Test Produk — HTC U Ultra, Kawan Baik Kain Pengelap

Pendahuluan

HTC memang sinonim dengan telefon berkualiti tinggi. Jika anda membeli sebuah flagship HTC, sudah tentu anda pastinya menerima telefon yang mantap daripada segala segi. Lihat sajalah pada HTC 10 yang berbadan besi, kamera yang memintas Galaxy S7 di arena DxOMark, serta sistem audio yang cemerlang. Tahun ini, siri HTC U membukai tirai 2017 untuk HTC.

Yang singgah ke pejabat kami adalah saudara besarnya iaitu HTC U Ultra. HTC U Ultra adalah sebuah telefon berspesifikasi flagship. Dengan Snapdragon 821 dan 4GB RAM, ia adalah sebuah peranti flagship yang lengkap.

Dua ciri utama yang ada pada HTC U Ultra ini adalah kehadiran paparan sekunder yang kecil khas untuk memaparkan notifikasi. Kemudian, port audio telah dibuang dan terpaksa dialirkan melalui port USB-C ataupun secara wayarles.

Antara pencabar terdekat telefon ini adalah seperti OnePlus 3T, Google Pixel, LG G6, Xiaomi Mi 5s. Bagaimanakah prestasi HTC U Ultra dalam kalangan flagship yang lain? Teruskan membaca.

KELEBIHAN
+ Skrin sekunder yang memudahkan notifikasi dipaparkan
+ HTC USonic yang menambah baik pengalaman audio
+HTC BoomSound yang menghasilkan bass lunak

KEKURANGAN
– Spesifikasi flagship tahun 2016
– Bateri terhad berikan tempoha penggunaan singkat
– Tiada port audio 3.5mm

Halaman Seterusnya: Rekaan & Pengalaman Mengguna

[nextpage title=”Rekaan & Pengalaman Mengguna”]

Rekaan

Bila dicerita perihal rekaan HTC U Ultra, gergasi Taiwan ini telah menerokai satu wilayah baru yang belum pernah mereka jengah sebelum ini. Selama ini, hampir semua peranti flagship HTC menggunakan materi besi dan ia memang menjadi kepakaran HTC. Tapi pada HTC U Ultra, ia adalah kerangka besi bersadur beberapa lapisan kaca untuk memberikan kesan pantulan yang unik dengan satu kelemahan ketara.

Walaupun hanya 5.7″ rupanya seperti sebuah phablet

Sudahlah bahagian depan telefon ini dilapisi kaca Gorilla Glass 5, bahagian belakang yang turut menggunakan bahan kaca menjadikan telefon ini sangat mudah comot. Sebab itulah telefon ini didatangkan bersama sehelai kain pembersih. Selain itu, menyedari akan bahaya kaca retak apabila terjatuh, HTC turut memberikan kelongsong telefon lutsinar di dalam kotak unit HTC U Ultra.

Belakang yang amat mudah memerangkap cap jari

Disebalik kaca Gorilla Glass 5 itu, HTC menggunakan panel paparan Super LCD 5 bersaiz 5.7″ dengan resolusi 2560 x 1440 bersama-sama watak utama HTC U Ultra iaitu paparan sekunder bersaiz 2.1 inci. Tiada port audio pada telefon ini. Tanggung jawab mengalirkan suara ke set kepala ditanggung oleh port USB-C di sebelah bawah telefon ini. Ia turut menggalas tugas sebagai gerbang data dan kuasa.

Port USB-C dan jeriji speaker pada sebelah bawah

Empat, benar!, empat mikrofon berkepekaan tinggi hadir di sekeliling telefon ini untuk menangkap audio daripada pelbagai arah. Jeriji speaker teletak pada bahagian bawah. Seperti OnePlus 3T, HTC U Ultra turut memiliki bonggol kamera yang besar. Bingkai lensa yang terbonjol keluar mendedahkannya kepada calar.

Secara keseluruhan, telefon ini selesa dipegang. Beratnya selari dengan saiz tetapi kadang kala terasa licin lebih-lebih lagi jika tangan dalam keadaan kering.

Telefon agak licin untuk dipegang terutamanya ketika tangan kering

Bonjolan kamera yang terdedah pada calar

Pengalaman Mengguna

Paparan sekunder telefon ini bukanlah satu fitur yang terus membuatkan pengguna bergantung padanya. Malahan, semasa mula-mula menggunakan telefon ini, saya beranggapan paparan sekunder hanyalah gimik semata. Tetapi setelah beberapa ketika, ia terbukti sebagai sesuatu yang berguna.

Bayangkan anda sedang bermain HeartStone dan ditengah-tengah peperangan, notifikasi masuk bertubi-tubi. Ia akan menganggu tumpuan anda malah mungkin menyumbang pada kekalahan. Pada waktu ini, potensi skrin sekunder memang menyerlah. Selain itu, ia boleh memaparkan maklumat kalendar, senarai dail pantas, kawalan muzik, dan banyak lagi. Jika tidak menggemari fungsi ini, anda boleh matikan paparan ini bila-bila masa di ruangan Setting.

Masih lagi berkenaan HeartStone. Dalam jabatan audio pula, perkara yang paling ketara adalah ketiadaan port audio untuk digunakan bersama set kepala konvesional. Sebaliknya, satu set earphone USB-C untuk mengalirkan runut bunyi ke gegendang telinga. HTC sepenuhnya menggunakan potensi USB-C untuk audio.

HTC USonic adalah teknologi audio daripada HTC. Uniknya teknologi ini adalah ia mampu menyesuaikan bunyi dengan saluran telinga anda. Hal itu dicapai dengan memancarkan gelombang ultrabunyi daripada set kepala yang dibekalkan HTC terus kedalam telinga. Sistem akan memetakan saluran bunyi pengguna dan merubah frekuensi bunyi untuk memaksimumkan impak bunyi kepada pengguna.

HTC USonic

Jika tidak menggunakan set kepala untuk mendengar audio, HTC BoomSound mampu memperkaya pengalaman audio anda. Selain speaker pada bahagian bawah disebelah port pengecas, terdapat juga speaker pada bahagian speaker ganggang telefon. Ia bukanlah bunyi stereo sejadi, tapi lebih kepada untuk menghasilkan base yang lebih padu untuk input audio yang diterimanya.

Mari masuk ke topik yang lebih teknikal. HTC U Ultra memiliki 4 GB RAM dan dikuasakan cip Snapdragon 821, sama seperti yang digunakan pada Google Pixel, Google Pixel XL, dan Xiaomi Mi 5s. Hasil penanda aras Antutu dan Geekbench menunjukkan telefon ini sebuah telefon yang kompeten. Untuk tujuan ketekalan, 10 replikasi bagi setiap aplikasi dijalankan untuk mencari markah tertinggi.

Ia mencatatkan markah Antutu lebih tinggia daripada Samsung Galaxy S7 tetapi kalah kepada iPhone 6s Plus. Perlu diingatkan mereka adalah peranti tahun sudah dan HTC U Ultra pula adalah telefon tahun ini yang menggunakan spesifikasi tahun sudah.

Antutu untuk HTC U Ultra

Geekbench untuk HTC U Ultra

Daripada segi tempoh penggunaan pula, apa yang boleh dilaporkan adalah HTC U Ultra tidaklah terlalu teruk dan tidak pula baik. Untuk sebuah telefon yang besar, ia mempunyai bateri yang agak kecil iaitu hanya 3,000 mAh. OnePlus 3T yang mempunyai fizikal lebih kerdil pun ada bateri 3,400 mAh.

Agak susah untuk capai SOT melebihi 3 jam pata HTC U Ultra

Kemudian, jarang untuk saya beroleh Screen-on-Time melebihi 3 jam. Satu cas penuh boleh membawa saya daripada pagi hingga nyaris-nyaris ke sebelah malamnya dengan berbaki sedikit kuasa untuk saya mula mencari soket pengecas. Misalnya, salah satu daripada lima sesi penggunaan daripada bateir penuh memberikan saya lebih 8 jam waktu penggunaan.

Mujurlah ada pengecasan pantas disediakan. Daripada bateri yang hampir habis, ia mengisi 50% bateri dalam hanya setengah jam. Jika menggunakan pengecas pantas QC 2.0 pula, ia mengambil masa hampir 50 minit untuk mengisi separuh bateri.

Halaman Seterusnya: Kamera & Kesimpulan

[nextpage title=”Kamera & Kesimpulan”]

Kamera

HTC U Ultra memiliki kamera utama  12 MP dengan apertur F1.8. Pada bahagian autofokus, mekanisme laser dan pengesanan fasa digunakan. Tapi, ia terasa agak perlahan jika dibandingkan dengan OnePlus 2 sekalipun. Saya dapat rasakan ia bukan berpunca daripada perkakasan sebaliknya lebih kepada perisian kamera itu sendiri. Apabila skrin disentuh untuk membidik fokus, sistem mengambil beberapa detik untuk membari gerak balas terhadap input sentuhan itu.

Selain daripada gerak balas terhadap input yang perlahan, perisian kamera pada HTC U Ultra adalah lengkap. Anda menerima fungsi-fungsi seperti panorama, beautify, PRO, hyperlapse, dan gerak perlahan.


 

Kesimpulan

Secara dasar, HTC U Ultra adalah sebuah peranti yang berkuasa. Cuma dua perkara saja yang ingin diadu pada telefon ini. Penggunaan kaca bukanlah susuatu yang bijak kecuali anda adalah Corning Glassworks ataupun Bohemia Crystall Glass. Telefon kaca amat mudah kotor dan hanya membazirkan masa pengguna untuk membersihkannya secara kerap.

Jika anda seorang pengguna setia peranti Android, anda mungkin pernah memiliki sebuah telefon HTC. Mereka adalah antara pelopor ekosistem Android dengan HTC Nexus One & Desire mereka. HTC Sense memang tak perlu diperkenalkan lagi, antara muka yang sarat dengan fungsi-fungsi memudahkan pengguna.

Kemudian, mereka sangat terkenal dengan kualiti binaan tinggi. Dalam kategori audio HTC tidak kurang hebatnya, mereka ada Audio Beats & Boom Sound.

Entah mengapa prestasi mereka semakin merudum sejak kebelakangan ini lebih-labih lagi dengan kebangkitan pemain seperti Samsung dan juga jenama-jenama China yang lain. HTC seakan lemas didalam persaingan, dan dalam keadaan terdesak mereka hadir dengan HTC U Ultra yang sepatutnya menjadi pelampung kepada jenama itu untuk terus terapung adalam lautan peranti Android yang lain.

Pada harga RM 2,599, U Ultra perlu memperlengkapkan diri dengan semua justifikasi untuk mengiyakan pelekat harga setinggi itu pada badannya, itupun selepas menerima potongan harga RM400 beberapa hari lalu mungkin terasa goyah dengan kehadiran Samsung Galaxy S8. Bukanlah nak nyatakan HTC U Ultra adalah sebuah peranti yang teruk tetapi jika dibandingkan dengan pesaing 2017 yang lain, U Ultra nampak “kerdil”.

Siapakah yang akan membeli HTC U Ultra? Peminat tegar HTC yang membuat koleksi telefon ini saja mungkin. Pada USD 799, LG G6 dan Samsung Galaxy S8 nampaknya adalah pilihan yang lebih berbaloi. Tambahan pula, mereka kalis air! Ataupun OnePlus 3T kerana ia  memiliki bateri lebih besar dan kamera depan & belakang 16MP pada harga leebih murah.

Mungkin kali ini HTC tergelincir sedikit daripada landasan. Kami menuggu flagship HTC di hentian seterusnya.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: