HTC U11 Terajui Carta Antutu Selaku Telefon Paling Berkuasa

Antutu menerbitkan senarai bulan Mei 2017 untuk telefon paling berkuasa dan HTC U11 telah memintas iPhone 7 Plus untuk menduduki tempat pertama. Antutu mengumpulkan mata purata peranti pintar Android atau iOS yang menjalankan ujian tanda aras yang menggunakan perisian mereka bagi menjana carta setiap bulan.

Carta Antutu bulan Mei 2017

Carta Antutu bulan April 2017

HTC U11 adalah satu-satunya telefon yang mencatatkan markah melebihi 180 ribu sedangkan iPhone 7 plus, Mi 6, Galaxy S8 dan S8+ hanya berada di takuk 170 ribu. OnePlus 3T dan 3 yang menggunakan cip Snapdragon 820 pula berada di tahap 158 ribu.

iPhone 7 Plus dan 7 mengalami penyusutan markah paling ketara dalam semua telefon yang tersenarai. Daripada 177 ribu mata pada bulan April, ia hanya mencatatkan 174 ribu mata untuk bulan Mei, satu penurunan sebanyak 4,000 mata.

OnePlus 3/3T turut mengalami penyusutan tetapi tidaklah begitu ketara iaitu kira-kira 1 ribu. OnePlus 5 masih belum memasuki carta secara rasmi.

HTC U11 adalah sebuah flagship yang unik kerana pada bahagian sisinya terdapat sensor tekanan yang boleh berinteraksi dengan tangan pengguna. Kameranya diiktiraf sebagai yang terbaik dalam carta DxOMark dan ia kalis debu dan air pada tahap IP67.

Di Malaysia, HTC U11 dijual pada harga RM3,099 dan boleh didapati dalam warna Amazing Silver, Sapphire Blue dan Brilliant Black. Warna Solar Red dan Ice White akan datang kemudian.

[Sumber: Antutu, 2]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: