Razer Hammerhead baru penyelamat iPhone 7

Populariti Razer dalam dunia permainan video, membuatkan rasa hidup kurang lengkap kalau tak memiliki satu produk Razer. Kini Razer menawarkan produk yang boleh diguna di luar waktu bermain games, datang dalam dua model baru. Fon kepala wayarles Razer Hammerhead BT dan fon kepala mesra iPhone 7, Razer Hammerhead iOS.

Razer Hammerhead BT merupakan fon kepala tanpa wayar, bersambung ke peranti melalui Bluetooth. Ia menggunakan teknologi Bluetooth v4.1 dan aptX, membawakan audio berkualiti tinggi ke telinga pengguna tanpa wayar bersambung ke peranti.

Fon kepala ini memiliki jangka hayat sehingga 8 jam dengan pengecasan penuh. Butang kawalan padanya membolehkan ia digunakan untuk mengawal muzik yang dimainkan. Mikrofon terbina di dalam alat kawalan ini, membolehkannya digunakan untuk membuat panggilan. Klip magnetik di fon kepala, memudahkan ia digantung atau disimpan.

Pek pembelian Razer Hammerhead BT datang bersama 3 pasang tip telinga silikon berlainan saiz dan casing kompak untuk menyimpan. Ia kini telah dijual melalui laman Stor Razerzone pada harga RM549.

Razer Hammerhead iOS pula adalah berita baik untuk pengguna iPhone 7, yang tidak memiliki port audio 3.5mm. Ini kerana ia menggunakan sambungan lightning untuk berhubung. Ini membolehkan audio digital berkualiti tinggi dihantar terus dari telefon ke fon kepala, melalui pengubah digital-ke-analog (DAC) yang ditala khas.

Fon kepala ini dipacu pemandu audio dinamik 10mm, yang lebih besar dari kebanyakan fon kepala biasa. Kebuk akustik aluminium terbina di dalam, meningkatkan kualiti muzik disamping menambah daya tahan lasaknya.

Seperti versi wayarles, fon kepala Razer Hammerhead iOS disertakan 3 pasang tip telinga silikon berlainan saiz dan casing kompak untuk menyimpan. Ia akan mula dijual tidak lama lagi menerusi laman Stor Razerzone, dengan harga belum diumumkan. Untuk perbandingan, versi 3.5mm Razer Hammerhead Pro V2 dijual pada harga RM429.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: