Nokia 3310 tak berguna di Singapura

Bermula 1 April 2017, Singapura secara rasmi menamatkan perkhidmatan rangkaian 2G. Hanya rangkaian 3G dan 4G akan terus beroperasi di pulau tersebut. Langkah ini diambil untuk memberi ruang spektrum kepada penggunaan 4G yang semakin meluas.

Walaupun 1 April adalah tarikh rasmi, tiga operator utama iaitu M1, Singtel dan StarHub akan membuat proses penamatan rangkaian 2G di Singapura secara berperingkat. Dijangkakan proses ini akan selesai pada 18 April 2017.

Singapura telah mengumumkan langkah penamatan ini sejak bulan Jun 2015 lagi. Semua jenis perkhidmatan 2G termasuk suara, permesejan dan data akan dihentikan. Spektrum 2G ini akan digunakan untuk menampung keperluan penggunaan 3G dan 4G yang semakin meningkat.

Sejak awal tahun ini juga, Singapura telah menghentikan penjualan peranti 2G sahaja, sebagai sebahagian dari langkah persediaan. Bermakna, telefon seperti Nokia 3310, Nokia 120 dan yang sewaktu dengannya, tidak akan dijual kerana ia tidak berguna langsung di Singapura.

Selain dari Singapura, Australia turut mengambil langkah yang sama, tetapi ia mengikut operator sendiri. Telstra telah pun menamatkan rangkaian 2G-nya di Australia sejak hujung tahun lepas. Manakala Optus akan memulakan proses penamatan dari 3 April hingga 1 Ogos 2017. Vodafone pula dijadualkan akan menghentikan servis 2G pada September 2017.

Jika anda masih menggunakan telefon kurang pintar yang hanya memiliki 2G, jangan bawa dan gunakannya di Singapura atau Australia. Dapatkan telefon pintar yang memiliki sekurang-kurangnya 3G, untuk digunakan di kedua buah negara ini. Sebab 2G dah tak boleh digunakan.

Jangan kata abam tak payung.

[SUMBER: TelecomAsia 1, 2, ChannelNewsAsia, AMTA]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: