Lapor kehilangan kad pengenalan secara online lebih mudah

Kehilangan kad pengenalan boleh membantutkan banyak perkara, terutama urusan rasmi berkaitan kerajaan ataupun perbankan. Apatah lagi apabila ia memerlukan laporan polis sebelum kad pengenalan baru boleh diperoleh.

Tetapi kini laporan kehilangan kad pengenalan boleh dibuat lebih mudah secara online, apabila Polis Diraja Malaysia melancarkan Sistem Laporan Polis Online (e-Reporting) dan Sistem Semakan Online (SSO). Ini memudahkan orang ramai kerana laporan kehilangan boleh dibuat secara terus dari peranti mudah alih.

Bagaimanapun, hanya laporan yang tidak membabitkan kes jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut sahaja boleh dibuat. Selain itu, sistem ini terhad kepada warna negara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas sahaja.

Selain kad pengenalan, orang ramai boleh menggunakan sistem e-Reporting untuk melaporkan kehilangan pasport, lesen memandu, kad kredit, kad ATM, hilang telefon pintar atau komputer riba, dan pembantu rumah melarikan diri.

Lebih mudah lagi, pengguna boleh mencetak sendiri laporan polis yang dibuat dari sistem e-Reporting. Tetapi sebelum mula membuat laporan, pendaftaran perlu dibuat terlebih dahulu di laman web ereporting.rmp.gov.my.

Selepas laporan dibuat, status laporan boleh disemak menerusi Sistem Semakan Online di alamat sso.rmp.gov.my.

Jangan lupa, permohonan kad pengenalan baru juga boleh dibuat secara online. Rujuk cara-cara memohon kad pengenalan menerusi laman web JPN di sini: IC Hilang? Begini Cara Gantinya…

[SUMBER: Harian Metro, GAMBAR: Berita Harian]