Jangan kedekut untuk prestasi dan kestabilan storan rangkaian

Walaupun storan awan semakin mendapat tempat di hati pengguna, storan fizikal masih lagi sesuatu yang penting, terutama untuk pekerja yang memerlukan ruang storan yang bukan sahaja besar, tetapi pantas dan boleh dipercayai.

Pakar pembuat storan terkemuka dunia, Western Digital (WD) baru-baru ini mengumumkan storan WD Red dan WD Red Pro 10TB, sesuai untuk kegunaan persendirian serta perniagaan kecil dan sederhana.

WD memperkenalkan storan siri-RED khusus untuk kegunaan storan rangkaian (NAS). Ia bukan sahaja direka untuk kegunaan aktif sepanjang masa, malah serasi digunakan bersama pelbagai produk NAS dari jenama popular seperti ASUStor, QNAP, Synology dan Thecus, selain perumah NAS keluaran WD sendiri dari siri My Cloud Pro dan My Cloud Expert.

WD Red dan WD Red Pro 10TB yang baru ini menggunakan teknologi HelioSeal 4.0, menggunakan cakera lebih nipis agar lebih banyak storan boleh dimuatkan. Teknologi 3D Active Balance Plus pula memastikan prestasi dan penggunaan yang seimbang agar tahan lebih lama.

WD Red boleh digunakan bersama sistem NAS dengan 1 hingga 8 rak, manakala WD Red Pro berupaya beroperasi dengan sistem NAS sehingga 16 rak.

Cakera keras WD Red dan Red Pro 10TB ini akan mula dijual di Malaysia bermula bulan Julai 2017. Harga jualan WD Red 10TB adalah RM2,249 dengan 3-tahun jaminan, manakala WD Red PRo 10TB pula RM2,449 dengan 5-tahun jaminan. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman produk WD Red.

Semak juga keserasian storan WD Red dengan sistem NAS bersesuaian di sini.