Celcom catat penurunan paling sedikit berbanding telco lain awal tahun ini

Suku pertama tahun ini sangat mencabar buat syarikat telekomunikasi kerana kebanyakan mereka mencatat angka penurunan. Perkara ini diperolehi menerusi laporan kewangan suku pertama 2017 yang dibentangkan oleh Celcom hari ini.

Dari pihak Celcom sendiri, mereka mencatat penurunan keuntungan sebanyak 2.2%, berbanding suku ke-4 2016. Bagaimanapun, ia adalah penurunan paling sedikit, berbanding purata penurunan tiga syarikat telco utama yang dikatakan sebanyak 3.4%.

Paling ketara, Celcom memaklumkan penurunan pelanggan pada suku pertama 2017, berbanding suku ke-4 tahun lepas. Pascabayar kehilangan 0.5% pelanggan manakala pascabayar berkurang 3.9% pelanggan, menjadikan jumlah pelanggan Celcom pada suku pertama 2017 kepada 10.2 juta orang.

Celcom juga baru sahaja mengitar semula nombor prabayar yang tidak aktif, di mana 80% darinya sudah tidak digunakan lebih dari 6 bulan. Ini menyumbang kepada penurunan pelanggan prabayar.

Pelanggan yang berkurang memberi kesan kepada keuntungan, di mana keuntungan prabayar menurun sebanyak 6.2%. Tetapi ia berbeza dengan pascabayar, kerana ia mencatat penambahan keuntungan sebanyak 1.2% walaupun kehilangan pelanggan. Ini dibantu oleh pelanggan pascabayar sedia ada, yang beralih ke pelan lebih mahal untuk mendapatkan lebih banyak data.

Celcom menjangka akan mencatat lebih keuntungan menjelang hujung tahun 2017, melalui pelbagai inisiatif baru yang diperkenal untuk memenangi hati pelanggan. Selain menaiktaraf rangkaian, Celcom juga memastikan hubungan dengan pelanggan menjadi lebih rapat.

Dari segi rangkaian, Celcom mengakui rangkaian 4Gnya bukan yang terluas. Tetapi ia telah meliputi 77% kawasan berpenduduk dengan lebih separuh darinya adalah 4G+ (menyokong Carrier Aggregation). Celcom juga menjadi yang pertama melancarkan rangkaian LTE Advanced, dengan kelajuan melebihi 400Mbps.

Celcom turut memudahkan interaksi dengan pelanggan melalui pengenalan aplikasi Xpax dan Celcom Postpaid. Selain itu, Celcom juga bergiat lebih aktif di media sosial menerusi Facebook, Twitter dan Instagram. Pengguna boleh membuat aduan menerusi saluran rasmi Celcom di media sosial ini.

Pihak pengedar juga penting, di mana Celcom dalam usaha menjadikan suasana kedai yang lebih menarik perhatian dengan papan tanda yang cerah dan pengubahsuaian rekaan dalaman kedai. Celcom juga sedang dalam proses menyediakan sistem yang boleh mendaftarkan pelanggan semudah mengimbas kad pengenalan, serta lebih mesra alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas.

Dari laporan kali ini, Celcom dilihat terbuka dengan pencapaian masa kini, serta pelbagai perancangan untuk tahun ini. Adakah terdapat perkara lain yang anda mahu Celcom capai menjelang hujung tahun ini?