[Test Produk] Garmin Fēnix 5 Pakar Pemandu Arah Di Belantara

Prakembara

Kelebihan

Ketahanan bateri yang mengagumkan
Lebih kompak berbanding fēnix 3 
Miliki fungsi notifikasi telefon pintar

Kelemahan

Port data/mengecas proprietari menidakkan penggunaan kabel pihak ketiga

Petang Jumaat selepas pulang daripada masjid adalah waktu yang amat tak produktif. Fikiran dah melayang dan mencongak apa yang ingin dilakukan pada hari minggu ini. Malang tak berbau, seminggu sebelum Ramadan tiba, idea untuk mengisi hari minggu tidak pula muncul.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Garmin fēnix 5 yang tergulung rapi di pergelangan tangan bergegar menandakan ada mesej yang masuk. Mujurlah mesej itu mencetuskan idea.

Jom masuk hutan

Apa lagi, dilancarkannya Google Chrome serta-merta mencari laman sesawang Wikiloc. Jejari ligat menaip “Lawing” untuk mencari kalau-kalau ada yang berkongsi trek ke air terjun itu dalam bentuk GPX. Nah, memang ada.

Sesalinan file laluan (route) untuk ke air terjun Lawing dimuat turun, Kemudian, dengan kabel USB khas, file GPX itu dipindahkan pula ke dalam Garmin fēnix 5. Mujurlah proses memindah amat mudah. File hanya perlu ditarik masik ke folder khas supaya jam dapat mencari fail itu.

Maklumat laluan dah disediakan, kini cuma perlu memenuhkan tangki bateri jam dengan tenaga untuk digunakan semasa memandu arah esok hari. Kabel yang sama digunakan untuk mengecas, malah port USB pada PC/laptop turut boleh digunakan untuk tujuan mengecas.

[Halaman Seterusnya: Hari Kembara & Pascakembara]

[nextpage title=”Hari Kembara & Pascakembara”]

Hari Kembara

Keesokkan harinya, sekitar jam 8.30 pagi, kami tiba di kepala trek (trailhead) untuk ke Air Terjun Lawing yang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Keadaan sekitar agak basah mungkin disebabkan hujan semalam.

Sambil melakukan senaman pemanas badan, fēnix 5 disediakan untuk merakam dan menunjuk arah trekking.

Perjalanan yang walaupun jarak sehalanya 4km sahaja, treknya kurang jelas kerana denai ini hanya dilalui oleh orang tempatan sewaktu musim durian saja. Maka, trek kebanyakannya dilindungi tumbuhan menjalar.

Disini jam tangan ber-GPS seperti fēnix 5 sangat membantu. Dengan bantuan GPS dan peta laluan yang telah dimasukkan terlebuh dulu, pemanduan menjadi mudah dan keyakinan untuk meneroka meningkat.

Selepas hampir sejam berjalan, rehat adalah sesi yang sangat ditunggu. Untuk sekumpulan amatur, pace berkadar 21.25 minit per kilometer adalah baik. Maklumat seperti kalori, purata kelajuan, purata memanjat, dan kadar denyutan jantung adalah antara maklumat yang boleh diperiksa terus daripada jam.

Pondok masyarakat asli di tengah rimba adalah sesuatu yang biasa di hutan sekitar Hulu Langat ini. Mereka mengamalkan gaya hidup nomad bergantung pada musim. Bila tiba musim durian, mereka akan bermalam di dusun sambil menunggu durian luruh.

Bila musim menuai padi, mereka akan bermalam di bendang untuk tuai dan tampi padi gunung.

Perjalanan diteruskan. Pacat dan lintah menjadi teman setia untuk baki 30 minit perjalanan. Seperti biasa, unggun api dipasang untuk memulakan aktiviti BBQ.

Perhatian teralih pada bacaan barometer yang menurun. Tekanan udara yang menurun bermakna banyak udara naik kelangit untuk membentuk awan dan seterusnnya menghasilkan hujan. Jam menunjukkan 760.4 mmHg berbanding 761.2 mmHg pada 6 jam yang lalu.

Memang ramalan menjadi kenyataan, hujan turun semasa kami sedang mengemas. Mujurlah jam tangan ini kalis air sehingga 100 meter dalamnya. Perjalanan balik masih berpandukan peta yang ada pada jam sehingga tiba di kepala trek.

Semua pulang dengan selamat dengan membawa kesan gigitan pacat sebagai buah tangan.

Pascakembara

Pada esok hari, tibalah masa untuk menganalisis aktiviti semalam. Bluetooth pada telefon diaktifkan untuk membenarkan jam berkomunikasi dengan aplikasi Connect. Setelah beberapa ketika, telefon menyedut semua data dari jam untuk dipersembah dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

Kalau skrin telefon tak cukup luas, komputer boleh digunakan untuk melihat data-data itu.

Hayat bateri pada jam tangan ini harus dipuji.

Daripada 75% bateri di kepala trek, 24 jam selepasnya, bateri berada pada tahap 45%. Itu termasuklah menggunakan jam untuk navigasi arah pergi balik lebih kurang empat jam. Ia menjadikan penggunaan bateri sebanyak 1.25% setiap jam.

Secara keseluruhannya, Garmin fēnix 5 adalah sebuah jam tangan yang versatil. Bukan saja boleh menjadi aksesori penunjuk masa seharian, ia juga menjadi pemandu arah apabila diperlukan. Tapi apakah beza jam ini dengan Android Wear seperti Casio Pro Trek WSD-F20 dan Apple Watch Series 2?

Jam-jam tangan Android Wear dan Apple Watch bukan dipasarkan untuk kegunaan multisport sebaliknya lebih kepada menifestasi fesyen bersulam teknologi geeky. Sebaliknya Garmin siri fēnix memang dihasilkan untuk golongan outdoor yang serius. Maka, ia lebih lasak dan hadir dengan 8 sensor pelbagai jenis untuk merekod setiap aktiviti daripada joging hinggalah bermain golf.

Tambahan pula manalah mampu Apple Watch Series 2 menandingi hayat bateri fēnix yang menjangkau 12 hari berbanding 18 jam. Tambahan pula, fēnix boleh menyelam dua kali ganda lebih dalam berbanding Apple Watch sebelum air menembusi badannya dek melebihi tekanan 10 atm yang mampu ditanggungnya.

Jika masih meragui fēnix 5, satu-satunya jam yang berada dalam gelanggang yang sama dengannya adalah Suunto Spartan, ataupun beberapa model Garmin seperti fēnix 3, epix, ataupun Forerunner 935 yang akan dilancarkan tak lama lagi.

Terdapat beberapa varian fēnix 5 boleh anda pilih mengikut bajet anda. Yang pertama adalah Garmin fēnix 5 yang kami pandu uji ini berharga RM 2,899. Kemudian, ada juga fēnix 5 Sapphire yang hadir dengan kaca nilam sebagai muka jam pada RM3,149.

fēnix 5x pula mempunyai kelebihan pada storannya iaitu 16GB berbanding 64MB pada fēnix 5. Harganya pula adalah RM3,399. Untuk yang miliki pergelangan tangan yang lebih kecil, fēnix 5s sesuai untuk anda kerana muka jamnya 5mm lebih kecil berbanding 5 dan 5x. Ia berharga RM2,899.

Pihak yang menyediakan set pandu uji ini adalah Aeco Technologies (M) Sdn. Bhd., selaku pengedar tunggal produk Garmin di Malaysia. Jika anda berminat untuk mendapatkan apa-apa produk Garmin, anda boleh singgah ke laman web mereka.

Bagi yang membaca artikel sehingga habis, ada gambar bonus untuk anda. Pemandangan di Air Terjun Lawing.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: