iPhone SE baru kapasiti diganda harga kekal sama

Share Button

Tengah malam tadi, laman web Apple menerima perubahan yang menandakan kedatangan beberapa produk baru. Salah satu darinya adalah, iPhone SE dengan kapasiti baru. Sebelum ini iPhone SE memiliki kapasiti 16GB dan 64GB sahaja, kini Apple mengemaskini storannya menjadi 32GB dan 128GB.

Rupanya penurunan harga iPhone SE 16GB menjadi RM1,699 dan versi 32GB RM2,199, adalah untuk memberi ruang kepada kapasiti baru ini. Apple dilihat meletakkan harga yang sama untuk kapasiti baru ini. iPhone SE 32GB dijual pada harga RM1,949 manakala 128GB pula berharga RM2,449.

Jualan iPhone SE 32GB dan 128GB ini akan dimulakan pada hari Jumaat ini, 24 Mac 2017 jam 11.01 malam. Buat masa ini, ia hanya kelihatan di laman web Apple Malaysia sahaja. Empat pilihan warna tersedia untuk kedua-dua storan iaitu Perak, Emas, Kelabu Angkasa dan Emas Ros.

iPhone SE merupakan telefon pintar Apple berbadan kecil menyerupai iPhone 5, tetapi prestasi setaraf iPhone 6s. Skrinnya berukuran 4-inci dengan resolusi 1136×540. Ia dibekalkan cip pemproses A9 64-bit yang sama terdapat di dalam iPhone 6s.

Kamera belakangnya 12MP f/2.2, berkeupayaan merakam video 4K 30fps. Kamera hadapan pula hanya 1.2MP f/2.4.

Dengan tibanya iPhone SE baru ini, pengguna memiliki dua pilihan peranti iOS pada harga RM1,999. Di antara iPhone 6 32GB berkuasa sedikit rendah dengan skrin 4.7-inci, ataupun iPhone SE 32GB yang lebih perkasa berskrin 4-inci sahaja.

Atau, dapatkan stok lama iPhone SE 16GB dan 64GB, pada harga RM1,699 dan RM2,199. Cuma, kena berusaha sedikit menemuinya. Boleh bermula dari pengedar sah Apple seperti Machine dan Switch.

Apa komen anda?