DHL eCommerce sedia berkhidmat untuk penjual online

DHL hari ini membawakan DHL eCommerce ke Malaysia, salah satu bahagian logistiknya yang disasarkan khusus untuk memenuhi keperluan pasaran e-dagang tempatan. Penjual dalam talian kini boleh menggunakan DHL eCommerce, sebagai perkhidmatan penghantaran tempatan mahupun antarabangsa.

Dengan pelbagai inisiatif kerajaan, pasaran e-dagang di Malaysia dijangka berkembang mencecah EURO 1 bilion (~RM4.75 bilion) menjelang tahun 2020. Di Malaysia, kira-kira 7 juta individu membuat pembelian dalam talian setiap bulan dan lebih 47% pengguna membeli-belah menggunakan telefon pintar.

Kerana itu DHL melabur untuk mengembangkan DHL eCommerce di Malaysia. DHL eCommerce telah memiliki satu pusat pengedaran seluas 48,000 kaki persegi di Puchong, dengan tambahan depot di Pulau Pinang, Johor Bahru, Cheras dan Puchong. DHL eCommerce juga memiliki kenderaan 2 roda serta 4 roda untuk tujuan penghantaran.

DHL eCommerce akan membolehkan penghantaran dibuat dalam masa 1 hari ke Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Untuk tempat lain di seluruh Malaysia Timur dan Barat, ia akan dihantar dalam masa 2 ke 4 hari.

DHL eCommerce menyediakan perkhidmatan mengambil barang, menjejak dan mengesan pesanan, reverse logistic, serta pembayaran tunai semasa penghantaran. Pembayaran tunai ini akan diproses dan dikirim wang setiap hari. Ini untuk memastikan khidmat penghantaran domestik bermutu tinggi, pantas, boleh dikesan dan selamat.

DHL telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1973, dan beroperasi di lebih 220 negara dan wilayah. Dengan ini, ia bukan sahaja menawarkan perkhidmatan tempatan malah merentasi negara ke seluruh dunia.

DHL eCommerce menumpukan perhatian kepada tiga teras produk utama: penghantaran first and last mile atau penghantaran domestik dalam beberapa pasaran terpilih; penghantaran antarabangsa merentasi sempadan yang mudah dan mampu dimiliki untuk perniagaan e-dagang; dan rangkaian pusat pelaksanaan perkhidmatannya yang merentasi Amerika Syarikat, Mexico, Hong Kong, India, Australia dan Eropah.

Maklumat lanjut tentang perkhidmatan ini, boleh dirujuk di laman web DHL eCommerce Malaysia.