Damansara, Bandar Sunway dan Petaling Jaya.

Untuk menempah oBike adalah mudah, sama seperti menggunakan Uber atau Grab. Ia dapat dilakukan menerusi aplikasi oBike, yang boleh dimuat turun di Apple Appstore atau Google Playstore.

Pendaftaran kali pertama dilakukan menggunakan nombor telefon, bersama bayaran wang deposit sebanyak RM129 (sekali sahaja untuk jaminan) menggunakan kad kredit/debit. Kemudian beli tambah nilai kredit.

Seterusnya untuk menggunakan basikal, hanya cari sahaja menerusi peta atau buat tempahan awal. Apabila bertemu basikal oBike, imbas kod QR pada basikal tersebut untuk membuka kunci basikal. Kunci akan terbuka dan basikal boleh mula digunakan.

Apabila tiba di destinasi, letakkan basikal di kawasan terbuka dan tidak menghalang laluan. Kemudian kuncikan basikal tersebut. Caj penggunaan oBike hanyalah RM1 setiap 15 minit.

Untuk mengenali perkhidmatan oBike dengan lebih lanjut, layari laman web www.o.bike, serta sertai mereka di Facebook oBikeMY dan instagram @obikemy.

[SUMBER: CyberJaya Malaysia]