Kad grafik naik harga akibat aktiviti melombong

Share Button

Kegilaan melombong wangkripto (cryptocurrency) seperti Bitcoin dan Ethereum, telah membuka peluang kepada pengeluar kad grafik untuk menghasilkan edisi khas melombong. Kerana itu, NVIDIA dilaporkan bakal mengeluarkan kad grafik yang direka khas untuk melombong wangkripto ini.

Perkara ini perlu dilakukan, untuk memastikan bekalan kad grafik biasa mencukupi dengan harga yang stabil. Ini kerana beberapa jenis kad grafik yang dikaitkan sangat sesuai untuk kegunaan melombong, telah melonjak harganya.

ASUS dan Sapphire, dua pengeluar kad grafik telah mengumumkan edisi khas kad grafik untuk melombong wangkripto. Perbezaannya dari yang biasa, kad grafik ini tidak memiliki sambungan paparan keluar. Tiada HDMI, tiada Display Port mahupun VGA dan DVI. Tidak boleh disambung ke monitor, TV serta apa jua paparan luar.

Kad Grafik ASUS P106

Perkara ini disokong lagi dengan penghasilan papan induk edisi khas melombong. Ia adalah papan induk dengan slot PCI-Express yang lebih banyak. BIOSTAR misalnya, telah melancarkan papan induk edisi khas melombong yang boleh memuatkan sehingga 12 kad grafik. Kegunaannya, melombong wangkripto menggunakan kuasa pemproses grafik sebanyak mungkin.

Papan Induk BIOSTAR TB250-BTC PRO

Nilai mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum melonjak tahun ini, menjadikan kegiatan melombong wang digital ini digilai ramai. Nilai Bitcoin naik sebanyak 140% tahun ini, manakala Etherum pula sebanyak 2,700%. Ini menyebabkan permintaan terhadap kad grafik NVIDIA dan AMD meningkat berganda.

Penggunaan Bitcoin masih tidak popular di Malaysia, tetapi ia boleh digunakan secara meluas dalam talian. Pasaran Malaysia juga terkesan dengan perkara ini, apabila beberapa kad grafik dilihat telah naik harga, dipercayai akibat permintaan yang tinggi di Malaysia untuk melombong wangkripto.

Adakah anda juga terlibat dalam industri melombong wangkripto ini? Dapat banyak dah untung?

[SUMBER: CNBC]

Apa komen anda?