Siaran analog akan ditamatkan dengan ketibaan siaran digital myFreeview

Akhirnya siaran TV digital tiba di Malaysia secara rasmi. MYTV Broadcasting yang diberi amanah oleh kerajaan untuk membangunkan rangkaian dan infrastruktur TV digital (DTT) di Malaysia, hari ini melancarkan myFreeview.

myFreeview adalah jenama bagi perkhidmatan DTT untuk Siaran Televisyen Digital Malaysia. Ia menawarkan siaran TV dan radio sedia ada secara digital, dengan percuma tanpa sebarang yuran langganan.

Gambar oleh Bernama

Majlis pelancaran myFreeview ini disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Dalam majlis yang sama, beliau mengumumkan sebanyak 4.2 juta dekoder MYTV (DVB-T2) percuma akan diedarkan kepada orang ramai, termasuk penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pemberian dekoder percuma ini diadakan secara berperingkat, sehingga suku kedua 2018.

Kepada yang tidak menerima dekoder percuma dan berminat untuk menonton saluran TV secara digital, mereka boleh membeli dekoder ini berharga RM299, menerusi wakil penjual sah MYTV dari senarai di sini, atau menghubungi MYTV di talian 1-300-80-6988. Selain menggunakan dekoder, siaran myFreeview juga boleh dinikmati melalui TV Digital yang dilengkapi penala digital (built-in digital tuner).

Malaysia mensasarkan untuk menghentikan siaran TV analog pada Jun 2018, selaras dengan sasaran yang ditetapkan negara ASEAN, untuk menghentikan siaran TV analog menjelang tahun 2020. Singapura telah pun menghentikan siaran TV analog tahun ini.

Dengan pemberhentian siaran analog, kerajaan akan dapat mengitar semula spektrum ini untuk digunakan pada servis komunikasi lain seperti rangkaian selular serta jalurlebar mudah alih.

Buat masa ini, myFreeview menyiarkan saluran percuma sedia secara digital iaitu TV1, TV2, TVi, TV3, ntv7, 8TV, TV9, TV AlHijrah dan Bernama News Channel (BNC). Lebih banyak saluran interaktif akan ditambah di masa akan datang.

Pada tahun 2014, MYTV menjangka untuk memulakan siaran pertama mereka dengan 30 saluran definisi biasa dan definisi tinggi (HD). Ini termasuk saluran TV percuma seperti RTM TV1 & TV2, serta saluran berbayar seperti video-on-demand dan saluran membeli-belah dari rumah. Pada penghujung 2019, mereka menjangkakan akan memancarkan hampir 90 saluran melalui MyTV.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web myFreeview serta MYTV Broadcasting.

[SUMBER: Bernama]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: