[WWDC 2017] 11 perkara paling menarik dalam iOS 11

Perkara paling dinanti ramai pada setiap acara Apple WWDC, pastinya adalah kemaskini sistem operasi iOS. Versi iOS ke 11 ini boleh mula dimuat turun hari ini buat pembangun, dan sedia dilancarkan kepada orang ramai menjelang suku ke-4 tahun ini.

iOS 11 akan boleh digunakan pada semua tablet iPad, serta telefon pintar iPhone 5s dan ke atas. Mari semak 11 fungsi baru yang paling menarik diumumkan akan tiba di iOS 11 kelak.

1. Control Centre

Apple mereka semula Control Center yang menjadi pusat kawalan butang utama, dengan lebih banyak tetapan dan kawalan. Seperti biasa, ia boleh diakses dengan sapuan dari bawah skrin ke atas. Dengan sentuhan Force Touch, ia akan memberikan lebih banyak tetapan untuk diubahsuai pengguna.

2. Peta dalam bangunan

Apple Maps pada iOS 11 akan memperkenalkan peta di dalam bangunan, terutama sekali di pusat membeli belah dan lapangan terbang. Untuk peringkat awal, ia akan merangkumi pusat membeli-belah yang terletak di serata Amerika Syarikat. Manakala lebih 20 lapangan terbang antarabangsa di seluruh dunia akan terdapat di dalam Apple Maps, dengan lebih banyak lagi akan ditambah di masa kemudian.

3. Navigasi dengan panduan lorong dan had laju

Apple Maps juga akan menerima Navigasi yang dikemaskini, di mana ia dilengkapi dengan panduan lorong yang memudahkan pengguna mengenalpasti lorong untuk membelok. Ia juga akan memiliki notifikasi had laju jalan.

4. Jangan ganggu semasa memandu

Untuk memastikan pemandu lebih fokus di jalan, Apple memasang aplikasi ‘Do Not Disturb While Driving‘ (jangan ganggu semasa memandu). Apabila diaktifkan, ia tidak akan memaparkan sebarang notifikasi di atas skrin, melainkan pengguna menghidupkan sendiri skrin. Ia akan boleh mengesan pergerakan kenderaan, dan mencadangkan pengguna untuk mengaktifkan mod ini.

5. Penterjemah Siri

Siri turut menerima peningkatan di dalam iOS 11. Ia kelak akan boleh memberi terjemahan bahasa, tetapi terhad kepada bahasa China, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol untuk peringkat awal, selain bahasa Inggeris sendiri. Terjemahan bukan dalam bentuk perkataan, tetapi Siri akan turut menyebutnya.

6. Apple Pay kawan

Apple Pay memang diketahui digunakan untuk membuat pembayaran di kedai, mahupun laman e-dagang. Di iOS 11, Apple Pay ditambah fungsi menghantar dan menerima wang sesama pengguna. Fungsi ini boleh digunakan terus dari dalam iMessages. Jangan risau, ia masih memerlukan pengesahan capjari untuk penghantaran. Cuma, Apple Pay masih belum dilancarkan di Malaysia.

7. Rakaman video pelbagai efek

Pengguna iPhone yang sangat gemar menangkap gambar, akan menerima fungsi baru yang lebih menyeronokkan. Selain trim rakaman video, ia boleh disenyapkan, diulang-ulang, gerak belakang, serta pendedahan panjang untuk efek yang sangat menarik. Selain itu, format pemampat baru memastikan saiz gambar dan video lebih kecil untuk menjimatkan lebih ruang.

8. Appstore serba baru

Tidak pernah berubah sejak dilancarkan, Appstore di iOS 11 akan menerima perubahan drastik. Ia akan memaparkan tab khas seperti aplikasi menarik harian, permainan, aplikasi dan banyak lagi. Selain itu, ia juga menyediakan lebih ruang untuk aplikasi lebih dikenali seperti cerita bagaimana ia dicipta, serta cara penggunaan. Pembangun juga boleh meletakkan terus pembelian dalam aplikasi, terus di Appstore.

9. Messages di awan

Mulai iOS 11, Apple akan menyimpan semua mesej di Messages, di dalam iCloud. Ini akan memudahkan pengguna bertukar-tukar peranti, tanpa risau kehilangan mesej. Tetapi adakah ia akan selamat dari intipan pihak berkuasa? Ini bergantung kepada Apple sendiri.

10. Files Explorer (iPad)

Khas untuk iPad, akhirnya pengguna boleh menguruskan sendiri semua fail di dalam storan dengan mudah melalui aplikasi Files. Ia tidak terhad kepada fail di dalam peranti sahaja, malah ke dalam storan awan pengguna seperti iCloud, Box, Dropbox, Microsoft OneDrive, Google Drive dan banyak lagi. Pasti fungsi ini lama dinantikan.

11. Dok lebih luas dan kawalan pelbagai tetingkap (iPad)

Dok aplikasi di bawah skrin iPad, kini kelihatan seperti di MacOS apabila ia boleh ditambah sebanyak mungkin. Penggunaan tetingkap pelbagai juga lebih efektif, kerana pengguna boleh angkat dan letak (drag and drop) pelbagai kandungan dari satu aplikasi, ke aplikasi lain. Susunan dwi-tetingkap juga menjadi lebih dinamik, dan boleh dipadankan untuk diaktifkan bersama-sama.

Banyak lagi fungsi baru iOS 11 turut diumumkan seperti elemen sosial Apple Music, sokongan audio pelbagai bilik antara iPhone, iPad dan pembesar suara yang serasi, serta pembangunan realiti augmentasi (AR) menerusi pembangunan ARKit, dan banyak lagi.

Apakah fungsi yang paling anda nantikan dari iOS 11 ini?

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: