Cyberjaya sambut ulangtahun ke-20 dengan 11 projek besar

Tahun ini genaplah Cyberjaya berusia 20 tahun. Bandar yang menjadi teras Koridor Raya Multimedia (MSC) ini, telah menyaksikan pelbagai perkembangan teknologi, menjadi hab utama perkembangan dunia digital di Malaysia.

Hari ini, sempena sambutan ulangtahun ke-20 Cyberjaya, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan beberapa projek dan pelaburan baru yang akan dibangunkan di Cyberjaya. Ia digerakkan selaras dengan wawasan Transformasi Negara 2050 (TN50) yang baru.

Terdapat 11 pengumuman yang diumumkan dalam sambutan hari ini:

1. Pusat Big Data Asia – Pelaburan sebanyak RM100 juta dalam masa 5 tahun, sebuah projek kerjasama di antara Cyberview Sdn Bhd dan Winhong Information Technology Corporation. Dijangka 500 pekerjaan baru akan dihasilkan dari projek ini.

2. Hab Fintech Serantau – Selari dengan polisi China, Belt & Road, ia akan menerima pelaburan melebihi RM60 juta dalam masa 5 tahun, dengan 300 pekerjaan baru. Ia merupakan kerjasama di antara Cyberview Sdn Bhd, Barrington Group Co. Ltd dan Beijing Fullrich Information Technology Co. Ltd.

3. Futurise Centre – Cyberview Sdn Bhd dan Malaysian Global Creativity & Innovation Centre (MaGIC) akan membuka sebuah hab yang akan menjadi pusat R&D dan IP. Antara mereka yang mengumumkan kerjasama adalah Universiti Multimedia (MMU), University Tsinghua, United Nations Technology Innovation Lab (UNTIL) serta Makmal AI dan Hololens Microsoft.

4. Blue Ocean Entrepreneurship Town (BOET) – Sebuah bandar berkonsep yang dibangunkan Cyberview bagi membantu entreprenuer dari pelbagai industri, berkumpul dan bekerjasama untuk menjadikan inovasi dan kreativiti kepada suatu yang berjaya.

5. Cyberjaya City Centre Fasa 1 – Di tapak seluas 53.36 ekar, akan dibangunkan sebuah pusat bandar merangkumi pusat konvensyen dan juga hotel. Ia akan dibangunkan oleh Cyberview dan MRCB Land Sdn Bhd.

6. Cyberjaya Innovation Fund for the Future (CIFF) – Kementerian Kewangan Malaysia memperuntukkan dana bernilai RM100 juta dalam masa 10 tahun bermula 2018. Dana ini akan memberi fokus berkaitan pembangunan bandar pintar di Cyberjaya. Ia terbuka kepada penduduk tempatan dan luar negara.

7. Hospital Cyberjaya – Hospital Kerajaan ini dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan dengan modal berjumlah RM500 juta di atas tapak seluas 12.82 ekar. Dengan konsep hospital pintar, ia dijangka siap pada tahun 2020.

8. Pusat Data Teras VADS Lembah Klang – Projek oleh Telekom Malaysia ini dibangunkan di atas tanah 400,000 kaki persegi, diiktiraf pusat data mesra alam dengan pelbagai servis dan sambungan.

9. CBJ4Annex – Pengembangan dari fasiliti sedia ada sebanyak 40,000 kaki persegi.

10. Sensor Applications Innovation Center (SONIC) – Menumpukan kepada Cyberjaya sebagai makmal Internet of Things (IoT), ia dibangunkan di atas tapak 1.4 ekar dengan kos pembangungan RM10 juta.

11. Jalurlebar 1Gbps – Gentian optik berkelajuan 1Gbps akan disediakan kepada penduduk dan perniagaan di Cyberjaya. Projek ini diuruskan oleh Setia Haruman.