G-Technology tampil dengan storan mudah alih terlampau besar

Untuk memenuhi keperluan profesional yang mahukan storan lebih pantas, lebih luas tetapi mudah dibawa berjalan, Western Digital tampil dengan barisan produk G-Technology yang baru. Storan ini menggunakan sambungan Thunderbolt 3 dan USB-C untuk penghantaran data sepantas kilat.

Pengguna profesional kreatif seperti juruvideo dan jurugambar digital, sentiasa memerlukan storan yang besar mengisi kandungan kreatif mereka yang bergiga-giga saiznya. Dengan storan G-Technology yang baru, ia bukan sahaja mudah dibawa, malah kelihatan bergaya.

Dengan pilihan storan 10TB dan 12TB, G-DRIVE with Thunderbolt 3 merupakan storan luar kompak yang mudah dibawa. Ia menyokong dwi-sambungan Thunderbolt 3 dan USB-C 3.1 Gen 1, yang boleh disambungkan bersama sehingga 5 peranti sekaligus. Ia menggunakan cakera keras HGST Ultrastar 7200RPM, yang diyakini kualiti serta berdaya tahan.

G-DRIVE with Thunderbolt 3

Jika perlukan storan lebih besar dan pantas, G-RAID with Thunderbolt 3 sedia memberikan perkhidmatannya, berkeluasan 24TB. Ia memuatkan dua cakera keras boleh ubah dari model HGST Ultrastar 7200RPM, yang boleh ditetapkan secara gandingan RAID 0, 1 atau JBOD. Sistem ini menyokong sambungan Thunderbolt 3, USB 3.1 Gen 2 dan HDMI 2.0, membolehkannya dipasang bersaama paparan 4K60 HDR.

G-RAID with Thunderbolt 3

G-SPEED Shuttle XL with Thunderbolt 3 pula menyediakan ruang storan 96TB, dalam 8 ruangan cakera keras yang mudah dibawa. Ia mempunyai kelajuan penghantaran data sehingga 2000Mb/s, pilihan muktamad pengguna kreatif profesional. Gandingan RAID 0, 1 , 5, 6, 10 dan 50 sedia berkhidmat bersamanya.

G-SPEED Shuttle XL with Thunderbolt 3

Satu lagi produk G-SPEED Shuttle XL dengan adaptor ev Series, serasi untuk digunakan pelbagai produk ev-Series sedia ada. Dengan dua slot ev Series yang boleh memuatkan modul dan pembaca ev Series, penghantaran datanya boleh mencecah 1,500MB/s. Ia mempunyai kapasiti storan 72TB.

Semua produk G-Technology yang baru ini menggunakan cakera keras HGST Ultrastar Enterprise, dan disertakan jaminan selama 5-tahun. Harga jualannya di Malaysia adalah seperti berikut:

  • G-DRIVE with Thunderbolt 3 (10TB) – RM 3,410
  • G-DRIVE with Thunderbolt 3 (12TB) – RM 3,900
  • G-RAID with Thunderbolt 3 (24TB) – RM 9,750
  • G-SPEED Shuttle XL with Thunderbolt 3 (96TB)- RM 49,730
  • G-SPEED Shuttle XL dengan adaptor ev Series (62TB) – RM 38,030

Maklumat lanjut tentang storan baru G-Technology ini boleh dirujuk di laman produk G-Technology with Thunderbolt 3.

%d bloggers like this: