Litar pintas di powerbank boleh membunuh

Kapasiti voltan pada power bank (bank tenaga) mungkin sangat rendah untuk menyebabkan kematian, tetapi jika berlaku litar pintas ia boleh meningkatkan arus secara mendadak dan menghentikan denyutan jantung seseorang. Inilah yang diperkatakan oleh seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia.

Professor Dr Jasrul Jamani Jamian, dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik mengatakan, mengecas telefon pintar menggunakan power bank adalah lebih selamat dari soket elektrik. Ini kerana power bank memiliki tenaga yang terhad, berbanding arus berterusan yang mengalir dari soket elektrik di dinding.

Ramai menyangka 12 volt adalah rendah dan tidak boleh membunuh. Tetapi litar pintas boleh menjadikan power bank yang bertenaga 2.0 ampere, melonjak ke lebih 100 ampere sekelip mata. Dengan hanya 0.5 ampere berarus terus ke jantung, boleh menyebabkan kematian.

Beliau menasihatkan agar orang ramai tidak meletakkan telefon pintar atau power bank hampir ke badan, lebih-lebih lagi ketika mengecas di waktu malam. Ia penting untuk mengelakkan dari terkena litar pintas.

Pengguna juga perlu mengenali kualiti power bank atau telefon yang dimiliki, kerana kadang kala produk palsu, klon dan berkualiti rendah, tidak mempunyai litar keselamatan dan perlindungan dari litar pintas.

Pada pendapat beliau, fon kepala tidak mungkin mengalirkan elektrik ke badan manusia.

Beliau memberi ulasan ini berkenaan laporan berita kematian seorang remaja di Melaka minggu lepas, yang mengaitkannya dengan power bank. Ibu remaja tersebut menyedari keadaan anaknya ketika mahu mengejutkannya dari tidur pada jam 7 pagi.

Remaja tersebut ditemui memakai fon telinga, yang bersambung ke telefon pintar yang sedang dicas menggunakan power bank. Terdapat kesan terbakar di bawah lengannya, di mana power bank tersebut berada.

Polis pula melaporkan masih menunggu laporan berkenaan kematian remaja tersebut. Ia mungkin berlaku akibat kejutan elektrik atau serangan jantung. Telefon pintar dan power bank milik remaja tersebut ditemui tidak meletup.

[SUMBER: NST]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: