Gas Helium bantu penghasilan cakera keras Ultrastar He12 12TB

Penggunaan Helium di dalam cakera keras membolehkan Western Digital (WD) menghasilkan storan berkapasiti tinggi yang lebih jimat tenaga. Terbaru, mereka mengumumkan ketibaan cakera keras HGST Ultrastar He12 dengan kapasiti 12TB (atau 12,000GB).

HGST Ultrastar He12 adalah storan kelas perniagaan dengan teknologi HelioSeal. Sehingga kini, WD telah menghasilkan lebih 15 juta unit cakera keras berasaskan helium dengan rekod perkhidmatan yang baik.

Netflix adalah salah satu pengguna cakera keras helium HGST. Mereka berjaya meningkatkan 50% kapasiti sambil menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 23%.

Cakera keras Ultrastar He12 adalah yang pertama menggunakan rekaan 8-cakera untuk mencapai kapasiti 12TB di dalam badan bersaiz 3.5-inci. Ia diperkenalkan dalam sambungan SATA atau SAS.

Teknologi HelioSeal menggunakan helium dengan hanya 1/7 ketumpatan udara, membolehkan cakera lebih nipis digunakan sambil mengekalkan kestabilan. Dengan ini, ia berjaya menambah 2 cakera lebih, berbanding cakera berasaskan udara yang memiliki hanya 6 cakera.

Cakera keras HGST Ultrastar He12 kini dalam proses pengedaran, tetapi tiada tanda harga diumumkan lagi. Ia disertakan jaminan terhad selama 5-tahun. Untuk maklumat lanjut, layari laman web HGST Ultrastar He12.