[Test Produk] Huawei P10 Plus, fotografi jalanan lebih menyeronokkan

KELEBIHAN

+ Kamera yang sangat menyeronokkan
+ Pengecasan pantas SuperCharge
+ RAM dan Storan sangat besar

KEKURANGAN

– Speaker stereo tidak seimbang
– Tidak kalis air
– Bateri tak tahan lama

Pengenalan

Huawei mencapai populariti yang tinggi tahun lepas, selepas pelancaran Huawei P9 yang dihasilkan dengan kerjasama pakar kamera, Leica. Ia membantu meletakkan Huawei dalam golongan tiga terbaik dalam pasaran telefon pintar.

Tahun ini Huawei kembali lagi bersama Leica, melancarkan telefon pintar Huawei P10 dan P10 Plus. Tetapi hanya Huawei P10 Plus menerima naiktaraf lensa Leica lebih baik, yang digelar SUMMILUX-H.

Secara peribadi, penulis sangat meminati Huawei P9 Plus, menggolongkannya dalam pilihan terbaik selepas Samsung Galaxy S7 edge. Adakah Huawei P10 Plus boleh melonjakkan kedudukan Huawei lebih tinggi?

Sertai kami dalam pandu uji telefon pintar Huawei P10 Plus ini.

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Sekilas pandang, tidak banyak perbezaan antara P10 Plus dengan P9 Plus. Tetapi jika dipandang dengan lebih teliti, P10 Plus diberikan garisan antena di belakang berbentuk U, di bahagian atas dan bawah telefon.

Di belakang, dwi-lensa yang diiktiraf Leica masih di kedudukan yang sama, terletak di sudut atas kiri dengan cetakan perkataan LEICA dan lensa SUMMILUX-H di tepinya.

Kemasan belakang Huawei P10 Plus juga berbeza dari P9 Plus yang licin. Ia berbeza mengikut warna. P10 Plus yang diuji ini adalah warna Dazzling Gold, dengan kemasan yang dipanggil Hyper Diamond-Cut. Kemasan berbonjol kecil ini mungkin ada yang kurang minat, tapi ia disukai oleh penulis kerana tidak licin dan tidak mudah tergelincir dari genggaman.

Satu perkara paling berbeza, adalah kedudukan pengimbas capjari. Ia telah dialihkan ke depan, turut bertindak sebagai butang Home tetapi bukannya butang fizikal. Mungkin sedikit pelik, tiga butang kawalan Back, Home Recent masih terdapat dalam bentuk digital atas skrin.

Skrin P10 Plus walaupun masih sama saiznya 5.5-inci, tetapi resolusinya ditingkat ke WQHD 2560×1440 DPI. Bezelnya juga lebih kecil.

Lain-lain perkara nampak sama. Butang kuasa dan butang kawalan bunyi di sisi kanan. Manakala di bawah telefon pula terdapat port audio 3.5mm (ya, masih wujud), port USB-C dan gril pembesar suara. Pemancar infra merah juga masih terdapat di sisi atas P10 Plus.

Satu lagi perkara baru pada Huawei P10 adalah tambahan warna Pantone, Greenery dan Dazzling Blue. Ia warna yang sangat menyerlah, boleh menarik minat orang ramai di sekeliling.

 

Kuasa Dalaman

Huawei menghasilkan sendiri pemproses untuk telefon pintarnya, di bawah nama Hi-Silicon Kirin. P10 Plus dibekalkan pemproses yang baru, Kirin 960 dengan cip Cortex A73 yang lebih bertenaga, bergandingan dengan cip Cortex A53 untuk penjimatan tenaga.

P10 Plus juga memiliki RAM dan storan yang sangat besar, 6GB untuk RAM dan 128GB untuk storan dalaman. Slot kad mikroSD juga terdapat padanya, jika mahukan lebih storan.

Baru-baru ini kecoh juga apabila Huawei menyatakan ia menggunakan RAM dan storan yang berbeza dalam penghasilan Huawei P10. Tetapi dari semakan kami, unit P10 Plus yang diuji ini memiliki RAM LPDDR4 dan storan UFS2.1, spesifikasi terbaik yang dihasilkan Huawei. Moga-moga semua unit Malaysia dibekalkan spesifikasi sebegini.

Ujian Kepantasan Storan Menunjukkan Kelajuan UFS 2.1

Huawei menggunakan antaramuka EMUI 5.1 terkini bagi Huawei P10 Plus, yang dibina berasaskan Android 7.0 Nougat.

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Telefon pintar Huawei P9 Plus memiliki hayat bateri yang panjang, mampu bertahan seharian untuk penggunaan biasa. Tetapi P10 Plus dilihat tidak mampu menyaingi P9 Plus, walaupun baterinya lebih besar kini, 3750mAh berbanding 3400mAh pada P9 Plus.

Pada satu ketika, penulis dapat menggunakan P10 Plus selama 11.5 jam, dengan masa skrin hidup 3 jam sahaja. Satu masa lagi, penggunaan selama 10 jam bersama hampir 4 jam masa skrin hidup.

Jika P10 Plus digunakan pada hari biasa, misalnya dicabut dari pengecas pada cam 7 pagi, maka jam 5 petang ia harus dicas semula. Mungkin ia mencukupi untuk digunakan sebagai penunjuk arah seperti Waze, jika dicucuk terus ke pengecas kereta apabila mahu pulang ke rumah.

Untuk itu, pengecasan pantas sangatlah penting untuk menyeimbangkan kekurangan tenaga bateri ini. Huawei kali ini memberikan pengecas pantas SuperCharge, teknologi yang dihasilkan Huawei sendiri. Ia berkemampuan menyalurkan sehingga 44.5W (4.5V 5A) tenaga ke peranti.

Dengan SuperCharge, ia mampu mengecas 50% dalam masa sekitar 30 minit. Dalam masa 60 minit, ia mencapai 80%. Tetapi ia menjadi semakin perlahan ke penghujung, mencapai 100% dalam masa 120 minit atau 2 jam.

Pengecas ini sangat memudahkan jika perlukan banyak tenaga dalam masa singkat. Cuma, ia perlukan kepala pengecas dan kabel khas, ditandakan dengan warna ungu oleh Huawei. Malah, ia juga tidak serasi dengan pengecas QuickCharge, maka kabel dan kepala pengecas perlu dibawa sentiasa. Atau melabur untuk pengecas SuperCharge tambahan.

 

Prestasi

Kuasa Huawei P10 Plus sememangnya mengatasi telefon pintar masa lepas, dengan kuasa Cortex A73 di dalam Kirin 960. Ia dibuktikan melalui ujian prestasi yang dijalankan, menggunakan aplikasi Geekbench 4.0 dan AnTuTu 6.0.

Ujian di Geekbench 4.0 memperoleh 1,857 mata bagi teras tunggal, dan 6,532 bagi teras pelbagai. Kedua-dua mata ini jelas mengatasi Snapdragon 821 dan Exynos 8890, cip flagship bagi tahun 2016.

AnTuTu 6.0 pula memberikan markah sebanyak 146,516 bagi P10 Plus. Markah ini hampir dengan vivo Xplay 6 dan Mi 5 yang menggunakan cip Snapdragon 820. Mungkin perbezaan GPU memberi kesan, di mana P10 Plus memiliki GPU Mali Mali-G71 MP8 manakala Snapdragon 820 pula datang dengan GPU Adreno 530.

Bagaimanapun, P10 Plus masih memiliki prestasi tertinggi. Ini menjadikannya sangat lancar digunakan, walau dengan pelbagai aplikasi dijalankan serta pelbagai tetingkap di pelayar. Tambahan lagi, P10 Plus dengan EMUI 5.1 memiliki kepintaran Machine Learning dan Huawei Ultra Memory, memastikan ruang memori sentiasa tersusun agar aplikasi berjalan lancar.

 

Pengalaman Penggunaan

Pengimbas capjari yang dialih ke depan, lebih mudah digunakan berbanding di belakang. Ini kerana pengguna masih dapat mengimbas jika telefon terletak di atas meja. Malah, pengimbas capjari di P10 Plus sangat pantas. Antara terbaik yang pernah penulis guna.

Salah satu kelebihan P10 Plus berbanding P10, adalah pembesar suara stereo. Bagaimanapun, bunyinya tidak seimbang. Ini kerana ia menggunakan speaker di bawah telefon dan speaker panggilan di atas skrin, bagi menjadikannya stereo. Bunyi speaker di bawah lebih lantang berbanding speaker di atas. Tetapi ini tidak terasa perbezaan jika ditonton tidak terlalu dekat dengan muka.

Tahap kecerahan skrin sangat memuaskan, walaupun di bawah terik matahari. Tetapi tahap terendah kecerahan tidak sesuai di dalam gelap, kerana ia masih sangat cerah. Ini menjadikannya kurang mesra tempat gelap seperti panggung wayang. Sememangnya kita tidak patut menggunakan telefon di sini.

Penggunaan GPS berterusan seperti naviasi Waze, menjadikan badan besi P10 Plus sangat panas. Apabila terjadi begini, P10 Plus akan mengurangkan kecerahan skrin secara automatik. Ini sedikit mengganggu terutama ketika memandu.

 

Kamera

Kekuatan P10 Plus pastinya pada kamera, yang dihasilkan dengan kerjasama Leica. Malah, kameranya sangat seronok untuk digunakan. Antara tarikan tambahan pada kamera ini adalah bunyi yang terhasil setiap kali menangkap gambar. Huawei menyatakan ia adalah bunyi kamera Leica asli, yang benar-benar dapat dirasakan seperti menggunakan kamera sebenar.

Pilihan penggunaan dan tetapan kamera sangat banyak boleh digunakan. P10 Plus menyokong format RAW bagi pakar fotografi untuk lebih kawalan mengedit. Malah ia boleh menambah watermark Leica pada setiap gambar, satu kebanggaan yang hanya boleh diperoleh dengan telefon pintar Huawei.

Bagi yang masih tidak kenal, Huawei P10 Plus memiliki kamera belakang dwi-lensa Leica SUMMILUX-H. Lensa pertama menggunakan sensor monokrom 20MP dan lensa kedua pula sensor RGB 12MP. Gandingan dua lensa ini menghasilkan gambar dengan ketelitian yang tinggi dan warna mengagumkan. Bagi peminat monokrom, tangkapan P10 Plus sememangnya sangat jelas ketelitiannya, sangat berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan filter di kamera biasa.

Kawalan manual penuh diperoleh dengan mudah, hanya sapu dari bawah skrin ke atas. Tetapan fokus, ISO, katupan, pendedahan dan penyeimbahan keputihan boleh dikawal secara manual.

Satu fungsi baru yang dimuatkan ke dalam P10 Plus, adalah mod portrait. Ia memberi fokus kepada subjek iaitu orang, dan mengkaburkan latarnya untuk memberikan gambar yang menawan.

Lensa SUMMILUX-H memiliki apertur f/1.8, menjadikan tangkapan yang lebih cerah berbanding P10 dengan SUMMARIT-H f/2.2. Suasana malap tidak menghalan P10 Plus untuk menghasilkan gambar yang agak cerah, lebih baik dari kebanyakan kamera biasa.

Satu standard untuk melihat kamera berkuasa tinggi di telefon pintar, adalah keupayaan tangkapan HDR. Memang benar kebanyakan telefon pintar kini berupaya menangkap gambar HDR, tetapi hanya kelas flagship yang boleh menangkap pantas. Huawei P10 Plus menangkap HDR seperti tangkapan biasa, tanpa lengah masa. Malah boleh ditetapkan secara automatik.

Kamera swafoto P10 Plus adalah yang pertama diiktiraf Leica, dengan sensor 8MP serta fokus automatik. Ia juga memiliki fungsi portrait untuk tangkapan selfie yang sangat menawan. Fokus automatiknya juga pintar, mampu melebarkan sudut untuk swafoto beramai-ramai, atau mengurangkan sudut untuk selfie berseorangan.

Bagi rakaman video, P10 Plus boleh merakam sehingga resolusi Ultra HD 4K, atau 60 bingkai sesaat (FPS) dengan resolusi HD Penuh 1080p. Rakaman 60 FPS sangat sesuai untuk penghasilan video gerak perlahan.

P10 Plus juga datang bersama aplikasi penciptaan slideshow Quik oleh GoPro. Pelbagai templat efek, teks dan bunyi tersedia. Hanya pilih gambar yang diperlukan dari Gallery, tekan share dan pilih Quik. Kemudian pilih templat yang digemari atau ubahsuai menerusi tetapan di bawah dan akhir sekali Save atau terus kongsi ke media sosial.

Lihat sampel gambar yang diambil menggunakan Huawei P10 Plus, di dalam Galeri Gambar di Muka 3.

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Seperti tahun lepas, Huawei berjaya menghasilkan telefon pintar yang mampu menyaingi siri flagship Samsung. Kerjasama dengan Leica ternyata tidak menghampakan, bukan sahaja dengan kualiti gambar yang tinggi tetapi sangat seronok digunakan.

Perkara yang benar-benar memotong markah P10 Plus adalah baterinya. Ia menurun berbanding P9 Plus. Walaupun pengecas SuperCharge memendekkan masa menunggu, tetapi hayat bateri lebih lama adalah jauh lebih baik. Lebih-lebih lagi apabila P10 Plus tidak serasi dengan QuickCharge, memerlukan pengecas SuperCharge sentiasa dibawa jika mahu pengecasan pantas.

Jika anda berkira-kira antara P10 dan P10 Plus, perbezaannya adalah sangat besar. Bagi penulis, perbezaan RM600 antara P10 dan P10 Plus adalah sangat berbaloi. Perbezaan kedua-dua telefon ini adalah seperti berikut:

Harga RM3,099 mungkin memberi kesan kepada pemilihan P10 Plus berbanding pilihan lain yang hampir seperti Galaxy S8 (RM3,299) dan LG G6 (RM2,999). Kekurangan utamanya adalah tidak kalis air dan debu IP68. Tetapi storan 128GB pada P10 Plus jauh lebih besar berbanding 64GB di Galaxy S8 dan LG G6. Ketiga-tiga telefon memiliki kamera hebat bertaraf flagship. Tetapi P10 Plus memberikan lebih keronokan dan kawalan, terutama kepada penggemar kamera jalanan.

Jika anda mahu memiliki telefon pintar Huawei terbaru, lupakan P10 dan terus ke P10 Plus kerana kelebihan yang banyak padanya. Pilih juga warna Pantone Greenery atau Dazzling Blue, untuk menunjukkan telefon pintar anda berbeza telefon pintar lain.


Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar bersaiz asal

 Warna-warni buah-buahan

Luar bangunan cerah sensor RGB

Luar bangunan cerah sensor Monokrom

Luar bangunan cerah efek bokeh

Luar bangunan cerah suasana bandar

Luar bangunan waktu malam di bandar

Luar bangunan cerah dilatari awan

Warna-warni makanan

Dalam bangunan bercahaya malap

Luar bangunan cerah dengan teks yang teliti

BONUS: Selfie bersama Neelofa dengan Huawei P10 Plus

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: