HTC U11 membawa kamera terhebat ke Malaysia

HTC Malaysia hari ini melancarkan HTC U11, yang baru diperkenalkan di Taiwan 2 minggu lepas. Ia menampilkan sisi yang peka genggaman, sesuatu yang agak baru di arena telefon pintar.

HTC U11 adalah telefon kelas atasan yang baru, lebih hebat dari U Ultra. Ini kerana ia digerakkan pemproses Snapdragon 835, RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.

Badannya masih mengekalkan rekaan Liquid Surface, kaca di belakang. Kali ini ia boleh dimasukkan ke dalam air, kerana diiktiraf kalis air dan debu IP67.

Skrin HTC U11 seluas 5.5-inci beresolusi QHD (2560×1440), menggunakan paparan Super LCD 5. Ia dilapisi kaca Cornig Gorilla Glass 5 3D yang melengkung di sisi.

Tetapi kehebatan utamanya adalah di kamera. Laman penguji kamera DxOMark meletakkan HTC U11 di atas Google Pixel dan Galaxy S8, dengan markah tertinggi 90.

Kamera belakang HTC U11 menggunakan sensor 12MP f/1.7 UltraPixel 3, dengan penstabil imej optikal (OIS). Sistem UltraSpeed AutoFocus memberikan keupayaan membidik fokus pantas ibarat kamera DSLR. Kamera depan pula menggunakan sensor 16MP f/2.0 UltraPixel.

Sensor tekanan di sisi, memberikan sesuatu yang unik pada HTC U11. Dengan mengenakan sedikit tekanan ketika menggenggam, suatu arahan boleh dilaksanakan. Seperti membuka lampu, melancarkan aplikasi, ataupun mengunci skrin. Bersarung tangan juga tiada masalah untuk melancarkan aplikasi secara genggaman.

HTC U11 tidak memiliki port audio 3.5mm, sama seperti U Ultra. Mereka menyediakan fon kepala USonic melalui sambungan USB-C. Fon kepala menghasilkan bunyi berkualiti tinggi dan dibantu penghapus bunyi aktif (ANC). Ia juga memiliki sistem bunyi stereo HTC Boom Sound Hi-Fi.

Bateri berkapasiti 3,000mAh dimuatkan di dalam HTC U11, bersama pengecas pantas QuickCharge 3.0. Sistem operasi Android 7.1 Nougat bersama antaramuka HTC Sense digunakan padanya.

HTC U11 akan mula dijual di Malaysia bermula penghujung Jun 2017, dengan tanda harga RM3,099. Sebanyak 3 warna disediakan iaitu Amazing Silver, Sapphire Blue dan Brilliant Black. Warna Solar Red dan Ice White akan datang kemudian.

Pra-tempahan akan dibuka di laman Lazada, 11street serta Facebook Page HTC Malaysia. Maxis juga akan menjadi rakan niaga pertama menyediakan tempahan awal.

Mereka yang membuat tempahan awal dari tempat yang dinyatakan di atas, akan menerima hadiah eksklusif U11timate berisi barangan cenderahati HTC Edisi Terhad.

Dengan tanda harga ini, HTC U11 menyertai barisan telefon flagship seperti Galaxy S8 (RM3,299), Xperia XZ Premium (RM3,399) dan iPhone 7 (RM3,199).

Mampukah kamera yang diiktiraf terhebat oleh DxOMark ini mencuri minat anda? Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman produk HTC U11.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: