HTC U Ultra berkaca nilam tahan lebih lasak

Jika anda peminat telefon pintar HTC U Ultra, versi terhebatnya kini telah tiba di Malaysia. HTC U Ultra Sapphire Edition (Edisi Nilam) sudah mula dijual di Malaysia. Ia menampilkan bukan sahaja kaca nilam sebagai lapisan skrin depan, malah storan dalaman berganda.

HTC U Ultra dilancarkan di Malaysia Februari lepas, dengan storan 64GB. Ia kini dijual pada harga RM2,599. Manakala HTC U Ultra Sapphire Edition yang baru tiba ini, dilengkapi 128GB storan dalaman dan dijual di Malaysia berharga RM2,999. Hanya warna biru ditawarkan.

Nilam merupakan kaca yang lebih keras dan lebih tahan calar, berbanding kaca biasa mahupun kaca Corning Gorilla. Ketahanannya hanya sedikit kurang dari berlian yang jauh lebih mahal. Nilam sering digunakan sebagai muka jam tangan premium kerana daya tahannya yang luar biasa.

Berbanding kaca Corning Gorilla Glass 5 di edisi biasa, HTC U Ultra Sapphire Edition dilapisi kaca Nilam di atas skrin 5.7-inci beresolusi Quad HD (2560×1440). Kaca nilam turut digunakan melindungi skrin kedua yang terletak di atas skrin utama.

Storan dalaman yang digandakan ke 128GB, pasti memberi lebih kelegaan kepada pengguna masakini yang gemar mengambil gambar dan video menggunakan telefon. Tidak perlu risau kehabisan ruang storan lagi. Slot kad mikroSD juga tersedia untuk storan tambahan.

HTC U Ultra Sapphire Edition memiliki spesifikasi yang sama seperti edisi biasa. Kuasanya dihasilkan oleh cip Snapdragon 821 4-teras bersama 4GB RAM. Ia menampilkan badan kaca di belakang, dengan kemasan seakan cecair dan rekaan simetri.

Keunikan HTC U Ultra adalah pada skrin keduanya, yang boleh menampilkan pelbagai pintasan dan arahan pantas tanpa mengganggu skrin utama. Sedikit mengecewakan, HTC mengambil langkah membuang port audio 3.5mm pada U Ultra. Pengguna perlu menggunakan fon kepala dengan sambungan USB-C atau Bluetooth.

Kamera UltraPixel 2 12MP f/1.8 menjadi tunggak kamera belakangnya. Kamera ini memiliki autofokus laser dan PDAF, dwi-tona LED Flash serta penstabil imej optikal (OIS). Kamera hadapan pula 16MP, dilengkapi teknologi UltraPixel pertama.

Bateri 3,000mAh dimuatkan ke dalam HTC U Ultra dan ia menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Antaramukanya diuruskan oleh HTC Sense berasaskan Android 7.0 Nougat.

Jangan lupa, HTC U Ultra Sapphire Edition dengan kaca nilam ini telah mula dijual di Malaysia, berharga RM2,999. Untuk maklumat lanjut, layari lama produk HTC U Ultra. Baca juga laporan pandu uji kami di dalam: Test Produk — HTC U Ultra.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: