LG G6 buat kejutan muncul di Malaysia

Tiada khabar angin atau gosip, tiba-tiba hari ini LG Malaysia mengumumkan ketibaan telefon pintar LG G6 di Malaysia. Tetapi, ia memang sebuah berita yang dinanti, sejak pengenalan pertamanya di pameran MWC 2017 di Barcelona.

LG G6 akan mula dijual di Malaysia pada minggu pertama Mei 2017, di pengedar sah LG terpilih. Tiga warna disediakan iaitu Ice Platinum, Astro Black dan Mystic White.

LG G6 akan dijual pada harga RM2,999 sahaja, dan pembeli turut akan menerima flip case bernilai RM174 percuma.

LG G6 merupakan telefon pintar unik, kerana ia yang pertama memperkenalkan nisbah skrin 18:9, sama seperti yang digunakan Samsung Galaxy S8. Malah, LG juga lebih awal memperkenalkan kamera dwi-lensa zum pada LG G5, dan meneruskan penggunaannya pada LG G6.

Sebagai peranti flagship, LG G6 pastinya dilengkapi perkakas berkuasa tinggi. Ia memiliki pemproses Snapdragon 821, 4GB RAM LPDDR4 & 64GB storan jenis UFS 2.0, serta menyokong kad mikroSD.

Skrinnya berukuran 5.7-inci beresolusi QHD+ 2880×1440, memenuhi 80% dari muka depan badannya. Paparan ini lebih menawan dengan teknologi Dolby Vision dan HDR10. Baterinya berkapasiti 3,300mAh, menyokomg pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C.

Dwi kamera belakangnya menggunakan lensa 12MP, 71-darjah f/1.7 dan 125-darjah f/2.4. Kamera depan pula 5MP f/2.2 dengan sudut lebar 100-darjah.

LG mengekalkan butang Home di belakang, yang turut berfungsi sebagai pengimbas capjari. LG G6 adalah peranti pertama LG yang kalis air dengan piawaian IP68, malah lulus ujian ketahanan tentera MIL-810G.

Ketibaan LG G6 pasti memeriahkan lagi pasaran peranti flagship di Malaysia, apatah lagi dengan harganya yang lebih rendah dari Samsung Galaxy S8 dan Huawei P10 Plus. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman produk LG G6.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: