iPhone 6 serba baru mula kelihatan

Minggu lepas kami khabarkan kemunculan model baru iPhone 6, dengan storan 32GB. Hari ini boleh dikatakan dengan pasti, ia telah muncul. Ia berikutan tawaran yang kelihatan di Taiwan, oleh syarikat telekomunikasi Taiwan Mobile.

Dipasarkan sebagai edisi terhad 2017, iPhone 6 32GB merupakan model yang tidak pernah dikeluarkan Apple sebelum ini. iPhone 6 yang dilancarkan pada tahun 2014, hanya datang dengan storan 16GB, 64GB dan 128GB sahaja.

iPhone 6 32GB yang baru ini, datang siap dengan iOS 10 terbaru. Ia juga selaras dengan tawaran storan terendah 32GB, bagi semua model iPhone yang baru.

Dari laman web tawaran Taiwan Mobile tersebut, ia menawarkan hanya warna Emas beserta tempahan dengan kontrak sahaja. Ia masih belum diumumkan secara rasmi oleh Apple, malah tidak tersenarai jua di laman web Apple.

Dalam satu laporan lain pula, iPhone 6 32GB telah kelihatan di India, dijual secara eksklusif oleh Amazon India. Tetapi, ia hanya ditawarkan dalam warna Kelabu sahaja. Ia dijual tanpa sebarang kontrak, dengan harga INR30,700 (~RM2,046).

Di Malaysia, iPhone termurah yang ditawarkan adalah iPhone SE 16GB, berharga RM1,949. Ia memiliki badan kecil iPhone 5, tetapi dengan perkakas dalaman dan kamera sehebat iPhone 6s. Mungkin jualan iPhone SE yang tidak mencapai sasaran, membuatkan Apple beralih arah ke skrin yang lebih besar untuk barisan iPhone termurahnya.

Jika anda kini sedang mencari peranti iOS dengan harga paling rendah, apakah yang lebih penting selepas harga? Adakah prestasi dan kamera lebih berkuasa seperti iPhone SE, ataupun skrin lebih besar di iPhone 6?

[SUMBER: 9to5Mac 1, 9to5Mac 2]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: