Test Produk – Redmi Note 4, Lahir Semula Lebih Perkasa

KELEBIHAN

+ Bateri besar tahan lama
+ Badan besi simetri
+ Harga paling mampu dimiliki dalam kelasnya

KEKURANGAN

– Tiada pengecas pantas
– Kamera agak biasa, tiada OIS, tiada video 4K

Pengenalan

Bercakap tentang telefon berkuasa pada harga rendah, nama Xiaomi sering menjadi sebutan. Terutama sekali dalam siri Redmi dan Redmi Note. Redmi Note 3 tahun lepas, merupakan telefon pintar terbaik untuk dimiliki di bawah RM1,000.

Tahun ini Xiaomi membawakan Redmi Note 4, versi kemaskini dari Redmi Note 3. Sekilas pandang, seperti tiada perbezaan antara keduanya. Tetapi yakinlah, kami temui banyak peningkatan dalam Redmi Note 4. Luaran mahupun dalaman.

Tetapi kata-kata itu murah. Teruskan membaca pengalaman kami bersama Redmi Note 4 untuk memahami lebih lanjut, apa yang bagus sangat pada Redmi Note 4 ini.

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Redmi Note 3 merupakan siri Redmi Note pertama berbadan besi. Ia diteruskan lagi dengan Redmi Note 4, tetapi dengan rekaan yang diperbaiki. Paling ketara, pembesar suara tidak lagi terletak di belakang, sebaliknya diubah ke bawah telefon. Kedudukan ini lebih baik, kerana bunyi lebih mudah didengari berbanding speaker di belakang.

Rekaan masih kelihatan simetri. Kedudukan kamera, LED Flash dan pengimbas cap jari di belakang, diletakkan selari. Di bahagian bawah, port mikroUSB 2.0 terletak di tengah, diapit oleh gril mikrofon dan speaker.

Port audio 3.5mm terletak di atas telefon, kekal bergandingan dengan pemancar infra merah (IR). Tidak banyak telefon yang masih memiliki IR, jadi ia merupakan kelebihan buat Redmi Note 4 buat yang tahu menggunakannya.

Lain-lain rekaan kekal sama seperti Redmi Note 3. Butang kuasa dan kawalan bunyi terletak di sebelah kanan. Manakala sisi kiri telefon adalah lokasi slot kad sim hibrid. Ia gabungan slot kad sim mikro, dan kad sim nano yang berkongsi tempat dengan kad mikroSD.

Bahagian depan Redmi Note 4 juga tidak banyak berubah. Skrin 5.5-inci HD Penuh memenuhi ruang hadapan. Tiga butang utama iaitu Recent, Home dan Back masih dalam bentuk sentuhan kapasitif. Yang bagusnya, butang ini memiliki lampu di belakang jadi mudah untuk dicari bila mahu ditekan.

Satu perkara yang dilihat menjadi daya tarikan Redmi Note 4, adalah tawaran warna Hitam selain dari warna Emas. Warna hitam Redmi Note 4 sangat bergaya, berbeza dari warna hitam biasa. Jika anda mahukan kelainan, warna Hitam pastinya membezakan telefon pintar anda dari yang lain, terutama dengan warna Emas yang terlalu membanjiri pasaran sekarang.

 

Kuasa Dalaman

Di sini, bunyinya seperti penurunan taraf. Ini kerana Redmi Note 3 dibekalkan pemproses Snapdragon 650 6-teras, sedangkan Redmi Note 4 dimuatkan pemproses Snapdragon 625 8-teras. Tetapi Snapdragon 625 adalah pemproses yang lebih baru dari Snapdragon 650. Ia dicipta menggunakan proses 14nm yang lebih kecil, menjadikannya lebih jimat tenaga dan kurang panas. Ini membantunya mengekalkan prestasi dengan jangka hayat bateri lebih panjang, dan ia memang terbukti dalam penggunaan harian kami.

Malah, perkakas lain Redmi Note 4 juga lebih baik. Pada pelancarannya, Redmi Note 3 diumumkan berharga RM849 untuk versi 3GB RAM dan 32GB storan. Tetapi Redmi Note 4 menawarkan perkakas yang sama, 3GB RAM dan 32GB storan pada harga RM799 sahaja.

Mi Malaysia jua menyatakan versi 4GB RAM dan 64GB storan akan dijual di Malaysia, tetapi masih tiada tarikh rasmi tentangnya.

Redmi Note 4 menjalankan sistem operasi MIUI 8, berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Ia dijangka akan menerima kemaskini Android 7.0 Nougat tidak lama lagi, kekal dengan rupa MIUI 8.

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Kapasiti bateri pada Redmi Note 4 agak besar, seluas 4,100mAh. Gandingan bateri yang besar bersama pemproses jimat tenaga Snapdragon 625, memang sangat menyerlah.

Ia merupakan salah satu peranti yang dapat digunakan seharian, dari bangun tidur sehingga masuk tidur semula, tidak perlu dicas malah ada lebihan yang agak banyak. Ini dapat dibuktikan dalam penggunaan harian kami yang aktif, ia mencatatkan 18 jam masa berjaga dan 7.5 jam masa skrin hidup, dengan lebihan 15% bateri masih boleh digunakan. Dalam gambar kedua, kami berjaya mencatatkan 19.5 jam masa berjaga dan 8 jam masa skrin hidup, dengan bateri tinggal 3% sahaja.

Hayat Bateri Redmi Note 4 – ujian 1

Hayat Bateri Redmi Note 4 – ujian 2

Kelemahan siri Redmi Note masih pada pengecasannya. Dengan bateri yang besar, ia memerlukan masa mengecas lebih lama jika tidak dilengkapi teknologi pengecasan pantas. Bagi Redmi Note 4, ia hanya disertakan pengecas biasa 5V/2A (10watt).

Dengan pengecas ini, ia mencatat masa mengecas penuh sekitar 3 jam. Untuk mencapai 50% penuh dari 0%, ia memerlukan lebih sedikit dari 1 jam. Dalam 2 jam masa mengecas pula, memberikannya 80% kapasiti. Bagi mengekalkan harga rendah, pengecas pantas masih lagi tidak diberikan bersama. Tapi jika difikirkan semula, kalau baterinya boleh bertahan dari bangun tidur sehingga masuk tidur semula, dan dicas semasa tidur, 3 jam mengecas bukanlah satu masalah besar.

 

Prestasi

Sebagai telefon pintar kelas pertengahan, prestasi tertinggi bukanlah sasaran utama Redmi Note 4. Sebaliknya prestasi yang lebih dari mencukupi sudah memadai, dan Redmi Note 4 memang tidak mengecewakan.

Untuk perbandingan, prestasi Redmi Note 4 diuji dengan aplikasi benchmark Geekbench 4.0 dan AnTuTu 6.0.

Di ujian Geekbench 4.0, Redmi Note 4 memperoleh markah 854 untuk teras tunggal dan 3,019 untuk teras pelbagai. Markah ini meletakkannya di bawah kelas utama Snapdragon siri-8xx, tetapi setara dengan pemproses kelas pertengahan.

Dalam ujian AnTuTu jua, dapat dilihat Snapdragon 625 tidak terlalu menyerlah. Ia menerima 63,128 mata sahaja, jauh di bawah telefon pintar berkuasa Snapdragon siri-8xx. Tetapi jangan pula jadikan angka ini mengaburi mata anda. Penggunaan sebenar adalah lebih penting, seperti yang dinyatakan dalam laporan kami seterusnya.

 

Pengalaman Penggunaan

Sebagai pemain tegar Pokemon Go, memegang telefon pintar untuk masa yang lama sangat perlu. Terutama ketika mahu menewaskan Pokemon Gym yang agak kuat. Berpindah dari Redmi Note 3 ke Redmi Note 4 untuk bermain Pokemon Go, memberikan satu perasaan berbeza yang nyata.

Memegang Redmi Note 4 untuk jangka masa lama, jauh lebih selesa berbanding Redmi Note 3. Malah, ia juga kurang panas semasa digunakan. Lebih baik lagi, menggunakan penunjuk arah Waze juga tidak menjadikannya terlampau panas untuk dipegang. Masih di tahap suam-suam kuku sahaja. Ini pastinya dibantu pemproses 14nm yang kurang menghasilkan haba.

Penggunaan pelbagai aplikasi masih lancar. Tetapi semasa ia pertama kali dilancarkan, dapat dirasakan sedikit perlahan berbanding peranti kelas utama.

Imbasan capjari pada Redmi Note 4 sangat pantas. Ia masih tidak sepantas pengimbas capjari Huawei atau OPPO, tetapi ia jelas jitu dan lebih pantas dari yang terdapat pada Samsung. Boleh dikatakan dalam 10 kali imbasan, hanya satu kali gagal mengesan.

Sistem bunyi dengan kedudukan baru ini ternyata lebih baik. Posisi speaker di bawah telefon sememangnya menghasilkan bunyi yang lebih jelas didengari, berbanding di belakang. Satu peningkatan yang ketara.

Skrin Redmi Note 4 juga lebih cerah berbanding Redmi Note 3. Sebelum ini, di bawah terik mentari tengah hari Kuala Lumpur, skrin Redmi Note 3 hampir tidak dapat dilihat.

Tetapi ramai yang tidak sedar, skrin Redmi Note 4 memiliki kecerahan yang sangat rendah. Perkara ini boleh diuji di dalam panggung wayang yang gelap sepenuhnya. Dengan kecerahan terendah, skrin telefon pintar biasa masih sangat cerah sehingga mengganggu penonton sekeliling. Tetapi Redmi Note 4 mempunyai tahap kecerahan yang lebih rendah, menjadikan kecerahan skrin tidak mengganggu penonton di tepi, tetapi skrin masih boleh dilihat. Cuma, tidak digalakkan menggunakan telefon pintar di dalam panggung wayang ya.

 

Kamera

Sebagai pengguna biasa, kamera Xiaomi memberikan kualiti yang boleh diterima. Dalam kata lain, ia cukup makan sahaja. Tidak terlalu mengancam, tetapi masih menghasilkan gambar yang sedap mata memandang.

Atas kertas, kamera belakang Redmi Note 4 dilengkapi sensor CMOS 13MP f/2.0, piksel sebesar 1.12-mikron, dwi-tona LED Flash dan autofokus PDAF sepantas 0.1 saat. Dengan apertur dan piksel yang lebih besar, ini memberikannya gambar yang lebih cerah berbanding Redmi Note 3. Dapat dilihat, kualiti gambar dalam suasana kurang cahaya kini lebih terang.

Teknologi HDR juga terdapat pada kamera Redmi Note 4, tetapi bukan secara automatik. Hanya peranti kelas utama memiliki HDR Automatik, jadi ketiadaannya pada Redmi Note 4 boleh dimaafkan. Untuk tangkapan HDR, ia perlu diaktifkan secara manual. Malah, telefon perlu dipegang lebih stabil untuk tangkapan HDR yang tajam. Ini kerana pemproses imej Redmi Note 4 tidak sepantas peranti kelas utama dan tiada penstabil imej optika;.

Tetapan kamera juga agak terhad, seperti kawalan manual hanya memberikan pilihan keseimbangan keputihan dan ISO sahaja.

Untuk rakaman video, ia terhad sehingga resolusi HD Penuh 1080p sahaja. Tiada rakaman Ultra HD 4K ataupun 60 bingkai sesaat.

Secara keseluruhan, kualiti kamera Redmi Note 4 adalah lebih baik dari Redmi Note 3, terima kasih kepada saiz piksel yang lebih besar. Jika anda sedar, MP bukanlah penentu kualiti apabila banyak kamera telefon pintar kini menurunkan MP, seperti di Redmi Note 3 dulu memiliki sensor 16MP, kini di Redmi Note 4 hanya 13MP tetapi hasil gambar lebih memuaskan.

Bagi swafoto, Redmi Note 4 dilengkapi sensor 5MP f/2.0 di kamera depan. Tangkapan selfie tidak terlalu mengancam, dengan tetapan Beautify yang boleh diubah antara Smart dan Pro. Hasilnya, kualiti gambar yang biasa dengan hasil kulit licin mengikut tetapan Beautify. Tiada fungsi HDR untuk kamera depan.

Lihat sampel gambar yang diambil menggunakan kamera Redmi Note 4, di dalam Galeri Gambar di Muka 3.

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Banyak peningkatan dimuatkan ke dalam Redmi Note 4 kali ini, jika dibandingkan dengan Redmi Note 3. Mungkin angka prestasinya dilihat menurun, tetapi ia masih berfungsi sehebat Redmi Note 3, malah dengan jangka hayat bateri lebih panjang dan tahap kepanasan yang lebih rendah.

Xiaomi juga menaik taraf speaker, skrin dan kamera pada Redmi Note 4. Ia kini memiliki bunyi yang lebih lantang, skrin yang lebih cerah dan kualiti gambar kamera yang lebih baik. Secara kiraan kasar, harga Redmi Note 4 juga lebih murah berbanding Redmi Note 3.

Adakah berbaloi untuk bertukar dari Redmi Note 3 ke Redmi Note 4? Kami katakan YA, dengan peningkatan keseluruhan boleh dikatakan 50% lebih baik. Malah, sukar untuk dibandingkannya dengan telefon pintar lain di bawah RM1,000.

Pencabar terdekat Redmi Note 4 dalam julat harga ini, adalah seperti Honor 5C (RM799) dan Wiko Ufeel Fab (RM799). Atas kertas, fungsi dan perkakas Redmi Note 4 masih mengatasi kedua-dua telefon pintar ini.

Dengan spesifikasi dan harga yang ditawarkan, tidak salah untuk menjulang Redmi Note 4 sebagai pilihan utama telefon pintar di bawah RM1,000. Apatah lagi dengan pilihan badan berwarna Hitam yang menjadi kegemaran penulis.

Bagi yang berminat, telefon pintar Redmi Note 4 boleh dimiliki pada harga RM799, di Stor Rasmi Mi Malaysia di Lazada.


Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar bersaiz asal

Tangkapan HDR cuaca cerah luar bangunan

Tangkapan HDR cuaca mendung luar bangunan

Tangkapan biasa cuaca mendung luar bangunan

Tangkapan biasa luar bangunan

Tangkapan HDR waktu siang

Tangkapan biasa waktu malam

Tangkapan biasa dalam bangunan (buih yang tajam)

Tangkapan biasa dalam bangunan warna-warni

Tangkapan biasa jarak dekat

Tangkapan biasa luar bangunan kurang cahaya

Tangkapan HDR dalam bangunan

Tangkapan Selfie dengan Beautify Mod Pro

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: