Digi mahu pengguna lebih bebas memilih FREEDOM

Untuk memudahkan pengguna memilih pakej internet yang sesuai, Digi hari ini memperkenalkan Freedom to Internet. Digi membuat sedikit perubahan dan memberikan nama baru untuk tawaran internet mereka iaitu Music Freedom, Video Freedom, Gaming Freedom dan Roaming Freedom.

Dalam pelancaran hari ini, Digi mengumumkan liputan 4G LTE mereka telah mencapai 85% kawasan berpenduduk. Manakala rangkaian LTE-Advanced (LTE-A) yang lebih pantas telah mencapai 42% kawasan berpenduduk.

Digi juga baru-baru ini telah mengaktifkan spektrum 900MHz. Ia akan memberikan signal dalam bangunan yang lebih kuat, di samping liputan di luar yang lebih meluas.

 

Music Freedom

Music Freedom bukanlah perkara baru untuk pengguna Digi. Sebelum ini, Digi menyediakan minima 1GB kuota Music Freedom percuma. Bermula hari ini, pengguna prabayar dan pascabayar Digi yang telah bersama Digi sekurang-kurangnya 6 bulan, akan menerima kuota Music Freedom sebanyak 5GB setiap bulan secara percuma.

Dengan Music Freedom, pengguna Digi boleh menstrim pelbagai platform muzik popular seperti Spotify, Joox dan Smule, menggunakan kuota khas ini.

 

Video Freedom

Di Video Freedom, Digi memperkenalkan sesuatu yang baru. Dengan hanya RM5 sebulan, pengguna Digi boleh menikmati akses premium ke Viu, bersama kuota strim video sebanyak 5GB. Ia ibarat diskaun 50% untuk langganan premium Viu (RM10 sebulan), dan datang dengan kuota tambahan. Digi memaklumkan, akan meluaskan tawaran ini ke iflix dan Tonton pada bulan Julai nanti.

Viu menyediakan pelbagai kandungan drama dari Asia, terutama sekali drama Korea. Paling menarik, Viu menjanjikan kandungan drama Korea beberapa jam selepas disiarkan di Korea. Malah, ia disertakan bersama sarikata.

Digi juga masih menyediakan kuota khas strim video melalui Video Freedom. Untuk pengguna prabayar, RM1 akan memberikan strim tanpa had selama 24 jam, dengan kelajuan 512Kbps. Untuk pascabayar pula, RM1 memberikan 3GB data strim video untuk 1 jam. Atau, RM5 memberikan pengguna prabayar dan pacabayar kuota strim video sebanyak 10GB selama 24 jam. Sesuai untuk marathon drama berterusan tanpa henti.

 

Gaming Freedom

Dalam Gaming Freedom pula, Digi kini menyediakan cara mudah untuk membeli barangan di dalam game. Tanpa perlu menggunakan kad kredit/debit, permainan dari Steam dan Garena seperti League of Legends, Dota 2, Counter-Strike dan FIFA, kini menerima pembayaran terus dari akaun prabayar atau pascabayar Digi untuk pembelian di dalam game.

Pembayaran di Garena juga boleh dibuat menggunakan kod tambah nilai Digi tanpa perlu menjadi pelanggan Digi. Hanya dapatkan kod tambah nilai 16 angka menerusi kad tambah nilai atu e-reload, kemudian gunakannya di laman pembayaran Garena.

Digi juga menjalankan promosi khas untuk permainan League of Legends (LoL). Dari 1 hingga 15 Julai 2017, dapatkan kad tambah nilai prabayar Digi edisi khas LoL. Skin khas LoL bernilai RM50 turut diberi untuk pembelian kad tambah nilai RM100. Kad edisi khas LoL ini boleh dibeli di Digi Store dan Digi Store Express.

 

Roaming Freedom

Akhir sekali Roaming Freedom, adalah penjenamaan semula pakej perayauan sedia ada Digi. Seperti pakej Roam Like Home bagi mereka yang sering ke luar negara, memberikan 5GB data bersama 60 minit panggilan untuk perayauan di Brunei, China, Hong Kong, Indonesia, Myanmar, Singapura, Taiwan dan Thailand. Ia berharga RM30 sebulan, tetapi diberikan percuma untuk pelan prabayar RM80 ke atas, dan hanya RM10 untuk pelan di antara RM70 ke RM80.

Bagi penggunaan yang singkat, Digi menawarkan Roaming Pass. Seperti Pas Sosial 24 jam bernilai RM5/RM10 sehari, Pas Kombo 24 jam dengan 500MB dan 10 minit panggilan bernilai RM15, atau Pas Kombo 72 jam dengan 2GB internet dan 30 minit panggilan berkadar RM25.

 

Adakah susunan baru Digi Freedom to Internet ini menarik untuk anda sebagai pengguna Digi? Maklumat lanjut boleh ditemui di laman Digi Freedom to Internet.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia