Galaxy Tab S3 Adalah Sebuah Tablet Serba Lengkap

Tablet Android adalah satu spesis yang terancam. Agak jarang mendengar pengeluar mengumumkan pelancaran tablet. Samsung kekal menaruh kepercayaan dalam segmen tablet dengan Galaxy Tab S3 mereka yang akan mula dijual di Malaysia bermula 1 Jun 2017.

Galaxy Tab S3 adalah sebuah tablet yang memiliki spesifikasi seperti sebuah Samsung Galaxy S7 & S7 edge. Maka pengguna akan menerima cip pemproses kelas flagship beserta RAM sebesar 4GB. Ruang storan yang diterimanya adalah 32GB tetapi boleh diperbesar melalui slot khas mikro-SD.

Samsung memberikan tablet ini paparan Super AMOLED sebesar 9.7″ dengan resolusi (2048×1536). Ia amat sesuai digunakan untuk melayan kandungan multimedia lebih-lebih lagi berbekalkan bateri gergasi 6,000mAh dengan fungsi pengecasan pantas.

Bahagian audio pula dibekalkan quadstereo speaker yang ditala oleh AKG.

S Pen generasi baru membolehkan penggunanya menjadi lebih produktif. Ia kini memiliki tahap peka lebih tinggi bagi memberikan pengalmaan menulis yang lebih realistik.

Terdapat aksesori yang dijual berasingan untuk meluaskan kegunaan tablet ini. Misalnya, papan kekunci Pogo dijual pada RM499. Pelindung tablet pelbagai warna turut dijual pada harga RM199 sebuah.

Galaxy Tab S3 menerima tanda harga RM2,999 dan boleh dibeli di semua kedai Samsung Experience Store seluruh Malaysia atau secara dalam talian melalui Lazada dan 11street.