Test Produk – OnePlus 3T, Adakah Naik Taraf Ini Berbaloi?

Pendahuluan

OnePlus adalah satu nama yang terkenal dengan penghasilan peranti flagship yang mendukung harga yang amat kompetitif. Strategi niaga yang kurang konvesional mereka menyebabkan nama OnePlus meniti di bibir-bibir peminat peranti Android walaupun kita sedia maklum yang mereka tidak memiliki kempen iklan segempak pesaing yang lain. Kali ini, OnePlus hadir dengan model OnePlus 3T (OP3T) yang merupakan edisi tambah baik daripada OnePlus 3 (OP3).

Pengguna bakal menemui perubahan pada cip pemproses, bateri, serta kamera depannya yang telah diperbaharu. OnePlus 3T dilancarkan pada 16 November tahun lepas dan mula boleh ditempah di Malaysia pada 14 Mac yang lalu. Seunit OnePlus 3T telah tiba di pintu pejabat kami untuk dipandu uji. Terima kasih pihak Brightstar Sdn. Bhd. kerana membekalkan kami dengan set reviu.

KELEBIHAN
+ Cip pemproses baru
+ Bateri lebih besar berbanding OP3
+ Kamera depan 16MP
+Kemas kini OxygenOS pantas

KEKURANGAN
– Bonggol kamera terlalu nyata, senang calar
– Tiada slot mikro-SD
– Aplikasi kamera masih tiada penambahbaikkan

[Laman seterusnya: Rekaan, Prestasi & Hayat Bateri]

[nextpage title=”Rekaan, Prestasi & Hayat Bateri”]

Rekaan

Persamaan antara OP3T dengan OP3 bermula pada rekaan badan telefon itu sendiri. Anda tak mungkin dapat membezakan mereka pada rupa luaran. Cumanya, OnePlus 3T hadir dengan pilihan warna baru iaitu “Gunmetal” dan “Soft Gold”. Tapi, ia masih menggunakan materi aloi alumunium seperti sebelum ini.

Semua punat, butang, dan port pada OnePlus 3T terletak pada kedudukan yang sama seperti OnePlus 3. Maka, tiada masalah untuk menggunakan kelongsong dan lapisan pelindung skrin daripada model yang lebih lama. Butang fizikal untuk mematikan segala notifikasi bagi mengelakkan anda diganggu semasa sedang menonton ataupun bermain telah menjadi unik tentang peranti OnePlus.

Paparan OP3T menggunakan panel Optik AMOLED. Ia adalah Super AMOLED yang menerima sentuhan OnePlus sendiri. Panel paparan 5.5 inci beresolusi HD penuh itu dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 4.

Bahagian bawah menempatkan port pengecas USB Type-C, port audio. dan jeriji speaker. Hanya satu speaker disediakan tapi bunyinya agak kuat dan boleh menjalankan tugasnya dengan baik. Mikrofon suara terletak pada bahagian bawah dan atas untuk memansuhkan hingar apabila sedang bercakap menerusinya.

Prestasi

Hampir semua peranti keluaran OnePlus menggunakan sistem operasi OxygenOS. Ia menumpukan pada pengalaman Android yang minimalistik dan sifar bloatware tapi sarat dengan ciri-ciri yang memudahkan pengguna. Satu pujian yang harus diberikan pada OnePlus adalah kadar kemas kini OxygenOS yang mereka terapkan pada produk. Pengguna sentiasa dikemas kini dengan fungsi-fungsi baru yang meningkatkan prestasi telefon mereka.

Set telefon yang kami terima sedang menggunakan OxygenOS versi 4.0.3 dengan Android 7.0 Nougat.

Menggunakan cip Snapdragon 821 yang lebih baru berbanding Snapdragon 820 pada OP3, pengguna boleh menjangkakan kepantasan dan kecekapan yang lebih tinggi pada OP3T. Ia juga menerima RAM sebesar 6GB daripada jenis LPDDR4. Pengimbas cap jari pula mengimbas jari dengan jitu dan dengan mungkin adalah antara cap jari yang terbaik pernah kami cuba.

Menggunakan Antutu Benchmark v6.2.7, telefon ini mencatatkan 153,423 mata. OP3 yang lama mencatatkan 138,850. Walau bagaimanapun, Analisis Geekbench pula menunjukkan OP3T dikalahkan oleh OP3. Analisi GeekBench Op3 kami mencatatkan 5,313 dan 2,340 masing-masing dalam kategori analisis berbilang teras dan kategori teras tunggal. OP3T pula mencatatkan hanya 4,224 dan 1,832.

Hayat Bateri

OP3T menggunakan bateri berkapasiti 3,400 mAh, satu peningkatan daripada OP3 sebanyak 400 mAh. Kecekapan penggunaan tenaga pada telefon ini pula agak menarik. Dengan satu cas penuh, saya beroleh sekurang-kurangnya 24 jam waktu penggunaan dengan tempoh Screen-on-Time (SOT) melebihi 3 jam. Menempuhi hari-hari siang sepanjang bekerja taklah susah bagi telefon ini.

Tiada masalah untuk beroleh Screen-on-Time (SOT) melebihi 4 jam pada OP3T

Tak perlu disangkal lagi akan keupayaan pengecasan pantas Dash Charge pada peranti bermula OnePlus 3. Blok pengecas 20 Watt yang diberikan mampu mengisi separuh bateri telefon ini sepantas 30 minit! Untuk perbandingan, kapasiti yang sama memerlukan hampir sejam jika dicas menggunakan pengecas biasa.

Dalam keadaan optimum, pengecas 20 Watt OP3T mengisi sekurang-kurangnya 1.5% kapasiti bateri dan apabila tiba ke 10% terakhir, kadar pengecasan diperlahan. Semasa mengecas, telefon juga tak mengalami kepanasan melampau. Suhu tertinggi yang dicatatkan adalah sekitar 46 darjah selsius walaupun ditambat pada pengecas Dash Charge.

Graf mengecasan OP3T. Lihat perbezaan antara pengecasan QC 2.0 dengan Dash Charge

Graf penggunaan telefon

Telefon tak mengalami kepanasan melampau walaupun semasa mengecas

[Laman seterusnya: Kamera & Kesimpulan]

[nextpage title=”Kamera & Kesimpulan”]

Kamera

Bonggol kamera yang mudah tercalar dan memerangkap habuk

Kedua-dua kamera depan dan belakang OnePlus 3T menggunakan sensor 16 MP dengan apertur F2.0. Hanya kamera belakang mempunyai penstabil imej optikal dengan autofokus. Seperti biasa, mod kawalan manual dan sokongan RAW juga hadir untuk yang lebih professional. Antaramuka aplikasi kamera natifnya adalah sama dengan apa yang ada pada OnePlus 3.

Maka, anda menerima antaramuka yang minimalistik, mudah diteroka, dan intuitif. Autofokus yang pantas dicapai melalui fungsi Phase Detection, tapi masih tak boleh menandingi kamera Samsung Galaxy S7 edge yang menggunakan sistem Dual Pixel Autofocus. Untuk sebuah kamera poket, ia cukup sifat dan boleh menjalankan tugas dengan jayanya.

Masalah dalam mod manual seperti pada OP3 masih kekal

Masih lagi dengan masalah kamera, ciri manualnya yang tidak berapa manual. Ingat lagi masalah pada OP3 yang kami reviu dulu? Bila kita tetapkan titik fokus dan dedahan, sistem akan mengambil alih selepas beberapa ketika. Ia menyusahkan untuk kita melakukan komposisi terutamanya bila kita perlu tetapkan titik fokus dan ingin menunggu subjek masuk ke ruang lihat kamera.

Tapi, kamera belakang mempunyai bonggol kamera yang tebal, seperti saudaranya, OnePlus 3. Ia menyukarkan telefon duduk diam di atas permukaan rata. Malahan, bonggol mudah tercalar apabila masuk dan keluar daripada poket. Pada kualiti gambar, tidak banyak yang boleh diadu. Julat dinamik cukup-cukup makan dengan prestasi gambar dalam keadaan malap boleh dikatakan baik. Melancarkan kamera juga pantas apabila menekan pantas dua kali butang kuasa.

Berikut adalah beberapa gambar daripada OnePlus 3T. Tiada suntingan dilakukan kecuali sedikit cropping untuk memperbetul komposisi.

KESIMPULAN

Tiada yang signifikan pada OP3T kecuali menjadi telefon pertama OnePlus yang melewati harga RM 2,000 ringgit, RM2,299 untuk varian storan 64GB. Nampaknya pasaran flagship sudah beralih ke tangga harga yang baru.

Berbaloikah untuk naik taraf ataupun berbelah bagi antara OP3 dan OP3T? Pada OP3T anda akan menerima:

  • Cip pemproses Snapdragon 821 yang lebih baru.
  • Bateri yang 400 mAh lebih besar berbanding sebelumnya sambil dibantu Dash Charge yang pantas.
  • Kamera depan 16MP, sekali ganda lebih piksel berbanding OP3
  • Lain-lain spesifikasi yang sama dengan OP3.

Jika anda sudahpun miliki OP3 yang asal, nampaknya anda tak perlu rasa tergugat dengan kehadiran OP3T kerana setiap kemas kini yang diterima OP3T, telefon anda pasti akan menerimanya. Tambahan pula, jarak tarikh pelancaran antara kedua-duanya yang agak rapat pastinya menggambarkan tidak banyak pembaharuan yang mampu dibawa oleh pihak OnePlus pada peranti ini.

Yang baru mula nak berjinak dengan jenama OnePlus pun boleh berjimat sekurang-kurangnya RM 300 dengan OP3 dan mula mengumpul duit untuk OnePlus 4 yang menggunakan Snapdragon 835. Yang betul-betul inginkan warna unik pada OP3T saja dilihat akan membeli telefon ini.

RM 1,888 lawan RM 2,229. Buatlah pilihan yang bijak.

[Balik ke Pendahuluan]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: