Garmin Forerunner 935 Adalah Fenix 5 Versi Lite

Ya, Garmin Forerunner 935 memiliki hampir setiap satu ciri-ciri yang ada pada Fenix 5, malah rupa fizikalnya memang menyerupai jam tangan siri Fenix itu. Tetapi mengapa bersusah payah menghasilkan jam yang sama dengan nama yang berlainan? Ia ditujukan pada golongan pengguna yang berlainan.

Jika Fenix 5 untuk pengguna supraaktif yang perlukan sebuah jam tahan lasak, Forerunner pula ditujukan pada golongan kasual tetapi tetap perlukan semua teknologi-teknologi Fenix 5.

Hal ini kerana, sebahagian besar badan Forerunner 935 dibina daripada materi plastik. Maka, ia seperti kurang lasak berbanding saudara besarnya itu. Selain itu, kekalisan airnya diletakkan cuma pada 5 ATM berbanding 10 ATM pada siri Fenix.

Berbanding model terdahulu iaitu Forerunner 735, ia kini memiliki giroskop untuk membantu sensor GPS merekodkan data menggunakan teknologi UltraTrac.

Garmin Forerunner 935

Sensor-sensor yang hadir pada jam tangan multisport ini seperti:

  1. GPS
  2. GLONASS
  3. Pengesan Nadi Garmin Elevate™
  4. Barometer
  5. Kompas
  6. Giroskop
  7. Akselerometer
  8. Termometer

Satu kelebihan Forerunner berbanding Fenix 5 adalah ia memiliki Wi-Fi sedangkan hanya Fenix 5 versi Sapphire memiliki Wi-Fi.

Jika anda tidak mahu menggunakan jam tangan selain yang anda sedang pakai sekarang, anda mungkin berminat dengan perekod aktiviti terbaru dari Garmin ini.

Garmin vivosmart 3 (kiri) & Garmin vivofit Jr. (kanan)

Garmin vivosmart 3 adalah gelang pintar dengan paparan OLED monokrom peka sentuhan sebesar 0.85″. Gelang ini akan merakam aktiviti harian anda seperti jumlah langkah dan kadar denyutan nadi. Ia bijak membezakan sama ada anda sedang berlari ataupun bersenam menggunakan basikal senaman.

Pengguna akan menemui sensor seperti:

  1. Pengesan Nadi
  2. Barometer
  3. Akselerometer
  4. Cahaya

Ia boleh disambung pada telefon melalui sambungan Bluetooth sama ada iOS ataupun Android.

Garmin vivofit Jr., seperti namanya, ditujukan pada kanak-kanak. Ia menggunakan prinsip gamification untuk menjadikan aktiviti senaman lebih seronok untuk kanak-kanak.

Cuma sensor akselerometer hadir pada gelang aktiviti ini dan ia dikuasakan sekeping bateri jam CR1632. Gelang ekasensor memiliki hayat penggunaan sehingga setahun lamanya.

Ciri-ciri menarik diterapkan pada aplikasi merekod itu sendiri seperti ganjaran berbentuk syiling untuk meningkatkan motivasi mereka. Mereka juga boleh bersaing dengan ahli keluarga yang lain untuk menambah keriangan.

Garmin Forerunner 935, vivosmart 3, dan vivofit Jr. masing-masing dijual pada harga RM1,999, RM599, dan RM 399. Garmin Malaysia sedang mengadakan pameran di Mid Valley Megamall sehingga 28 Mei 2017 dan mereka menjual ketiga-tiga jam yang baru dilancarkan itu. Jika anda ingin menjadi yang terawal menggayakan Forerunner 935, anda tahu ke mana ingin dituju.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: